Jom Buat Duit

Thursday 22 March 2012

Fauziah bukannya tamak


NIATNYA hanya untuk mempertahankan hak sebagai penulis novel popular Ombak Rindu yang seakan dipandang remeh oleh sesetengah pihak apabila karyanya difilemkan.
Bagaimanapun, kenyataan jujur Fauziah Ashari mencetuskan kontroversi sehinggakan menjadi polemik dalam dunia seni tempatan serta menjadi bualan ramai sekitar Disember tahun lalu.

Kenyataan ini akhirnya dibalas dengan penjelasan Pengarah Urusan Alaf 21 Sdn Bhd, Datuk Husamuddin Yaacob, dalam sidang media khas yang diadakan.

Katanya, sejak Ombak Rindu diterbitkan pada 2002, Alaf 21 sudah membayar royalti sebanyak RM219,000 kepada Fauziah selepas Ombak Rindu terjual sebanyak 160,000 naskhah.

Husamuddin juga menjanjikan royalti tambahan buat Fauziah hasil cetakan semula Ombak Rindu yang pastinya mendapat sambutan hangat seiring kehangatan sambutan terhadap filem ini. Isu ini sudah berakhir tanpa dipanjangkan lagi.

Namun pengajarannya, isu ini membuka mata banyak pihak termasuk Alaf 21 yang berjanji mengkaji semula prosedur kebenaran mengadaptasi novel-novel mereka kepada filem.

Lama mendiamkan diri, Fauziah yang menetap di Johor akhirnya tampil sebagai tetamu untuk Diskusi Novel Ombak Rindu bersama pelajar Sekolah Menengah Hulu Kelang (SMKHK), Selangor pada Selasa lalu. Kehadirannya adalah sempena Minggu Ekspresi Rupa, Jiwa & Kata Dan Perasmian Galeria Kreatif Prauniversiti SMKHK 2012.

Berkongsi idea dan pengalamannya menghasilkan barisan novel berkualiti dengan pelajar dan guru-guru di situ, Fauziah yang ditemui menjelaskan enggan berfikir mengenai kisah lalu. Ada baiknya dia memikirkan mengenai cabaran yang menanti di depan.

“Saya sebenarnya lebih kepada malas untuk panjangkan cerita. Saya jenis orang yang kalau dah melangkah malas nak berpatah balik. Apabila nak buat sesuatu, saya ada strategi sendiri.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan dan mahu buka buku baru dalam karier sebagai penulis. Januari lalu, saya tampil dengan novel baru berjudul Kan Ku Kejar Cinta Kamu. Ketika kontroversi berlaku, novel ini sudah siap untuk dicetak dan dipasarkan. Prinsip yang saya pegang, saya tak peduli berapa naskhah yang dijual kerana apa yang penting pembeli mendapat manfaat daripada cerita saya.

“Namun rekod jualan novel saya menyaksikan novel Cinta Tiada Akhirnya berjaya dijual dalam 100,000 unit dalam tempoh enam tahun. Ombak Rindu pula dijual lebih 150,000 dalam tempoh 10 tahun manakala Kan Ku Kejar Cinta Kamu sudah mencecah jualan 75,000 naskhah,” katanya yang kini selesa menerbitkan novelnya di bawah syarikatnya, Intens Idea International Sdn Bhd.

Dengan syarikatnya itu, Fauziah sudah menghasilkan enam novel sementara tiga lagi dengan Alaf 21. Fauziah sebenarnya ada impian sendiri yang ingin digapai. Sejak beberapa tahun lalu, dia berjaya membeli bangunan kedai tiga tingkat. Bahagian atas disewa oleh sebuah syarikat telekomunikasi, tingkat kedua dijadikan pejabatnya, manakala bahagian bawah akan dijadikan restoran.

“Saya merancang nak berehat setahun daripada menulis kerana nak tumpukan perhatian kepada restoran. Sebenarnya saya bukan tamak hendakkan wang apabila filem Ombak Rindu meletup. Saya mengaku agak ‘down’ beberapa hari selepas kenyataan itu dikeluarkan. Percayalah niat saya hanya untuk pertahankan hak tapi beberapa kenyataan yang dikeluarkan memang bercanggah dengan bukti yang saya ada.

“Saya fikir Tuhan dah tunjukkan siapa yang benar dan ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Apabila tengok di facebook peribadi, saya beruntung kerana pembaca masih sokong saya. Kebetulan kontroversi ini berlaku ketika novel baru hendak keluar.

“Hasilnya alhamdulillah, penyokong tak berhenti sokong saya. Bahkan mereka juga tak kisah dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun tak dinafikan ada juga segelintir pihak pandang saya serong. Kalau mereka tak kenal saya tapi tuduh atau cakap bukan-bukan. Ada baiknya saya buat tak pedulikan saja.

“Tuduhan mengatakan saya ‘demand’ melampau, buatkan saya enggan bagi Ombak Rindu 2 kepada produser untuk difilemkan. Saya bersikap rasional tanpa mengharap sangat novel difilemkan kerana saya berada dalam bidang penulisan. Kalau terpilih pun, ia hanyalah bonus buat saya. Buat masa ini novel Duri akan dijadikan drama. Kan Ku Kejar Cinta Kamu juga sedang diintai sama ada sesuai atau tidak untuk difilemkan.

“Saya tidak terlalu berharap kerana yang penting pembaca menyukai tulisan saya. Apapun, semua yang berlaku membuka mata banyak pihak untuk memperbaiki perkara yang perlu. Sekiranya ada perbincangan dengan syarikat produksi, saya pastikan ia lebih kepada ketelusan dan menghargai hak pengkarya asal. Ini perlu agar sampai bila-bila pun penulis kita tidak lagi diperlekehkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters