DALAM kesibukan menjalani rutin kehidupan apalagi kini menjadi pemilik sebuah salun kecantikan rambut, pelakon dan penyanyi, Kelvin Lau Yeong Nan mengakui masih sukar berenggang daripada dunia hiburan.
Baginya, tidak mudah untuk melupakan bidang ini apalagi lakonan adalah periuk nasi�nya selama ini sebelum dapat membuka perniagaan sendiri.
Mula berlakon sejak 1992, Kelvin yang kini semakin petah bertutur bahasa Melayu sudah berlakon lebih 50 drama malah cukup popular dengan lagu Kau Untukku dan Cinta Bukan Baju yang dimuatkan dalam album Melayunya.
Walaupun kini pemuda kelahiran Klang, Selangor ini lebih memfokuskan kepada salun The Cuttin Mansion miliknya yang beroperasi di Axis Atrium, Ampang, Kuala Lumpur namun dirinya masih lagi dihujani tawaran berlakon.
Malah, pada sekitar hujung bulan ini, sebuah filem yang menggabungkan artis dari China, Singapura dan Malaysia iaitu Fist of Dragon yang dibintanginya bakal ditayang�kan di pawagam bermula 23 Februari ini.
Kelvin yang dihubungi baru-baru ini menyatakan rasa gementar namun dalam masa yang sama teruja untuk melihat bagaimanakah penerimaan penonton terhadap filem yang mengambil masa dua tahun untuk penggambaran ini.
“Ini adalah filem saya yang pertama memegang watak utama dan berharap memberi kesan kepada penonton kerana saya sudah memberikan yang terbaik.
“Walaupun sebelum ini pernah juga berlakon watak sampingan dalam filem Bujang Senang dan Lady Boss, namun kali ini cabarannya lebih besar apalagi kena melakukan aksi pertarungan.
“Fist of Dragon adalah berkisar kegiatan gengster dan semestinya tidak mudah untuk melakukan aksi ganas.
“Selepas dua tahun menanti, filem ini bukan saja ditayangkan di Malaysia, malah di China serta Singapura, namun dalam versi berbeza mengikut negara masing-masing.
“Bagaimanapun, penggambaran dibuat sepenuhnya di Malaysia iaitu di beberapa kawasan di Melaka dan Pelabuhan Klang,” katanya.
Selain itu, Kelvin turut muncul dalam drama SPRM musim kedua di TV2 di samping menjadi tetamu dalam satu rancangan bual bicara berkisar fesyen iaitu Inovasi Fesyen, juga di TV2.
Bercerita mengenai perniagaannya, Kelvin mampu menghela nafas lega apatah lagi salun yang dibukanya bersama seorang rakan kongsi kini mendapat sambutan.
Salun yang sudah beroperasi lebih setahun itu juga sering menerima kunjungan daripada beberapa rakan artis seperti Farhan AF serta selebriti berbangsa Cina bagi mendapatkan khidmatnya.
“Syukurlah, sekarang ini perniagaan semakin bagus sehinggakan kadang-kadang tak lepas tangan. Dengan hanya tenaga kerja seramai tiga orang, saya dan rakan kongsi bercadang membuka cawangan baru serta me�ngambil lebih pekerja selepas ini.
“Kami sudah meninjau beberapa kawasan dan kemungkinan besar membukanya di sekitar SS2, Petaling Jaya,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment