Jom Buat Duit

Thursday 7 June 2012

Mati ketika mahu selesai kemelut rumah tangga

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas yang dipercayai dalam perjalanan ke rumah isteri bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka terbunuh apabila motosikal ditunggangnya merempuh treler yang keluar mendadak dari simpang di Taman Lembah Bidong, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, Renils Hussin, 76, yang tinggal di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, dipercayai dalam perjalanan untuk bertemu isterinya yang dikahwini awal tahun lalu di Merang, Setiu.

Sebuah treler dari arah Batu Rakit menuju Kemaman keluar dari simpang secara tiba-tiba menyebabkan Renils gagal mengelak lalu motosikal Honda Wave ditunggangnya merempuh treler terbabit. Warga emas itu maut di tempat kejadian dengan tempurung kepala pecah selepas terperosok di bawah lori 36 tan membawa sawit menuju kilang sawit di Cheneh, Kemaman.
Anak mangsa, Rohana Renils, 47, yang tinggal di Kampung Baru Seberang Takir di sini, berkata, bapanya tinggal sendirian di Kampung Batu Rakit selepas mempunyai masalah dengan isteri yang dikahwini awal tahun lalu selepas ibu meninggal dunia lima tahun lalu.

“Rumah tangga bapa bergolak beberapa minggu lalu dan mungkin malam tadi (kelmarin) dia mahu ke rumah isterinya itu untuk membincangkan masalah mereka,” katanya yang kali terakhir berjumpa bapanya minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi di sini semalam, mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya sudah mengambil keterangan pemandu lori berusia 44 tahun berasal di Kampung Bukit Kolam, Ajil, Hulu Terengganu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu hingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters