Jom Buat Duit

Sunday 26 February 2012

Belum cerai lagi! - Shikin Dahalan

“SIAPA tidak mahu hidup bahagia? Kalau boleh, semua orang inginkan perkahwinan kekal hingga ke akhir hayat, tetapi siapa kita untuk melawan takdir,” itulah pembuka bicara penyanyi Shikin Dahalan, 32, tatkala dihubungi SELEBRITI baru-baru ini. Biarpun persoalan rumah tangganya yang dikatakan bergolak dibangkitkan, penyanyi ini yang sinonim dengan irama dangdut dan popular dengan lagu Yang...Yang..., cukup tenang.

Jelasnya, gosip mengatakan dia dan suami, Ahmad Zuki Md Zain, 34, sudah berpisah tidak benar, tetapi ibu kepada Qistina Balqis, 7, ini mengesahkan dia menunggu masa sesuai untuk melaksanakannya.
“Memang saya dan suami sudah capai kata sepakat mahu berpisah, tetapi belum memfailkannya di mahkamah. Perkara ini belum muktamad dan kami masih menunggu masa sesuai.

“Sejak beberapa bulan lalu, kami tidak lagi tinggal sebumbung. Kami tidak boleh duduk serumah kerana keadaan jadi panas. Jadi ini jalan terbaik buat masa ini.

“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada keluarga masing-masing dan menceritakan masalah sebenar. Alhamdulillah, baik keluarga saya mahupun mentua faham situasi kami.

“Biarpun tidak lagi tinggal bersama, hubungan saya dan suami masih baik. Kami tidak bertengkar, malah bergilir-gilir menjaga anak. Balqis tinggal dengan saya pada waktu siang hingga jam lapan malam.

“Sebelum keluar bekerja, saya akan hantar Balqis ke kelas iqra’. Apabila habis, suami akan bawa Balqis tidur di rumahnya. Dia akan hantar Balqis ke sekolah pada sebelah pagi dan saya akan ambil Balqis tengah hari dan bawa balik ke rumah saya.
“Begitulah rutin kami setiap hari sejak tinggal berasingan dan saya kini tinggal dengan kakak. Apabila tinggal berasingan, komunikasi saya dan suami lebih mudah dan lancar,” katanya yang memohon supaya perkara ini tidak diperbesar-besarkan kerana belum ada kata putus.

Mengenai punca masalah, Shikin enggan menjelaskan lebih lanjut, sebaliknya hanya mengatakan dia dan suami, yang bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta, tidak lagi sehaluan.

Akuinya, sedih memanglah sedih tapi mungkin mengakhiri perkahwinan yang dibina pada 27 September 2003 itu adalah jalan penyelesaian dan terbaik buat mereka berdua. Shikin juga menafikan ada kaitan dengan orang ketiga.

Mengenai kerjaya seni, Shikin mengakui walaupun kurang publisiti, dia masih kencang menerima undangan persembahan, terutama majlis tertutup, majlis makan malam dan hari keluarga. Shikin kini menyanyi di kelab Lake View, Subang Jaya, sejak tiga minggu lalu.

Bersama band Djavu, Shikin melalui pengalaman baru yang disifatkan mencabar apabila kontrak selama tiga bulan itu menuntut dia mendendangkan lagu pelbagai genre.

“Kebanyakan undangan persembahan hanya pada hujung minggu dan pada hari biasa saya tidak bekerja. Daripada goyang kaki di rumah, ada baiknya saya menyanyi di kelab dan dapat gaji bulan.

“Apabila bekerja di kelab, baru tahu betapa mencabarnya. Saya kena kuat mental dan fizikal. Jika sebelum ini waktu bekerja saya pendek dan orang mahu dengar lagu dangdut tetapi di kelab, waktu kerja lebih panjang dan perlu tahu semua genre.

“Di kelab, pengunjung boleh buat permintaan lagu dan biasanya mereka mahu lagu Inggeris dan berentak rancak. Ada juga permintaan lagu lama yang ketika itu saya belum lahir. Jadi kena banyak belajar.

“Setiap hari saya akan menyanyi di kelab dan hujung minggu pula memenuhi undangan makan malam, majlis tertutup atau hari keluarga,” katanya.

Ditanya tidakkah perubahan angin ini mungkin mengundang persepsi negatif masyarakat terhadapnya, sambil ketawa Shikin menjelaskan, dia sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan yang bakal mendatang.

Bukan setahun dua dia dalam industri, hatinya tegar dengan kecaman dan andai ada yang mencerca selepas ini, ia sedikitpun tidak menjadi kudis.

“Biarlah orang nak cakap apa, saya bekerja untuk mencari rezeki. Sebelum ini ada juga teman bergurau bila tahu saya menyanyi di kelab. Mereka tanya dah tak laku ke, sampai nak jadi penyanyi kelab. Saya tak kisah, malah langsung tak ambil hati.

“Yang penting, saya tidak bergantung dengan orang untuk mencari rezeki keluarga dan mak ayah. Saya tahu rezeki saya datang dari mana.

“Lagipun saya masuk kelab bukan untuk ikut cara hidup kelab. Saya dilahirkan sebagai penghibur dan dengan bakat yang ada, saya mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

“Kalau masih ada yang mahu pandang negatif, terserah kerana yang penting saya bekerja dengan izin mak ayah dan keluarga tahu saya pandai jaga diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters