Jom Buat Duit

Saturday 17 March 2012

Rezeki DJ Lin

SEGALA kejayaan yang dikecapi penyampai Suria FM, DJ Lin, bukan datang secara mudah dan dalam sekelip mata. Berbanding penyampai di stesen radio lain, pengendali program popular, Suria Cinta ini terpaksa menunggu lama untuk meraih pelbagai penghargaan menerusi kerja kerasnya dalam bidang penyiaran.

Memulakan kerjaya di Suria FM sejak 1 Jun 2006, bakat DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 37, baru dilihat pelbagai pihak apabila diiktiraf sebagai Penyampai Radio Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010 dan Rancangan Radio Interaktif Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2005 dan 2010.


Pencapaian ini sememangnya satu kejayaan terbesar dalam hidup penyampai berasal dari Johor ini. Apatah lagi Suria Cinta mempunyai pengikut tersendiri sehingga halaman peminatnya (fan page) facebook DJ LIN SURIA CINTA SURIA FM mencatatkan hampir 86,000 peminat manakala, blog fandjlincintamania.blogspot.com pula mendapat kunjungan 30 ribu peminat sejak diwujudkan pada tahun lalu.

Tidak hairanlah dia terpilih sebagai duta kereta Proton Persona. Terbaru, tuah sekali lagi bersamanya apabila dilantik sebagai duta produk kecantikan Nureen’s Beauty. Sekali lagi, pemilihan ini dibuat berdasarkan populariti program itu.
Menariknya, Pengarah Urusan Nureen’s Beauty, Mohd Rafi Ismail dan isterinya, Pengarah Eksekutif Nureen’s Beauty, Noor Fazilina Raman adalah pengikut setia program ini.

“Kami dipertemukan komposer Eddie Hamid yang kenal mereka. Pasangan ini memang dah lama nak jumpa untuk berbincang, tapi tak tahu caranya. Dah rezeki saya, kali pertama berjumpa, Rafie dah luahkan hasrat untuk jadikan saya sebagai duta mereka. Ini satu penghormatan yang cukup besar buat saya. Saya sudi terima kerana apa salahnya untuk bantu usahawan Malaysia kembangkan sayap.

“Saya juga nampak kesung guhan mereka bekerja dan berterima kasih kerana Nureen’s Beauty memberi kepercayaan untuk bergelar duta mereka. Selaku duta, selain promosi di media massa, saya juga akan turun padang berjumpa peminat untuk memperkenalkan produk ini. Insya-Allah saya akan menjelajah seluruh negara kerana inilah kesempatan untuk saya menghargai sokongan mereka.

“Saya juga akan menggunakan peluang ini dengan buat kuiz produk ini di Suria FM. Tak ketinggalan, kerjasama ini dilakukan dengan penajaan hamper untuk Suria Cinta selama empat minggu. Jalinan kerjasama ini sangat positif dan dengan pengalaman sebelum ini sebagai pegawai perhubungan awam Suria FM selama tiga tahun, saya akan gunakannya untuk membantu memperkenalkan mereka di kalangan media,” katanya.

Tanpa berselindung, Lin mengakui sebelum ini didatangi tawaran untuk bergelar duta. Bagaimanapun, ia hanya sekadar cakap-cakap kosong tanpa tindakan susulan.
Bagaimanapun, dia tidak kecewa kerana belum rezekinya ketika itu.

“Melihatkan kesungguhan mereka, Insya-Allah saya berjanji akan buat yang terbaik. Jujurnya, saya hanya menggunakan produk ini selepas diperkenalkan.
Bagaimanapun, kesannya dah mula saya rasai. Saya juga lihat respons pengguna lain semuanya berpuashati selepas menggunakan produk ini,” katanya yang kini tampil dengan single berjudul Ranting Kenangan ciptaan Eddie Hamid.

Sementara itu, Rafie berharap kerjasama dengan DJ Lin akan membawa perubahan positif di kalangan pengguna terutamanya kaum wanita. Dia turut memperkenalkan tiga produk terbaru iaitu Nureen’s SliimBetz, Mirifica Gold dan Gluta Collagen.

“Memandangkan kami sendiri peminat DJ Lin, kami lihat pengaruhnya sangat kuat dan berupaya menarik pengguna untuk kenal produk kami. Jumlah penyokongnya yang ramai membuatkan kami tak ragu-ragu memilihnya sebagai duta produk. Memang kami ada cadangan untuk kembangkan sayap ke luar negara tapi untuk sementara waktu, kami mahu menumpukan pada pasaran tempatan terlebih dahulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters