Jom Buat Duit

Sunday, 3 June 2012

Kembara gaya Nabila Huda

SETIAP kali bertemu mata dengan wanita lincah ini, ada kelainan yang dibawa dalam dirinya. Perbezaan yang dinyatakan di sini adalah dalam tingkatan kematangan dan idea untuk tampil dalam setiap sesi bergambar, sentiasa berinisiatif.
Kali ini, Nabila mahu tampil seakan gadis jalanan bersesuaian dengan watak Tasha yang dibawanya dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2 arahan Syamsul Yusof. Dia kini berbicara lebih tenang, lebih matang.

Jarang-jarang aktres berusia 28 tahun ini muncul dalam karakter yang sama dalam setiap persembahannya. Seakan pegangan aktor antarabangsa, Will Smith. Namun untuk Tasha, Nabila bersedia membentuk dan mengembangkan watak tersebut yang sudah dua tahun ditinggalkan.
"Tasha yang ini sudah kurang riuh seperti filem pertama Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Sukar sebenarnya untuk dapat balik jiwa Tasha tapi saya gali kembali," ujar Nabila yang masuk ke set penggambaran filem Jalan Kembali sebaik tempoh berpantang habis selepas kelahiran buah hatinya, Kheisya Laila, 2.

"Saya juga berkesempatan mengutip ilmu dan pengalaman dengan orang yang hebat dan 'gila' macam Soffi Jikan. Dia boleh jadi rakan ketawa, abang dan mentor dalam lakonan. Kehadiran individu seperti Soffi Jikan boleh bawa semangat dalam berlakon," ujar Nabila atau senang disapa Abil tentang filem yang akan membuka gawang pada 7 Jun di pawagam Malaysia.
Di sebalik kelainan yang dibawakan oleh Abil, satu hal yang tegap bersamanya ialah sikapnya yang telus dan santainya dalam berbicara. Jarang-jarang ibu tunggal beranak satu ini akan menyusun ayat selamat dalam jawapan-jawapannya.

Semakin tenang
Bonus kali ini, dia tampil lebih matang. Katanya tersusun dan tenang. Abil mengakui merasai metamorfosis itu seiring usia dan jalur hidup yang dilaluinya sehari-hari. Ujar Abil, juga sudah lama dia tidak menjalani sesi fotografi. Bukan menolak atau mengelak, cuma masa mencemburui dia beraksi di hadapan lensa kamera.
NABILA HUDA kembali mengisi jasad Tasha untuk filem Jalan Kembali: Bohsia 2 yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 7 Jun nanti.
 
"Ya, saya rasa semakin matang dan sudah semakin faham banyak perkara dengan lebih baik. Contoh terbaharu adalah lebih memahami lirik lagu. Kalau dahulu hanya sekadar tahu, tapi kini saya sudah semakin memahami lirik lagu yang mendalam," ujar Abil merasai perubahan dirinya.
"Kalau soal lakonan juga, saya sudah semakin berdisiplin. Dahulu disiplin juga tapi sekarang makin jaga. Bila datang lambat, mula rasa takut. Saya tidak mahu susahkan banyak pihak dan sebaliknya juga. Masa yang terbuang menunggu lebih baik digunakan untuk waktu kualiti bersama keluarga," luah anak kepada legenda Amy Search ini.

Dia mengaku meresap jauh lebih dalam kewanitaannya. Berubah dalam fasa yang berperingkat dan semakin tumbuh rasa segan.
"Perangai saya masih sama. Gila-gila tapi sikap segan saya lebih menebal sekarang ini. Otak lebih banyak berjalan dan jadual lebih tersusun. Lebih bagus lagi, saya yakin saya seorang wanita yang serba boleh sekarang. Melakukan semua sendiri tanpa kehadiran suami atau teman lelaki," ujarnya yang mendapat giliran selang seminggu menjaga anaknya.

Belum puas menjanda
"Dalam bidang lakonan, saya mengaku berada di zon yang selesa. Saya tidak perlu lagi rasa takut ketinggalan. Saya percaya bakat saya sudah dilihat pengarah, penerbit dan peminat," ujarnya yang berada di kerusi selesa mahupun bukan menjadi pilihan kerap pengarah filem.
"Dari dahulu saya tidak amalkan budaya mencantas peluang aktres lain. Papa saya ajar jangan buat begitu. Kalau kita terlalu mencuba, kita akan akhirnya tidak dapat apa. Saya percaya pada rezeki dan minat," ujarnya yang baru selesai dengan penggambaran drama Nikalaya yang dirakam di Thailand dan Kedah.

Abil juga mengaku santai sahaja melayan cerita-cerita panas yang menghampiri dirinya. Bukan sekali dua, tetapi kerap juga dia disapa kontroversi. Baik kerana status perkahwinan, gambar-gambar panas hinggalah cerita cintanya bersama pelakon baharu bernama Johan Asari.
Berbeza dengan dahulu yang ditangani dengan sedikit melenting, sekarang dia hanya bertindak dengan tidak berbuat apa-apa. Bagai batu jatuh ke laut sahaja layaknya.
"Bila buat baik atau buruk, khalayak hanya bercakap yang buruk. Jadi saya biarkan mereka bercakap dan terus taburkan bakat saya dalam lakonan. Nanti mereka yang bercakap ini akan memandang bakat saya juga, itu harapan saya.
NABILA bersama permata hatinya, Kheisya Laila, 2.
"Lagi pun sebab saya anak Amy Search, jadi masyarakat ada bahan untuk bercakap. Saya mahu terus bekerja dan tidak merungut bila orang bercakap tentang saya. Saya juga tidak lari daripada cerita-cerita panas yang datang saya. Saya sibuk bekerja," luah Abil yang pernah dikaitkan dengan pelbagai cerita panas namun ditanganinya dengan berdiam diri. Lalu apabila ada cerita-cerita panas menghampiri dirinya yang kini berstatus janda, dia mencari tenang sendiri. Abil punya destinasi tenang sendiri, dia mencarinya di dasar laut.
Laut Kenya

"Pulau itu ketenangan dan saya sebenarnya gila mengambil gambar dalam air. Itu cara saya tenangkan fikiran di samping memang sudah jadi satu hobi kegilaan saya," kata Abil yang jatuh cinta dengan aktiviti menyelam skuba sejak empat tahun lalu.
Selesai segala urusan penggambaran di tanah air sendiri, Abil bakal membawa diri mengikut hati dan minat ke sebuah destinasi yang tidak terjangkau untuk menjadi sebuah kawasan lawatan.
"Kenya, saya akan ke sana selama 10 hari. Ramai yang terpanggil untuk ke Kenya termasuk saya. Sudah tentu saya mahu menikmati dunia safari dan menyelam skuba," ujarnya yang akan pergi bersendiri.

IBU muda ini bakal mengembara sendirian ke Kenya kelak


"Memang saya selalu kumpul-kumpul wang dan kemudian mengembara. Saya mahu mengembara melihat kehidupan dan budaya negara lain. Juga melihat kesusahan yang dihadapi mereka," ujar si penyelam peringkat mahir itu.
Lalu ditanyakan si wanita lincah bergaya ini, kalau-kalau dia sudah bersedia merapati dunia perkahwinan lagi. Dia ketawa dan menjawab jujur.
"Buat masa ini, belum lagi. Sekarang adalah waktu tidak terikat, jadi saya tidak mahu ketinggalan dalam menikmati momen dan fasa ini. Saya mahu mengembara sepuas-puasnya dan menikmati zaman muda saya yang berseorangan ini. Juga menikmati masa pembesaran anak saya Kheisya," ketawanya yang mengaku ketinggalan sedikit zaman mudanya sewaktu dahulu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters