Jom Buat Duit

Saturday 18 February 2012

Romantis Anuar



AURA lelakinya memang memikat. Senyumannya pula mampu mencairkan hati wanita. Rekod persembahan yang dijayakannya membuktikan penganjur tidak rugi bahkan tersenyum lebar dengan keuntungan yang diraih. Justeru, tidak menghairankan apabila penyanyi lagu Lelaki Ini, Anuar Zain terus menjadi pilihan bagi menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.
Setiap tahun, kelibat penyanyi berusia 42 tahun ini menjadi pilihan penganjur sebaik memasuki bulan April dan untuk ke sekian kalinya, Anuar bakal menjayakan persembahan di dua lokasi berbeza iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 April dan The Zon Regency Hotel Johor Bahru pada 17 April.

Menerusi persembahan anjuran RAB9 Channel Sdn Bhd, para setiausaha yang menjadi tulang belakang kepada majikan akan dihiburkan dalam majlis dinamakan Makan Tengahari Bersama Anuar Zain. Penyanyi yang dikenali dengan konsep pop R&B ini bakal menghidangkan peminat dengan persembahan yang memukau selama hampir dua jam dengan tema Kenangan Manis Romantis.

“Saya berasa amat teruja dan seronok bekerjasama dengan RAB9 Channel Sdn Bhd. Memang jodoh saya bersama mereka walaupun ada beberapa pihak lain memberikan tawaran. Saya sangat tertarik dengan beberapa konsep yang bakal ditampilkan semasa persembahan nanti iaitu Era Keemasan 60-an Kenangan Manis Romantis.


“Dengan lokasi persembahan di dewan besar, saya anggap ini seperti konsert mini dan akan menyajikan pelbagai seleksi lagu terbaik daripada album pertama sehinggalah yang terbaru. Sememangnya saya akan menampilkan persembahan yang mengesankan supaya mereka yang hadir akan terhibur,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Wakil penganjur, Hafidz Moro selaku pengarah projek berkata, mereka sengaja memilih tema begini untuk menimbulkan kelainan kepada peminat. Bagaimanapun dia tidak mahu mereka terkeliru menyangka lagu-lagu nyanyian Anuar nanti turut berkonsep 60-an.

“Kami hanya mahu mencipta kelainan serta mahu membezakan persembahan ini dengan yang lain. Kenangan Romantis yang dimaksudkan ini meliputi hiasan dekorasi yang bakal menyentuh emosi deria rasa lihat, bau, pendengaran, rasa dan sentuhan romantis yang menjadi simbolik kepada konsep baru sebuah acara sambutan Minggu Setiausaha.

“Harga tiket yang ditawarkan untuk menonton bernilai RM598 (Silver), RM798 (Gold) dan RM1098 (Platinum). Kami percaya ia mendapat sambutan peminat dan istimewanya kami turut akan menawarkan hadiah-hadiah lumayan untuk cabutan bertuah yang bernilai RM20,000 di kedua-dua lokasi ini.

“Mereka yang membeli tiket platinum akan mendapat momento khas Anuar Zain sebagai kenang-kenangan serta hadiah daripada penaja. Bahkan untuk semua yang hadir, kami akan memberikan sebuah buku biografi Anuar Zain yang dibuat khas untuk Minggu Setiausaha dan tidak dijual di pasaran. Buku ini mengandungi gambar-gambar Anuar dan kami bercadang memuatkan koleksi lagunya juga,” katanya.

Anuar yang pernah mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha di Johor tahun lalu memberitahu, lamaran daripada penganjur diterima sejak Disember lagi. Dengan masa yang secukupnya, dia sudah mengenal pasti lagu yang sesuai untuk dinyanyikan dalam dua persembahan ini.

“Selalunya persembahan saya akan bergantung kepada respon peminat. Biasanya saya akan menyanyi lebih daripada 10 lagu untuk mereka. Namun kerap juga banyak masa dihabiskan dengan berceloteh. Saya boleh katakan banyak persediaan yang sudah diselesaikan sekarang dan hanya menunggu masa untuk disampaikan kepada peminat.

“Kerjasama dengan RAB9 Channel juga bukan setakat ini kerana kami akan terbabit menjayakan banyak projek persembahan yang kebanyakannya berpusat di Lembah Kelang. Tahun depan pembabitan saya dalam seni menjangkau 30 tahun dan saya merancang untuk mengadakan pelbagai program membabitkan peminat,” katanya yang kini bertindak membabitkan diri dalam penerbitan album terbarunya.

Pada majlis sama, Anuar turut menerima kejutan apabila penganjur menghadiahkan kek sempena meraikan ulang tahun kelahirannya ke-42 pada 15 Februari setiap tahun. Ditanya mengenai impiannya, penyanyi yang kekal bersendirian ini mengharapkan agar cahaya kebahagiaan menyinari kehidupannya baik dari sudut peribadi mahupun karier.

Peminat yang mahu menempah tiket atau ingin mengetahui maklumat lanjut boleh melayari www.ticketpro.com.my.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters