SELAMA ini peminat muzik di negara ini lebih mengenali pemuzik Kenny G sebagai seorang pemain saksafon yang cukup terkenal di seluruh dunia. Namun, industri muzik antarabangsa turut memiliki seorang lagi peniup saksafon yang cukup hebat iaitu David Sanborn.
Lebih dikenali di kalangan penggemar muzik jazz, peniup saksafon yang dilahirkan di Florida, Amerika Syarikat itu turut berkemampuan untuk mengalunkan irama muzik pop, funk, R&B, blues dan rock menerusi instrumen muziknya.
Memulakan kerjaya sebagai peniup saksafon pada awal 60-an, David yang kini sudah berusia 66 tahun sudah menghasilkan 24 buah album dan dianggap sebagai salah seorang legenda dalam industri muzik.
Sepanjang lima dekad bergelar pemuzik, sudah enam Anugerah Grammy yang telah diraihnya serta sering bekerjasama dengan ramai penyanyi terkenal dunia seperti Rolling Stones, David Bowie dan Eric Clapton.
Pada 6 Mac lalu, peniup saksafon terkenal tersebut telah hadir ke Kuala Lumpur sempena dengan konsert David Sanborn Band Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ketika ditemui pada satu sidang akhbar sebelum berlangsung konsert, David telah melahirkan rasa terujanya apabila sekali lagi berpeluang untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur.
“Kali pertama saya datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan adalah pada tahun 1998 dan ketika itu Menara Berkembar Petronas baru sahaja siap dibina. Kini, selepas 14 tahun akhirnya saya telah kembali semula ke sini dan banyak perubahan yang sudah berlaku.
“Namun, apa yang membuatkan saya berasa teruja apabila masih ramai lagi yang meminati muzik jazz di Malaysia dan mendapat peluang membuat persembahan di negara ini akan digunakan sebaiknya untuk menghiburkan peminat yang datang,” ujarnya.
Menurut David, biarpun dia mampu untuk memainkan pelbagai genre muzik, tetapi dia lebih gemar untuk memainkan muzik jazz memandangkan ia lebih sebati dengan minat dan jiwanya sehingga dikenali di kalangan penggemar muzik jazz.
“Sepanjang bergelar pemuzik saya telah bekerjasama dengan ramai penyanyi terkemuka dunia, tetapi saya juga sebenarnya berminat untuk bekerjasama dan berkolaborasi dengan penyanyi generasi sekarang,” tuturnya yang telah membuat persembahan di Java Jazz Festival pada awal Mac lalu.
Sewaktu konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur, ternyata David telah berjaya memukau lebih 2,000 peminatnya yang hadir menerusi persembahan yang berlangsung selama hampir dua jam.
Legenda
Dianjurkan oleh KL International Jazz dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert berkenaan diadakan bersempena dengan pembukaan KL International Jazz Festival 2012 (KLIJF) yang akan berlangsung pada 18-20 Mei 2012 ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Maizon Omar berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengundang David Sanborn membuat persembahan di Malaysia kerana pemuzik berkenaan merupakan seorang legenda dalam industri muzik antarabangsa.
“Bagi kami David adalah seorang pemuzik yang sangat hebat dan seorang peniup saksafon yang sangat terkenal terutamanya di kalangan peminat muzik jazz serta mempunyai identiti yang tersendiri.
“Malah, saya sangat terharu apabila dia sudi menerima tawaran untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur dan pasti kehadirannya ini menggembirakan para peminat yang ingin menyaksikan persembahannya secara langsung,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kehebatan pemain saksafon itu juga tidak boleh dipertikaikan berdasarkan kejayaan yang pernah diraih serta menjadi inspirasi kepada ramai penyanyi jazz terkenal.
No comments:
Post a Comment