Jom Buat Duit

Saturday 11 February 2012

Ratu Pop Dunia kembali menakluk - Madonna



SELEPAS tiga tahun bercerai dengan bekas suaminya yang juga seorang sutradara filem, Guy Ritchie, Madonna kembali meraih cinta seorang penari kelahiran Perancis, Brahim Zaibat, 24.
Serik dan bosan asyik ditebak soalan yang sama mengenai hubungan cinta dengan jejaka muda, Madonna menegaskan setiap hubungan yang terjalin berlaku tanpa diduga.
"Tidakkah kamu semua penat bertanyakan subjek ini (cinta)?
"Saya tidak pernah memilih untuk menjalinkan hubungan dengan mereka apatah lagi memberitahu kepada orang ramai bahawa saya kini sudah ada teman lelaki.

"Ia berlaku dengan cepat dan inilah sisi romantik dalam diri saya. Saya baru bertemu dengan seseorang yang boleh saya ambil berat dan sayangi, malangnya perkara ini berlaku ketika usianya sekarang," katanya kepada media selepas membuat persembahan pada waktu rehat perlawanan bola sepak Amerika Syarikat, Super Bowl di Indianapolis, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ikon pop dunia itu lebih selesa membicarakan hal lain berbanding kisah cintanya.
Sebelum ini, Madonna, 53, pernah dikatakan keluar bersama seorang model Brazil bernama Jesus Luz yang seusia dengan teman lelakinya terkini.

Ketika ditanya mengenai perasaannya terhadap jejaka muda, penyanyi lagu Material Girl itu enggan mengulas!
"Saya tidak rasa selesa dengan perbualan ini!" gesanya yang menolak untuk menjawab soalan yang diajukan.
Namun kisah cinta ratu pop yang menjadi kegilaan dunia sejak tahun 1982 itu tetap menjadi fokus peminatnya.

Madonna dalam pada itu mendedahkan bahawa dia mahukan seorang teman hidup yang sudi berkongsi setiap aspek tidak pernah diperoleh daripada perkahwinannya terdahulu.
Malah, tambahnya lagi dia inginkan seseorang yang boleh menjadi sebahagian daripada keluarganya dan mampu membuat keputusan bersamanya.
"Saya tidak mahu menghabiskan sisa hidup saya sendirian, saya suka menjadi seorang ibu. Anak-anak saya terutamanya banyak mengisi kekosongan hidup saya dan memberikan sumber inspirasi dalam pelbagai cara.

INILAH kulit album terbaharu Madonna yang bakal dipasarkan pada bulan Mac ini, MDNA.
 
"Tapi saya perlukan seorang teman hidup yang saya fikir setiap orang perlukannya," cerita Madge (singkatan nama Madonna yang digelar media Barat).
Mengutamakan keluarga lebih daripada segalanya, perkara pokok yang diletakkan untuk bakal teman hidupnya adalah seseorang yang boleh dihormati oleh keempat-empat orang anaknya, Lourdes, 15, Rocco (11), David Banda dan Mercy James (6).
"Saya mahukan seseorang yang boleh mencipta satu hubungan dengan anak-anak saya dalam masa yang sama boleh dijadikan seorang idola," tambah Madonna.

Mengakhiri bicara mengenai teman lelakinya terkini, ujar Madonna dia (Brahim) seorang yang senang diuruskan dan tidak banyak kerenah.
"Saya balik rumah, cuci muka dan kadang-kadang saya minta dia urutkan kaki saya. Tapi dia pula minta saya urutkan kaki dia. Tidakkah dia seorang yang selamba? Perkara lain rasanya tidak perlu saya dedahkan, saya seperti anda semua juga," ceritanya lagi.
Pengarah W.E

Sementara itu, Madonna juga bakal tampil bersama filem arahan terkininya, W.E. Filem itu mengisahkan hubungan cinta seorang rakyat biasa, Wallis Simpson dan Raja Britain, Edward VIII.
Kedua-dua watak itu diberikan Madonna kepada pelakon James D'Arcy dan Andrea Riseborough dan W.E sudah mula ditayangkan di Eropah pada awal bulan Februari.
Menerusi filem itu, Madonna bertindak sebagai pengarah, penerbit dan komposer runut bunyi.
Biarpun tidak mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan, namun filem yang berasaskan drama romantik era 1930-an itu berjaya memenangi anugerah Spotlight Award dalam Festival Filem Hoolywood pada tahun lalu menerusi lakonan mantap Andrea Riseborough.
"Saya sentiasa jatuh cinta dengan individu yang banyak berkorban demi saya terutama untuk filem ini.

"Apa yang dapat saya perhatikan menerusi kajian filem ini sebenarnya tiada erti sebenar mengenai cinta sempurna dalam kehidupan kita," ujarnya.
Album dan konsert
Madonna yang kali terakhir tampil bersama sebuah album yang diberi judul Confession On A Dance Floor adalah pada tahun 2005 dan katanya kepada media antarabangsa, dia bakal kembali bersama buah tangan terbaharu pada bulan depan.
"Album terbaharu saya MDNA yang diterbitkan oleh William Orbit dan Martin Solveig dijangka akan dikeluarkan pada 26 Mac nanti. Ia akan diedarkan oleh Interscope di bawah label kumpulan Universal," singkapnya.

MENGGEGAR! Aksi Madonna bersama Nicki Minaj (kiri) dan M.I.A untuk single Give Me All Your Luvin', baru-baru ini menarik perhatian dunia.
 
Kini tampil bersama single Give Me All Your Luvin', Madonna seperti biasa mengejutkan dunia sejak hari pertama single dan klip video lagu itu didedahkan pada 3 Februari lalu.
Pada hari itu saja, single dan klip videonya yang turut menampilkan Nicki Minaj dan M.I.A (Mathangi Maya Arulpragasam) itu ditonton serta didengari lebih 150 juta orang dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, Madonna juga, katanya akan kembali dengan siri jelajah tidak lama lagi.
"Saya akan memanaskan momentum tahun ini menjelang musim panas nanti bersama siri jelajah terbaharu. Tarikhnya dijangka akan diumumkan tidak lama lagi," ujarnya lagi.

Siri konsert jelajahnya, Who's That Girl Tour di Turin, Itali kini sudah diterbitkan dalam bentuk DVD selain persembahannya di Sydney, Australia menerusi The Girlie Show - Live Down Under.
Selain itu, Madonna - Drowned World Tour 2001 di Detroit, Amerika Syarikat, Madonna - The Confessions Tour (London, United Kingdom) dan Madonna - Sticky & Sweet Tour (Buenos Aires, Argentina) kini sudah pun diterbitkan.
Bagaimanapun, The Virgin Tour, The Blond Ambition Tour dan Re-Invention Tour (Lisbon, Portugal) sedang dalam proses pembikinan ke dalam format yang serupa.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters