KERANDA berisi mayat Whitney dibawa keluar dari Gereja New Hope Baptist, Newark, semalam.
NEWARK (New Jersey): Selebriti, keluarga dan teman rapat meratapi penyanyi Whitney Houston dalam upacara pengebumian di bandar kelahirannya kelmarin, seminggu selepas kematian mengejut penyanyi bersuara emas itu.
Kumpulan koir mendendangkan muzik gospel kepada tetamu yang memenuhi Gereja New Hope Baptist di Newark, di mana bakat menyanyi Whitney ditemui ketika menjadi ketua kumpulan koir gereja itu bersama ibunya, Cissy Houston, penyanyi latar kepada Aretha Franklin.
“Whitney kembali ke tempat di mana semuanya bermula,” kata aktor Kevin Costner yang berlakon di samping penyanyi itu dalam filem popular The Bodyguard pada 1992.
Costner menggesa semua orang di seluruh dunia supaya “keringkan air mata kita, simpan kesedihan kita - atau mungkin kemarahan - hanya untuk mengingati keajaiban indah Whitney.”
Whitney yang mati di bilik Hotel Beverly Hills minggu lalu, telah merakam pelbagai lagu cinta yang menusuk hati dan irama muzik rancak sepanjang tempoh 30 tahun kariernya dengan lagu hit “I Will Always Love You” membuka laluan kepada penyanyi generasi baru untuk mengikut jejak langkahnya.
Ketika upacara itu, penyanyi dan sepupu Whitney, Dionne Warwick mempersembahkan beberapa muzik pop, gospel dan soul dari tahun lalu hingga kini.
Beberapa artis lain turut membuat persembahan sebagai memberi penghormatan termasuk nama besar seperti Stevie Wonder dan Alicia Keys.
Alicia dengan linangan air mata mengingati bagaimana Whitney selalu berhubung dengan artis muda.
Aktor dan penerbit Hollywood Tyler Perry berbicara mengenai semangat kental dimiliki Whitney yang membawanya ke puncak kejayaan” sebelum menambah “sekarang Whitney sedang berehat, menyanyi bersama malaikat”.
Keluarga Whitney memutuskan untuk tidak mengadakan majlis peringatan untuk awam sebagaimana dilakukan bintang pop Michael Jackson selepas kematiannya pada 2009, tetapi mereka bersetuju untuk membenarkan upacara itu disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen dan Internet.
Whitney dikebumikan pagi semalam di kawasan perkuburan Fairview bersebelahan bapanya, John Russel Houston yang meninggal dunia pada 2003. - Reuters
No comments:
Post a Comment