Jom Buat Duit

Friday, 9 March 2012

Jamal nak pikat wanita muda



JAMAL ABDILLAH terus menjadi pilihan penganjur pada setiap tahun untuk menghiburkan para peminatnya. 


AGENDA bulan April setiap tahun bagai sudah sebati dengan sambutan Minggu Setiausaha. Pada tahun ini, Raja Pop, Jamal Abdillah bakal tampil memukau khalayak menerusi Minggu Setiausaha anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 April ini.
Menjanjikan persembahan menarik dan eksklusif, ujar Jamal dia bakal menampilkan sesuatu yang berbeza untuk memikat wanita muda.

“Janji saya, persembahan kali ini menampilkan konsep yang berbeza berbanding sebelum ini. Saya akan menampilkan sesuatu yang boleh memikat gadis-gadis menerusi lagu-lagu cinta yang menyentuh perasaan,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar Minggu Setiausaha PWTC baru-baru ini.

Tambah Jamal atau nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali, 53, sebanyak 12 lagu akan dinyanyikan antaranya secara medley dalam tempoh 1 jam 30 minit yang diperuntukkan.
Antara lagu yang bakal dinyanyikan ialah Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Keluhan Perantau, Penghujung Rindu dan beberapa lagu Inggeris seperti Heart.
Selain Jamal, majlis itu bakal dihoskan oleh pengacara komedi terkenal, Dee selain persembahan sampingan oleh Isma AF dan pemain saksofon, Alif Nasir.

Jamal juga dijadualkan berduet sebanyak dua buah lagu bersama Isma dan sebuah lagu dengan Alif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah Jaafar, pemilihan Jamal dibuat atas permintaan ramai selepas Raja Pop itu menghiburkan majlis sambutan Hari Ibu PTWC tahun lalu.

“Jamal menyentuh hati semua orang dan dia merupakan seorang artis yang tak pernah jemu diminati ramai,” katanya.
Bagaimanapun, getus Jamal, dia tetap bersyukur kerana masih mendapat permintaan tinggi walaupun kemunculan pelbagai artis bersilih ganti mewarnai industri.
“Tekanan untuk puaskan hati semua orang yang datang pada hari itu memang ada tapi saya akan cuba lakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur masih menerima undangan. Tak tahu kenapa orang masih yakin untuk menjemput saya menjayakan majlis seumpama ini? Mungkin rezeki anak-anak,” ucapnya lagi.
Osama dan Zaki

Fakta yang mungkin jarang dikongsi Jamal kepada umum adalah bahawa kedua-dua anaknya iaitu Osama Yamani, 10, dan Ahmad Zaki Yamani, 6, merupakan insan yang paling setia dan sentiasa menyokongnya dalam kerjaya.
Terutama anak sulungnya, Osama yang dinilai sendiri oleh Jamal sebagai peminat fanatik dan nombor satu dalam dunia.
“Buktinya, dia sanggup membeli dan menyimpan koleksi hampir semua album dan cakera padat saya.

“Malah, setiap kali masuk dalam kereta dia pasti memainkan lagu-lagu nyanyian saya sepanjang masa,” jelasnya sambil tersenyum.
Melihat perkembangan positif kedua-dua anaknya, Jamal tidak menyekat sekiranya mereka berminat menceburi bidang seni.

Sementara itu, Minggu Setiausaha PWTC turut menawarkan pelbagai hadiah istimewa termasuk dua tiket penerbangan pergi dan balik ke destinasi pilihan sumbangan Etihad Airways.
Harga jualan meja yang ditawarkan bermula daripada harga RM2,000 ke atas. Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Jamal Abdillah boleh membuat tempahan di kaunter tempahan, Aras 2, PWTC atau hubungi 03-2614 6701.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters