Jom Buat Duit

Friday 9 March 2012

Permulaan Fursan



ANGGOTA kumpulan Fursan, (berdiri, dari kiri) Abdul Muiz, Mohd. Hafiz, Hairulnizam, Mohd. Zulkifli dan Hambali (duduk). 

MEREKA bukan sahaja berkhidmat untuk mempertahankan negara, tetapi mungkin ramai tidak tahu yang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai sebuah kumpulan nasyid di bawah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang telah dicetuskan oleh mantan Pengarah Kagat ketiga iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom sejak tahun 1998 lagi.

Sejak ia ditubuhkan, sebuah kumpulan nasyid yang dinamakan sebagai Fursan telah ditubuhkan. Dianggotai oleh lima orang anggota ATM iaitu Kapten Hairulnizam Hamid, Staf Sarjan Mohd. Zulkifli Mohd. Zin, Staf Sarjan Hambali Hashim, Lans Koperal Mohd. Hafiz Aziz serta Lans Koperal Abdul Muiz Mohd. Esa, Fursan telah mula popular dalam kalangan kem tentera seluruh Malaysia sejak ia rasmi ditubuhkan pada tahun 2010.

Membawa penampilan berbeza dengan memakai pakaian seragam ATM setiap kali membuat persembahan, Fursan ingin mewarnai industri nasyid tempatan yang dilihat semakin suram.
“Industri nasyid Malaysia pada masa kini kelihatan agak perlahan, jadi kami berharap dengan kehadiran Fursan, dapat memeriahkan lagi industri nasyid kita,” bicara Hairulnizam yang juga menambah mereka ingin menggunakan medium hiburan alternatif Islam untuk berdakwah.
Malah dalam diam-diam, mereka telah mempunyai album pertama yang berjudul Ibtida’ (Permulaan).

Album yang berkonsep nasyid pop kontemporari tersebut mengandungi sembilan buah lagu iaitu Kelahiran, Peribadi Unggul, Bayangan Syurga, Kembara, Ummah Gemilang, Keinsafan Diri, Keindahan Islam, Sirah Maulidur Rasul dan sebuah lagu bonus iaitu Daie Askari.
“Kami juga merupakan pakar motivasi dalam Kagat dan setiap kali majlis motivasi berlangsung, kami akan membuat selingan persembahan daripada Fursan.

“Single pertama Fursan yang berjudul Keinsafan Diri pernah menjadi juara di carta nasyid IKIM.FM dan ia merupakan lagu paling lama bertahan dalam carta iaitu selama 30 minggu selain dua buah lagu lain yang turut dicalonkan. Lagu tersebut juga merupakan antara lagu terbaik sepanjang 2011 berdasarkan permintaan pendengar di radio IKIM.FM,” ujar Hairulinizam lagi mengenai perkembangan Fursan.

Aktiviti Fursan juga boleh diketahui dengan melayari laman sosial Facebook mereka di www.facebook.com/fursankagat atau laman blog mereka iaitu www.fursankagat.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters