Jom Buat Duit

Saturday, 24 March 2012

Jessica Ellen Cornish Terselamat serangan strok



TIGA tahun lalu, dia hanya membilang hari menanti ajal di katil hospital. Berperang dengan serangan strok dan didiagnosis menghidap arrhythmia iaitu penyakit berkait dengan kadar degupan jantung tidak setara, langsung tidak terlintas di hatinya untuk menjadi sebutir bintang yang bersinar dalam dunia muzik global.
Dia yang dimaksudkan ialah Jessica Ellen Cornish, 23, anak kelahiran Redbridge, sebuah bandar di utara kota London, England.

Dia kini dikenali di seluruh dunia dengan nama Jessie J!
“Ketika terlantar di hospital, saya hanya melihat orang sekeliling saya bermain teka-teki akan nasib masing-masing yang bakal menyusuri.
“Saya antikafein, bukan seorang perokok, pemabuk apatah lagi menyentuh najis dadah! Saya tidak seharusnya meracuni diri dengan bahan-bahan yang mungkin insan normal jadikan sumber keyakinan, tapi muzik adalah terapi buat saya,” luahnya.
Jessie J kini menjadi jenama yang mewakili putaran irama lagu Price Tag, Domino, Do It Like a Dude, Nobody Perfect dan yang terbaru, Who's Laughing Now.
Hakikatnya, dirinya semakin mekar berkembang biar pun usianya dalam industri muzik masih setahun jagung.
Namun begitu sebelum bergelar penyanyi, dia nyata sudah terlebih dahulu menggali pengalaman sebagai seorang penulis lirik.
Dia merupakan individu yang mengarang lirik lagu Party In the USA yang dipopularkan Miley Cyrus dan I Need This nyanyian Chris Brown.
Kini, penyanyi yang sering tampil dengan imej rambut bob hitam dan fringe yang hampir menutupi seluruh dahinya itu sudah memiliki sebuah album berjudul Who You Are. Malah, tidak lama lagi dia juga akan muncul dengan album keduanya.

Cukur kepala, cedera kaki
Dia pernah menawarkan diri untuk mencipta sebuah lagu untuk penyanyi kesayangannya, Britney Spears, namun ditolak mentah-mentah!
Dugaan pahit itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan menyanjungi bintang idolanya itu.
Jika Britney pernah hampir tumbang dalam kehidupan selepas bercerai dengan suaminya sehingga nekad mencukur kepalanya suatu ketika dahulu, tindakan yang sama dilakukan oleh Jessie.

Bukan kerana kecewa tapi berteraskan niat yang tulus! Dia mahu rambutnya dipotong untuk mengumpul dana demi kebajikan.
“Tahun depan saya akan mencukur kepala saya untuk sumbangan kebajikan, perkara itu akan berlaku sekiranya saya boleh mengumpul AS$1 juta (RM3.08 juta) yang saya yakin akan berhasil!
“Saya teruja untuk menghapuskan imej rambut bob saya ini bersama beberapa orang selebriti yang setuju untuk melakukannya bersama-sama,” ungkapnya.

Tambah Jessie, tidak mustahil untuk dia memakai rambut palsu selepas membotakkan kepala. Alasannya peminat mungkin tidak tahu bahawa rambut di kepalanya itu bukan yang asli.

FUGURA unik ini merupakan rakan sekelas Adele dan Leona Lewis ketika mereka sama-sama belajar di BRIT School.


“Namun, jika saya dapat mengumpulkan sejumlah wang untuk menyelamatkan beberapa nyawa, saya sanggup!” katanya yang disuntik inspirasi ketika dikelilingi kanak-kanak kurang bernasib baik sewaktu menjalani rawatan kakinya yang cedera pada tahun lalu.
Menutup tirai tahun 2011 mungkin bukan waktu yang bertuah bagi Jessie. Dia malangnya terjatuh dari platform sewaktu sesi latihan untuk sebuah persembahan di Stadium Wembley, London, England.

Akibatnya, buku lali kaki kirinya terkehel dan sebahagian urat dan tisu kakinya rosak hingga menyebabkan kakinya terpaksa disimen.
“Saya dipaksa untuk berehat di rumah tapi saya rasa itu tindakan yang gila! Saya sudah tentu tidak akan menghampakan harapan peminat-peminat saya dengan hanya berehat di rumah.
“Ada juga saya meminta pihak hospital untuk menyediakan stokin kristal tapi ini (kaki disimen) saja yang mereka ada,” bicaranya berseloroh sewaktu mengadakan konsert mini pada waktu itu.
The Voice

Kembali ke United Kingdom selepas siri jelajah di Australia, Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, dia kini sedang sibuk mencari bakat-bakat baharu untuk sebuah rancangan realiti TV nyanyian, The Voice versi United Kingdom.
“Perbandingan antara penyanyi sudah menjadi sebuah trend masa kini tapi saya fikir rancangan ini berdiri dengan sendirinya.
“Rancangan ini menumpukan semata-mata pada vokal, muzik dan bakat. Sebagaimana nama programnya, itu yang mereka fokuskan,” ujarnya yang teruja dilantik menjadi salah seorang juri dan mentor rancangan itu bersama will.i.am, Tom Jones dan vokalis The Script, Danny O’Donoghue.

Menurutnya, kemungkinan besar dia bakal membuat kolaborasi bersama ketiga-tiga nama besar itu untuk albumnya yang akan datang.
“Danny, will.i.am, Tom Jones nan dan Jessie J akan menyanyi bersama-sama di sebuah studio nanti,” cerita anak bongsu daripada tiga saudara perempuan itu.
The Voice bakal disiarkan menerusi BBC One bermula hari Sabtu ini pukul 7 petang.
Tinie Tempah

Jessie suatu ketika dahulu pernah mengakui memiliki orientasi seks yang berbeza daripada orang normal. Dia menyifatkan dirinya biseksual!
Namun, sebelum mengadakan konsertnya bersempena Future Music Festival di Flemington Racecourse, Australia, dia dikatakan keluar senyap-senyap untuk berjumpa dengan penyanyi rap Tinie Tempah.

JESSIE J bersama (dari kiri), Danny, Tom dan will.i.am di pentas The Voice versi United Kingdom.
 
Menurut laporan sebuah akhbar antarabangsa, The Sun, penyanyi itu sebelum ini tinggal di sebuah apartmen milik Tinie di London sebelum mengadakan konsert jelajah ke Asia dan Australia.
Lapor seorang rakan Jessie: “Jessie dan Tinie pernah keluar bersama beberapa malam sebelum ke konsert jelajah Asia dan Australia seolah-olah mereka sedang menjalinkan hubungan. Lagipun mereka nampak serasi bersama”

Tambah sumber itu, Jessie mula kerap bertemu Tinie apabila masing-masing ada kelapangan.
Pasangan itu pertama kali bersua sewaktu sebuah majlis keraian pada dua tahun lalu. Namun, hubungan mereka semakin berkembang selepas dijadualkan bakal membuat persembahan bersama di Royal Albert Hall, London pada awal bulan depan untuk pertubuhan kebajikan, Teenage Cancer Trust.

Jessie turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Tinie sebelum memutuskan untuk bekerjasama dalam program The Voice.
“Jessie mengaku kepada beberapa orang rakan terdekat bahawa dia kini mempunyai seorang teman lelaki secara rahsia,” kata sumber itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters