Jom Buat Duit

Thursday 22 March 2012

Kamal akui diri tertekan



PERBEZAAN ketara pada wajah Kamal Adli yang dirakam kelmarin (foto kiri) berbanding sebelum ini. 

APA sudah jadi dengan pelakon drama Apa Celop, Kamal Adli? Khabarnya aktor kacak itu kini sudah tidak terurus dirinya sehingga wajahnya pula ditumbuhi jambang disebabkan tekanan.
Perubahan ketara pada wajah Kamal itu jelas kelihatan ketika dia menghadiri sidang akhbar kedua teater Gerimis Mengundang di Istana Budaya, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kamal hadir mengenakan pakaian seragam juruterbang bersempena watak bernama Zamani yang bakal direalisasikannya menerusi teater Gerimis Mengundang yang menggandingkan dirinya dengan pelakon popular Indonesia, Mikha Tambayong.
Timbul persoalan di sebalik wajahnya yang kelihatan agak tidak bermaya dengan matanya yang sembab dan jambang yang tidak dicukur.

Kosmo! segera mendekati kekasih aktres Intan Ladyana itu untuk mengetahui hal sebenar.
Kosmo!: Kenapa Kamal kelihatan tidak bermaya dan tidak terurus sehingga berjambang pula?
KAMAL: Saya berjambang sebab terlalu stres. Bukan sahaja disebabkan latihan yang tidak mencukupi tetapi juga pening untuk membawakan watak Zamani iaitu seorang juruterbang dalam teater Gerimis Mengundang.

Kenapa anda mengatakan latihan tidak mencukupi dan boleh terangkan kenapa watak Zamani itu terlalu berat untuk anda?
Bayangkan Mikha Tambayong datang ke Malaysia pada 8 Mac lalu dan 27 Mac ini teater Gerimis Mengundang sudah dipentaskan. Kami cuma ada masa selama 19 hari sahaja untuk latihan dan membina keserasian sebagai pasangan kekasih.

Kami bukan sahaja perlu berlakon tetapi kena menyanyi dan menari diiringi 20 buah lagu. Memang pening kepala memikirkan macam mana nak bawa watak Zamani. Sebabnya, dalam teater ini Zamani merupakan seorang juruterbang yang mempunyai sikap playboy. Pada mulanya memang saya ‘lost’ (hilang punca) sebab tak tahu macam mana nak bawa watak playboy. Ini kerana pada kebiasaannya saya diberikan watak komedi dan pemuda kaya. Namun, akhirnya saya berjaya impak daripada latihan berterusan yang dilakukan.

Kebiasaannya umum melihat anda berlakon tetapi bukan menyanyi dan menari. Anda yakin dapat menyanyi dan menari dengan baik di pentas teater nanti?
Ramai yang tidak tahu dari zaman sekolah dulu saya memang dancer (penari). Asas itu dah ada cuma kena catch up (menguasai) semula gerak tari. Namun, untuk teater Gerimis Mengundang saya bukan sahaja perlu menari tetapi juga perlu melakukan aksi mengangkat penari pengiring saya.
Mujur ada koreografer yang memberi tunjuk ajar. Saya juga perlu menyanyikan 10 buah lagu secara langsung. Bahagian itu (menyanyi) yang paling merisaukan saya. Sebabnya, ada babak yang memerlukan saya menangis. Saya risau ia akan mempengaruhi suara saya ketika menyanyi nanti.

Bagaimana kalau suara anda bermasalah sewaktu pementasan nanti?
Pihak penerbitan teater ini sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sebelum pementasan sebenar, kami ada membuat rakaman lagu. Jika suara saya bermasalah nanti terpaksalah guna suara yang dirakam.

Bagaimana keserasian anda dengan Mikha Tambayong?
Ketika mula-mula berjumpa, dia sangat pendiam. Sehinggakan saya terfikir macam mana mahu berlakon sama-sama jika tiada keserasian antara kami.
Jadi, saya yang tegur dia terlebih dahulu untuk berbual-bual dan bermesra dengannya bagi mendapatkan keserasian. Kini, kami sudah mendapat keserasian dan yakin mampu menjayakan pementasan teater Gerimis Mengundang dengan baik.

Khabarnya teater Gerimis Mengundang merupakan sebuah cerita yang berkisar tentang air mata (kesedihan). Kamal yakin dapat menarik ramai penonton terutamanya golongan remaja menonton teater ini?

Ramai orang beranggapan teater Gerimis Mengundang adalah cerita sedih semata-mata. Tetapi ia sebenarnya bukan begitu. Pada permulaan teater ia sangat menyeronokkan dengan pengisian lagu-lagu yang rancak. Cuma pada akhir cerita sahaja ia bakal mengundang kesedihan penonton.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters