Jom Buat Duit

Saturday 25 February 2012

Keunikan Lisa di mata Yusry



SEBELUM ini pernah timbul spekulasi bahawa pasangan popular Lisa Surihani dan Yusry bakal mendirikan rumah tangga pada tahun 2012, sehinggakan pihak KRU Studio terpaksa membuat kenyataan akhbar untuk menafikan perkara tersebut.
Kini spekulasi berkenaan akhirnya menjadi kenyataan setelah Lisa sah menjadi isteri kepada Yusry selepas diinikah dan diwalikan abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya kelmarin.

Pada upacara akad nikah, Lisa yang kelihatan anggun dengan busana baju kurung moden rekaan Cosry berwarna putih menerima tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, cincin, wang hantaran, kelengkapan sembahyang, manisan, kek dan seutas rantai platinum sebagai mas kahwin.
Pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran seperti tepak sirih, cincin, kelengkapan sembahyang, kelengkapan lelaki, keyboard, koleksi lagu kumpulan The Beatles, bunga rampai, kek dan coklat.

Pada satu sidang akhbar sebaik sahaja selesai upacara pernikahan, Yusry meluahkan rasa leganya apabila majlis tersebut berjalan dengan lancar dan dia selamat bergelar suami kepada Lisa.
"Pasti ramai tetamu yang melihat saya cukup tenang semasa upacara akad nikah berlangsung. Hakikatnya, saya tetap rasa cukup gementar dan perasaan tersebut harus saya ketepikan supaya menjadi lebih tenang.

"Apa pun saya sangat gembira dan bersyukur apabila impian untuk mendirikan rumah tangga telah termakbul dan sekarang Lisa sudah menjadi isteri saya yang sah dan saya berharap hubungan ini akan berkekalan sampai bila-bila," ujar Yusry yang segak mengenakan baju Melayu moden berwarna putih pada majlis tersebut.

Ketika ditanya tentang keistimewaan yang dimiliki oleh Lisa, pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu menjelaskan isterinya itu telah membuka semula pintu hatinya untuk menerima kehadiran seseorang sebagai teman hidup.

Menurut Yusry lagi, sudah agak lama dia tidak percaya kepada cinta setelah gagal dalam perkahwinan terdahulu, namun kehadiran Lisa telah mengubah persepsi cinta dalam dirinya.
"Apabila menjalinkan hubungan cinta bersamanya, saya seolah-olah seperti kembali ke usia remaja. Malah, semenjak mula berkenalan dahulu saya dapat merasakan keserasian di antara kami berdua.
"Sewaktu berkenalan dan bercinta dengannya saya melihat dia adalah seorang wanita yang sangat baik dan menghormati kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga saya serta sangat penyayang kepada kanak-kanak," ujarnya.

LISA dan Yusry akan kembali sibuk dengan kerjaya masing-masing sekembali mereka daripada berbulan madu nanti.
 
Sementara itu, Lisa yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menyatakan keputusannya untuk menerima Yusry sebagai suaminya yang sah adalah satu pilihan yang tepat dan terbaik.

Menurut pelakon itu lagi, pada usia yang sudah mencecah 26 tahun dia merasakan sudah tiba masanya untuk menuju ke gerbang perkahwinan dan bersedia untuk bergelar sebagai seorang isteri.
"Tentang keistimewaan Yusry di mata saya pula, sebenarnya ia agak sukar untuk dijelaskan. Namun, kehadiran Yusry dalam hidup saya sekarang sudah dianggap sebagai sesuatu yang cukup istimewa.
"Sepanjang mengenali diri dan hati budi Yusry dengan lebih mendalam semasa berkawan dan bercinta, saya rasakan dia ialah lelaki yang paling sesuai untuk menjadi teman hidup saya," ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon yang popular menerusi watak Mila dalam filem Ombak Rindu itu turut meluahkan rasa sedihnya apabila arwah ayahnya tiada di sisi meraikan hari yang bersejarah buat dirinya.

Bilangan anak
Sudah menjadi lumrah kepada mana-mana pasangan selebriti yang mendirikan rumah tangga pastinya tidak terlepas daripada diajukan pertanyaan mengenai perancangan untuk memiliki cahaya mata.
Mengenai zuriat mereka, kata Lisa, dia dan suami tercinta tidak pernah membuat sebarang perancangan. Lisa menjelaskan, dia sendiri sudah bersedia untuk bergelar sebagai seorang ibu pada bila-bila masa sahaja.

"Memang tiada sebarang perancangan untuk kami memiliki anak sama ada pada tahun ini atau tahun berikutnya. Kepada saya, perkara mengenai cahaya mata ini kami hanya serahkan pada rezeki yang akan dikurniakan.

"Berkenaan jumlah anak yang ingin diperoleh pula, sebenarnya saya tidak kisah sangat mengenainya. Kalau dikurniakan seramai empat orang anak ia sudah pun memadai buat diri saya," ujarnya.
Mengenai karier lakonan pula, Lisa menyatakan dia masih akan tetap berlakon seperti biasa dan akan mempertimbangkan apa sahaja tawaran yang diterima dan status sebagai isteri bukanlah satu penghalang untuk meneruskan kerjayanya.

"Suami pun masih tetap menyokong saya sepenuhnya untuk terus berlakon, malah saya rasa sangat beruntung kerana mendapat seorang suami yang sememangnya terbabit dalam industri hiburan dan faham dengan kerjaya masing-masing," tuturnya.

YUSRY melahirkan rasa syukur kerana berjaya menyunting Lisa menjadi isterinya.

Berbulan madu
Beberapa hari selepas berlangsungnya majlis resepsi yang diadakan secara serentak oleh kedua-dua belah keluarga pengantin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari ini, Lisa dan Yusry akan berbulan madu di Eropah.

Jelas Yusry, mereka memutuskan untuk berbulan madu di beberapa lokasi di negara Eropah. Yang menjadi pilihan dan destinasi pertama mereka berdua untuk berbulan madu nanti ialah Switzerland.
"Kami akan memulakan destinasi bulan madu di Switzerland dan berada selama beberapa hari di sana. Tentang tempoh berada di sana pula kami tidak pasti kerana ia bergantung kepada kesesuaian tempat tersebut.

"Selepas berada di Switzerland, kami akan pergi pula ke Cannes, Perancis dan Milan, Itali. Paling lama kami akan bercuti untuk berbulan madu adalah kira-kira dua minggu," ujarnya.
Mengenai pemilihan negara-negara tersebut sebagai lokasi bulan madu, tiada sebarang keistimewaan di ketiga-tiga lokasi berkenaan. Sebaliknya, ia dipilih berdasarkan cadangan beberapa orang rakannya.

"Kami hanya sempat untuk berbulan madu selama dua minggu sahaja. Selepas itu saya akan sibuk untuk menyiapkan kerja-kerja posproduksi filem Vikingdom, manakala isteri saya pula akan terbabit dengan filem Tingkat 4," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters