SHAH ALAM - Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencabar Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik semula Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil sebagai anggota Kabinet jika benar tiada sebarang kes
ekoran keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
membersihkan nama beliau daripada dakwaan dikaitkan dengan isu Pusat
Fidlot Kebangsaan (NFC).
"Jika benar Shahrizat sudah bersih dan tiada kes, saya cabar Perdana
Menteri melantik semula Shahrizat jadi menteri Kabinet, dikembalikan
jawatan menteri yang lama (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat)," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Sambil menolak desakan Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah
Osman agar beliau memohon maaf selepas terbukti tidak bersalah ekoran
pengumuman hasil siasatan SPRM, Zuraida berkata, tidak timbul soal
pihaknya perlu memohon maaf.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga berkata, tiada keperluan untuk pihaknya memohon.
"Kami di PKR tidak ada sebab harus memohon maaf. Jika betul Shahrizat
tidak bersalah, saya minta Datuk Seri Najib melantik semula Shahrizat ke
dalam Kabinetnya," kata Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan kelmarin, Pengerusi Panel Penilaian
Operasi SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, bekas Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat didapati tidak terbabit
dalam proses perolehan pinjaman RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan
kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), yang dimilki suami
dan anaknya.
Hadenan berkata, kertas siasatan SPRM dan laporan Pejabat Peguam Negara mendapati Shahrizat tidak terlibat dan kes itu ditutup.
Katanya, Ketua Wanita Umno itu tidak terlibat langsung dalam proses
perolehan pinjaman yang dibuat oleh suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad
Salleh Ismail, yang juga Pengerusi Eksekutif NFC.
Ekoran isu itu, Shahrizat telah meletakkan jawatan menteri berkenaan
apabila tempoh beliau sebagai senator tamat pada 8 April lalu.
Suaminya kini menghadapi perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini atas
dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta dan dua tuduhan
melanggar Akta Syarikat 1965.
Walaupun meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet, Shahrizat kekal
sebagai sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita Barisan Nasional
(BN).
Sambil meminta pihak Umno dan BN tidak terlalu gembira dengan kenyataan
diumumkan SPRM kelmarin, Zuraida yang merupakan salah seorang daripada
beberapa pemimpin PKR menggesa Shahrizat berundur sejak akhir tahun lalu
berkata, SPRM seharusnya mendedahkan hasil siasatan kepada umum.
"SPRM mesti mendedahkan hasil siasatan mereka supaya rakyat dapat tahu
keadaan sebenar," kata beliau sambil menambah, "dari segi teknikal, kita
masih belum tahu proses penganugerahan projek NFC termasuk hubungan
Umno."
Oleh itu kata beliau, SPRM perlu mendedahkan hasil siasatan jika benar Shahrizat tidak bersalah sama sekali.
No comments:
Post a Comment