Jom Buat Duit

Friday 24 February 2012

Intan Ladyana yakin diri





AWAL kemunculannya dengan filem Tipah Tertipu The Movie (2006) dan Jangan Pandang Belakang (2007) aktres Intan Ladyana tidak memberi keyakinan yang tinggi buat peminat filem dan drama tempatan.

Lakonannya ketika itu, agak kaku dan keras, namun selepas terlibat dalam sembilan naskhah filem, Intan semakin matang, lakonannya juga semakin meninggalkan kesan buat penonton sehingga dia tercalon sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bini-Biniku Gangster pada Festival Filem Malaysia ke-24 yang lepas.

Meskipun tewas kepada aktres Faezah Ilai, kata Intan yang ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya Adnan Sempit 2, pencalonannya itu membuktikan bakat lakonannya diiktiraf setanding dengan aktres senior Fauziah Datuk Ahmad Daud yang turut tercalon dalam kategori yang sama.

"Kalau teruk sangat saya berlakon tidak mungkin saya akan tercalon dalam Festival Filem Malaysia (FFM). Mungkin dulu lakonan saya tidak berapa bagus tetapi saya belajar daripada setiap filem yang saya lakonkan. Saya juga merasai peningkatan mutu lakonan saya berbanding sebelum ini.

"Mungkin orang yang mengatakan lakonan saya masih di tahap yang sama, mereka tidak mengikuti perkembangan saya. Dalam filem seram Flat 3A, watak itu berat dan cukup berbeza dengan watak yang pernah saya bawa sebelum ini," ujarnya yang merupakan kekasih kepada aktor Kamal Adli.
Bercakap mengenai pelapis baharu yang muda dan berjaya mengecapi populariti dalam masa yang cukup singkat, jelas Intan dia tidak melihat situasi itu sebagai satu persaingan, malah dia melihat kewujudan ramai pelapis muda sebagai satu tanda positif buat industri seni tempatan.

"Bakat masing-masing berbeza terpulang kepada rezeki. Bagi saya kemunculan ramai aktres baharu tidak menutup peluang saya, bahkan industri lakonan tempatan memerlukan lebih ramai pelakon baharu., jika tidak nanti di kaca televisyen dan pawagam hanya wajah pelakon yang sama sahaja.
"Alhamdulillah setakat hari ini rezeki saya masih ada dan saya masih sibuk seperti biasa," ulasnya yang merupakan duta produk kecantikan Syurah.

Akuinya kini dia lebih memilih naskhah untuk mengekalkan kualiti profil lakonannya dan enggan melakonkan watak yang sama pernah dibawakan sebelum ini.
"Pertama sekali, sebelum menerima tawaran saya pasti meneliti skrip terlebih dahulu. Jika cerita menarik dan wataknya berbeza saya pasti ambil, saya tidak mahu lagi membawakan watak yang sama. Dalam tiga filem baharu lakonan saya iaitu Flat 3A, Adnan Sempit 2, dan Bini-Biniku Gangster semuanya watak yang berbeza," tuturnya yang masih bernaung di bawah Metrowealth International Group (MIG).

Lebih gedik
Filem Adnan Sempit pertama arahan Ahmad Idham telah meletakkan satu standard yang tinggi apabila filem itu berjaya mengutip RM7.8 juta. Justeru itu harapan tinggi diberikan oleh peminat menerusi sekuel keduanya arahan pengarah Ismail Bob Hashim yang akan mula ditayangkan semalam, 23 Februari lalu.
Tekanan itu turut dirasai oleh barisan pelakonnya termasuk Intan yang memegang watak utama sebagai Nadia. Namun, katanya keserasian yang wujud antara mereka memudahkan proses penggambaran dan kekuatan sekuel Adnan Sempit ini terletak pada jalan ceritanya yang lebih kompleks.

"Bagi saya kekuatan sekuel filem ini terletak pada jalan ceritanya. Adnan Sempit yang pertama merupakan pengenalan kepada watak-watak yang ada dalam filem ini, manakala yang kedua berlakunya perkembangan watak.
INTAN LADYANA mengaku dia kini lebih yakin dengan kredibiliti lakonannya selepas terbabit dalam banyak drama dan filem sejak beberapa tahun lalu.
 


"Saya akui dalam sekuel ini, watak saya lebih gedik kerana Nadia sudah jatuh cinta dengan Adnan dan sememangnya Nadia merupakan anak yang manja. Tetapi rasanya gedik Nadia tidaklah berlebihan sesuai dengan watak dan karakternya," luahnya yang masih tidak berpuas hati dengan lakonannya dalam filem Adnan Sempit.

Komedi sangat sukar - Sam
Aktor popular Shaheizy Sam yang membawakan watak utama, Adnan memberitahu meskipun sekuel Adnan Sempit diarahkan oleh pengarah yang berbeza ia tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

"Pengarah berbeza untuk dua buah filem, sudah pasti terdapat perbezaan antara kedua-dua buah filem meskipun masih memakai judul yang sama iaitu Adnan Sempit. Masing-masing mempunyai keistimewaan dan yang kedua ini lebih banyak komedi untuk membuatkan orang ketawa," katanya.
Tambah Sam, melakonkan watak Adnan buat kali kedua membuatkannya lebih yakin berbanding yang pertama namun, katanya cukup sukar untuk membuatkan orang ketawa.

"Kali ini saya lebih yakin sebagai Adnan tetapi sukar untuk saya apabila terdapat banyak babak komedi dalam sekuel ini. Menangis lebih senang berbanding untuk membuat orang ketawa, jadi tidak secara langsung ia membuatkan saya sedikit tertekan," balasnya.
Disoal, sejauh mana keyakinannya mengenai kutipan tiket selepas Adnan Sempit pertama berjaya mencipta sejarah sebagai antara filem Melayu terlaris, kata Sam, soal kutipan di luar bidang kuasanya sebagai pelakon.

"Sasaran berapa jumlah kutipan tiket bukan kerja saya, itu kena tanya penerbit. Ketika saya berlakon, saya tidak letak dalam kepala yang filem ini harus lebih kutipannya daripada yang pertama, saya hanya memberi lakonan yang terbaik terpulang kepada penonton yang menonton filem Adnan Sempit 2.
"Harapan saya agar rakyat Malaysia memberi sokongan kepada industri filem tempatan," jawabnya.
Lebih serasi
Pemegang watak Wawa dan Bobby, Yana Samsudin dan Along Cham menjelaskan menerusi sekuel Adnan Sempit mereka semua lebih serasi berbanding yang pertama selepas mereka bergandingan dalam drama siri Adnan Sempit sebanyak 26 episod.

"Selepas beberapa kali membawa watak yang sama dan bergandingan orang yang sama keserasian itu wujud dan semua perkara yang sukar menjadi mudah. Ketika penggambaran kami semua seronok, malah pengarah juga menerima idea-idea daripada kami untuk memantapkan lagi filem ini.
ADNAN SEMPIT 2 merupakan kesinambungan kepada kisah cinta dan kegiatan remaja yang gemar berlumba motor.
 

"Bagi saya filem Adnan Sempit sebuah filem yang besar kerana ketika Adnan Sempit pertama kebanyakan pelakonnya masih baharu termasuk saya. Tetapi untuk yang kedua, kami semua sudah ada lebih pengalaman dan sangat berharap agar filem ini berjaya memikat hati penonton," tuturnya.
Along Cham yang membawakan watak Bobby kekasih kepada watak Wawa mengakui tekanan yang dihadapi oleh produksi filem Adnan Sempit 2 kerana mereka harus mengekalkan momentum Adnan Sempit pertama.

"Banyak perkara yang harus diambil berat, kami tidak boleh melakukan lawak yang klise yang ada dalam Adnan Sempit pertama, nanti penonton bosan. Sebab itu apabila di set penggambaran pelbagai idea gila muncul daripada kami, pelakon-pelakon. Menariknya, pengarah, mengambil kira idea kami, itu yang seronok bekerja dengan abang Bob," luahnya.
Lebih banyak dialog - Angah

Menerusi Adnan Sempit, Angah Raja Lawak yang memegang watak Ismat tidak mempunyai banyak dialog, bagaimanapun setiap kali kemunculannya dengan hanya menyanyi lagu karaoke mengikut mood cerita begitu memikat hati penonton.
Oleh itu dalam Adnan Sempit 2, wataknya dikembangkan sebagai rakan kongsi perniagaan bersama Bobby dan lebih banyak dialog diberi kepadanya.

"Lebih banyak aksi komedi yang dihidangkan dalam sekuel filem Adnan Sempit, saya juga dapat lebih banyak dialog daripada menyanyi karaoke di gerai makan sekarang saya juga mempunyai perniagaan bersama Bobby.
"Mungkin orang yang menonton akan dapat lihat perbezaan antara kedua-dua filem tetapi bagi saya, kedua-dua buah filem Adnan Sempit pertama dan kedua sangat istimewa. Harapan saya agar orang yang menonton terhibur," jawabnya,

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters