Jom Buat Duit

Thursday 23 February 2012

Suria FM lebih ceria




DALAM industri penyiaran radio tempatan, stesen radio Suria FM dilihat antara stesen radio tempatan yang semakin berkembang dan diminati ramai oleh para pendengar di negara ini.
Dengan jumlah keseluruhan 2.3 juta pendengar yang diperoleh tahun lepas, ternyata stesen yang mula beroperasi pada tahun 2005 itu berjaya memikat pendengar menerusi kandungan rancangan dan barisan penyampai yang mantap.

Setelah menampilkan dua orang pelawak iaitu Nabil dan Kenchana Dewi sebagai anggota penyampai baharu, kali ini Suria FM melakukan perubahan yang lebih besar iaitu tampil dengan wajah baharu.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, pembaharuan yang dilakukan oleh stesen berkenaan adalah menerusi konsepnya yang bertemakan ceria dan tidak bergantung kepada muzik semata-mata.

“Kalau melihat kepada kebanyakan stesen radio tempatan, kebanyakannya lebih fokus kepada lagu-lagu yang disiarkan. Maka, kami mengambil keputusan untuk melakukan perubahan dalam usaha menarik lebih ramai pendengar.

“Berdasarkan kepada pembaharuan yang dilakukan ini, kami mahu mengubah cara para pendengar radio kepada gaya hidup yang lebih ceria dan menghiburkan bagi menampilkan kelainan dengan stesen sedia ada,” ujarnya pada satu majlis pelancaran wajah baharu Suria FM baru-baru ini.
Tambah Yusry, bagi mendekatkan lagi Suria FM dengan para pendengar, pihaknya telah merancang untuk menganjurkan beberapa aktiviti yang bertepatan dengan tema ceria dan menghiburkan seperti siri jelajah pertandingan karaoke yang dikenali sebagai Suria Ceria-Oke Roadtour 2012.
Jelasnya, beberapa buah lokasi telah dipilih untuk siri jelajah tersebut seperti di Kompleks Metro Point Kajang (18 Februari), Megamall Penang (19 Februari), Kuantan Parade (25 Februari) dan Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang (26 Februari).

“Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan kepada para pemenang. Syaratnya, ia mewajibkan para peserta untuk berduet dengan salah seorang ahli keluarga mereka untuk berkaraoke,” ujarnya.

Mengenai pembaharuan logo pula, Yusry menjelaskan mereka masih kekal dengan warna oren dan sedikit perubahan pada logo sebagai simbol penjenamaan semula dengan ciri-ciri yang lebih santai dan menarik diterapkan serta bertepatan dengan tema ceria Suria FM pada tahun ini.
Namun begitu, dari segi penyiaran lagu pula Suria FM masih kekal dengan lagu-lagu dari era 90-an sehinggalah yang terkini memandangkan mereka menyasarkan pendengar yang berusia di antara 25 tahun sehingga 39 tahun.

Sementara itu, mengulas tentang maklum balas berkenaan kemasukan Nabil dan Kenchana Dewi sebagai penyampai baharu, Ketua Bahagian Program Suria FM, Subarma Mohtarudin menyatakan ramai yang telah memberikan komen positif terhadap mereka berdua.
“Sama ada jumlah pendengar untuk segmen Ceria Pagi Di Suria semakin meningkat atau sebaliknya, kami tidak boleh memberikan jawapannya sekarang kerana laporan tersebut hanya akan dikeluarkan beberapa bulan lagi.

“Bagaimanapun, berdasarkan komen-komen yang kami peroleh menerusi laman web rasmi dan Facebook Suria FM, ternyata memang ramai yang sukakan gandingan mereka bersama Halim Othman dan kami yakin jumlah pendengar akan semakin meningkat,” ujarnya.
Konsert di Sabah

Selain bersiaran di Semenanjung Malaysia, Suria FM turut membuka sebuah studio khas untuk siaran di negeri Sabah yang diberi nama Suria FM Sabah bermula pada 1 Mac 2011 yang lalu.
Menurut Yusry, biarpun baru setahun Suria FM bertapak di negeri tersebut, namun stesen berkenaan semakin diterima ramai oleh pendengar dan pihaknya turut merancang untuk turut melaksanakan beberapa aktiviti.

“Ketika mula bersiaran pada tahun lalu di Sabah, kami telah menganjurkan sebuah konsert di 1 Borneo Hypermall dan mendapat sambutan hangat apabila dikunjungi seramai 15,000 orang.
“Jadi, berkemungkinan besar kami akan mengadakan sekali lagi konsert di sana sebagai sambutan ulang tahun pertama Suria FM di negeri Sabah dan berharap jumlah kehadiran yang lebih ramai lagi berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.

Jelas Yusry, buat masa ini siaran Suria FM di negeri berkenaan hanya ke udara pada pukul 6 pagi sehingga 2 petang sahaja dan pihaknya turut merancang untuk memanjangkan lagi tempoh siaran.
DEEJAY-DEEJAY Suria FM meraikan wajah baharu stesen radio mereka yang bersifat lebih ceria dan interaktif bersama peminat.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters