Jom Buat Duit

Sunday 26 February 2012

Konsert Ning Baizura di Nottingham


KUNJUNGAN penyanyi popular Ning Baizura Hamzah ke London pada 3 Februari lalu bukan untuk bercuti, sebaliknya punya misi penting menjalani satu sesi latihan khas dan sesi uji bakat untuk memilih bakat baru yang mahu bersama-sama menjayakan konsertnya yang bakal diadakan Mac depan.
Konsert amal When You Wish Upon A Star bagi mengisi tabung kanak-kanak yang nazak akibat pelbagai penyakit, termasuk kanser, bakal berlangsung di Nottingham Royal Concert Hall, 18 Mac depan.

Bagi memastikan konsert amal ini berjalan lancar, Ning ditemani suami yang juga pengurus peribadi, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, terbang ke London bagi memilih bakat baru yang mahu bersama-sama menjayakan konsert diadakan.
Kata Ning, segala-galanya bermula apabila dia pulang melawat keluarga dan anak suaminya akhir tahun lalu. Kebetulan kakak Omar, Nicky Agnew melaksanakan penganjuran konsert amal When You Wish Upon A Star.

“Konsert amal ini adalah acara tahunan dan lebih istimewa, kali ini ia disambut sempena ulang tahun ke-21 penganjurannya. Bagaimanapun, beberapa masalah berbangkit hingga ia ditunda tahun ini dan dijangka berlangsung pada 18 Mac.

“Ia turut dikendalikan bersama pengacara terkenal rancangan pagi Loose Women di British Broadcasting Corporation (BBC), Zoe Tyler dan menampilkan bakat dikenali di Nottingham,” katanya.

Akui Ning, ini kali pertama dia menyertai konsert yang turut memaparkan pelbagai persembahan dan penyertaannya pula membabitkan kanak-kanak semuda tiga tahun hingga warga emas berusia 70 tahun.

Mengikut perancangan awal, Ning menjadi artis jemputan tetapi Nicky cadangkan dia mengendalikan When You Wish Upon A Star bersama Zoe.
Kata Ning, pemergiannya ke sana juga untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mendapatkan tajaan kerana banyak syarikat konglomerat tempatan beroperasi di London.

“Sokongan penuh juga saya terima daripada duta kita di sana, Datuk Seri Zakaria Sulong yang turut dijadualkan hadir menyaksikan persembahan di konsert When You Wish Upon A Star.

“Pada saya, usaha ini sebenarnya lebih kepada memperkenalkan muzik dan kebudayaan tempatan di negara luar. Saya terharu apabila usaha yang mahu saya laksanakan turut mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk Tourism Malaysia.

“Beberapa kenalan yang memiliki restoran seperti Tukdin dan Lagenda akan membuka gerai bagi memperkenalkan makanan Malaysia kepada mereka yang menyaksikan konsert,” katanya.

Ternyata Ning antara penyanyi yang memiliki bakat dan kredibiliti bertaraf antarabangsa. Ini bukan kali pertama penyanyi bersuara soprano kelahiran Kajang, Selangor ini cuba melebarkan bakat dan karya didendangkan ke negara luar.

Dia berjaya memperkenalkan namanya ke seluruh Asia Tenggara menerusi album Inggeris pertama, Always pada 1997, kemudian album Natural Women untuk pasaran Jepun diikuti album Inggeris ketiga, EastToWest memberi peluang kepadanya mengadakan persembahan di Monte Carlo, Monaco dan Switzerland.

Jelas Ning, sebaik selesai konsert, dia akan pulang ke tanah air terlebih dulu bagi menjayakan beberapa projek. Ning baru saja dilamar produksi filem daripada Indonesia untuk berlakon di sana tetapi perkara itu masih dalam perbincangan.

Waktu sama, dia turut terbabit dalam pementasan teater muzikal Luna Latisya yang diangkat dari filem Cun di Istana Budaya.

Selepas selesai pementasan Luna Latisya itu, baru Ning terbang ke London semula bagi membuat persiapan untuk siri konsert jelajah yang dirancang.

Setakat ini Ning mengenal pasti tiga lokasi persembahan yang mahu diadakan iaitu di Manchester dan dua di London.

Dalam kesibukan jadual yang penuh tahun ini, Ning memberitahu, dia dan Omar merancang memiliki cahaya mata dalam tahun ini dan berharap perkara itu dapat direalisasikan selepas segala urusan selesai.

Bagaimanapun jika dia mengandung dalam waktu konsert dirancang, perkara itu tetap akan diteruskan kerana jelas Ning, dia tidak melihat dirinya bakal menjadi ibu yang akan menghalang usaha dan kejayaannya dalam merealisasikan impiannya menjadi penghibur disegani bukan saja di negara sendiri tetapi juga negara luar.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters