Jom Buat Duit

Saturday 25 February 2012

Pertikai Prism

SEKIAN lama Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) beroperasi sejak ditubuhkan pada 2001, pelbagai pandangan dilontarkan karyawan seni tanah air terhadap badan pemungut royalti itu.
Apa yang menjadi tanda tanya di kalangan penyanyi dan pemuzik adalah jumlah royalti yang sepatutnya diterima mereka. Pada majlis Penyerahan Royalti & Sesi Taklimat Hak Artis dan Pemuzik Rakaman 2009 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dua tahun lalu, jawapan pada persoalan berkenaan masih kabur dan gagal memuaskan hati artis yang hadir.

Prism memberi penjelasan ketika itu, pengagihan royalti sukar dilakukan kerana tiada data lengkap penerima yang diperoleh menerusi pangkalan data mereka. Mereka juga mencadangkan organisasi ini bersama Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM) bergabung untuk berkongsi pangkalan data mengenai maklumat artis dan karya dirakam.

Perasaan keliru terhadap operasi Prism sudah lama menjadi bualan ramai karyawan seni. Empat tahun lalu, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pernah membuat aduan pada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) dan kemudian laporan diajukan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Pertengahan bulan lalu, sebilangan besar karyawan seni tempatan terkejut apabila mendapat berita Prism tutup. Ketiadaan Prism terus menimbulkan persoalan ramai penyanyi dan pemuzik mengenai kesudahan masalah kutipan dan pengagihan royalti.

Pemuzik, Aznan Alias berkata, Prism jelas tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya diamanahkan karyawan seni pada badan itu sehingga menimbulkan perasaan sangat kecewa pada ahli.

“Sejak Prism wujud, segala janji diberikan tetapi pengagihan royalti dibuat mengikut sistem suka hati. Hakikatnya, walau macam mana popular penyanyi dan pemuzik, jumlah royalti yang diterima tidak setimpal.

“Bayangkan, pemuzik hanya terima RM3 setahun manakala RM9 untuk penyanyi. Sebenarnya, Prism ada membuat perjumpaan bersama ahli baru-baru ini membincangkan status mereka.

“Pada pertemuan itu, Prism ada mengusulkan idea mahu mengubah status kepada ‘Berhad’ jika mendapat persetujuan ahli. Sepatutnya sejak sedekad lalu, Prism sudah mainkan peranan membabitkan sokongan ahli menerusi proses undian sebelum membuat keputusan.

“Apa yang saya tahu, apabila status Sdn Bhd digunakan, ahli hanya dianggap sebagai pelanggan. Ini bermakna, ahli menjadi tidak penting dalam membuat keputusan dan tindakan ini menunjukkan Prism selama ini sebenarnya menipu semua ahli,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat Khas Royalti dan Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) di Kuala Lumpur kelmarin.

Komposer, Faizal Maas atau Ajai pula, berpandangan pembabitan karyawan seni sebagai ahli jawatankuasa (AJK) lebih penting dan perlu diberi perhatian dalam memahami pemasalahan yang berlaku.

“Konsep menang-menang perlu ada agar semua yang terbabit gembira apabila mendapat apa yang karyawan seni mahukan dari sesuatu perjuangan persatuan itu.

“Tanggungjawab AJK adalah tugas kebajikan dan sukarela. Apa yang berlaku sebelum ini, ahli tidak boleh memantau sistem Prism sekadar mendapat cek bayaran royalti.

“Bagi saya yang mempunyai kerja lain yang memberi sumber pendapatan sampingan tidak terlalu memberi masalah tetapi bagaimana mereka yang hanya bergantung satu kerja dan mengharapkan mendapat royalti yang banyak berdasarkan rekod persembahan dan lagu yang dimainkan.

“Kenyataan penutupan Prism datang daripada mereka sendiri. Bagi pemimpin yang hanya tahu aspek perniagaan tetapi bukan kalangan karyawan seni, ia suatu yang sukar untuk memahami apa masalah sebenar berlaku,” katanya.

Bagi Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, penutupan Prism masih belum menyelesaikan masalah royalti. Tindakan susulan perlu dilakukan Prism untuk memberi penjelasan pada ahli dengan sewajarnya.

“Sepatutnya, segala keputusan diserahkan pada ahli dan bukan kawalan pihak pengurusan sehingga keputusan yang mereka buat sebelum ini kabur. Apa yang saya tahu, menerusi perjumpaan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Prism baru-baru ini, mencapai keputusan apabila majoriti ahli bersetuju badan itu dibubarkan.

“Namun, ini menimbulkan banyak persoalan iaitu apakah tindakan seterusnya dilakukan Prism dan bagaimana mereka mahu menyelesaikan tunggakan royalti ahli.

“Ahli juga berhak tahu berapakah jumlah baki dalam akaun Prism dan adakah wang itu akan dipulangkan semula pada ahli. Untuk mengatasi segala persoalan ini, Prism perlu mengemukakan laporan lengkap apa yang berlaku.

“Karyawan sendiri akan berusaha membantu ahli kami dengan mendapatkan pandangan peguam membantu. Sekiranya tindakan undang-undang perlu diambil, kita akan teruskan,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters