TIDAK dinafikan terdapat sebilangan orang yang berasal dari kampung
akan mengalami kejutan budaya apabila berpindah atau berkunjung ke
kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.
Itulah yang cuba dipaparkan menerusi Man Sewel Datang KL, sebuah
filem yang mengisahkan kisah seorang pemuda kampung yang berpeluang
datang ke Kuala Lumpur setelah diajak oleh rakannya.
Filem sulung terbitan Work Move Production Sdn. Bhd. turut
menampilkan pelawak terkenal iaitu Shuib (Sepahtu) sebagai teraju utama
untuk membawakan watak sebagai Man Sewel.
Pengarahnya, Abdul Rahman Adam yang ditemui sewaktu prebiu filem
tersebut berkata, dia mengambil risiko dengan mengetengahkan elemen
komedi lama dalam filem ketiga arahannya itu.
“Boleh dikatakan kebanyakan adegan yang dipaparkan juga agak klise.
Misalnya, pemuda yang tidak mahu dijodohkan dengan gadis pilihan ibunya
atau pemuda kampung yang gemar ke tempat-tempat hiburan apabila datang
ke bandar.
“Namun, saya percaya filem ini mempunyai kekuatan tersendiri dengan
garapan cerita yang menarik serta diperkuatkan lagi dengan adegan-adegan
komedi yang mampu mencuit hati penonton,” ujar pengarah berusia 72
tahun itu.
Man Sewel Datang KL mengisahkan tentang Osman atau Man Sewel yang
datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama Salim (Razali Hussain) yang
merupakan rakan sekampungnya.
Bagaimanapun, Salim banyak mempengaruhi Man Sewel sepanjang melalui
kehidupan di ibu kota. Malah, pemuda kampung tersebut juga sanggup
menghabiskan wang setelah berkenalan dengan seorang bekas model iaitu
Nadia (Julia Ziegler).
Selain menampilkan Shuib, Razali Hussain dan Julia Ziegler, filem
tersebut turut dijayakan beberapa pelakon lain seperti Rosnah Mat Aris,
Zaibo, Rafidah Ibrahim dan Siti Sarah Raisuddin.
Mengenai pemilihan Shuib sebagai teraju utama, Abdul Rahman
menjelaskan pelawak tersebut mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri
untuk membawakan watak sebagai Man Sewel.
“Walaupun baru pertama kali berlakon di layar perak, tetapi saya
sangat berpuas hati dengan lakonannya. Cuma sesekali saya ada memberi
sedikit teguran apabila melakukan banyak addlip dan terlupa skrip.
“Sebenarnya
saya agak kagum dengan lakonan Siti Sarah dalam filem ini. Biarpun dia
lebih dikenali sebagai penyanyi, namun dia telah menampilkan lakonan
yang bagus dan dapat menjiwai watak dengan baik,” ujarnya.
Merupakan
filem bergenre komedi ringan, penerbitan Man Sewel Datang KL yang
menelan belanja sebanyak RM1.3 juta itu sudah mula ditayangkan di
pawagam seluruh Malaysia sejak 31 Mei lalu.
Filem sulung
Selaku watak utama dalam filem sulung lakonannya itu, Shuib atau nama
sebenarnya Shahmira Mohammad menganggap peluang berlakon dalam filem
tersebut memberi banyak pengalaman tentang lakonan di layar perak.
Menurut Shuib, ketika mula-mula menjalani penggambaran, dia tidak
yakin dapat membawakan watak Man Sewel dengan berkesan, tetapi berpuas
hati setelah menonton filem lakonannya itu.
“Ini merupakan filem sulung saya dan banyak lagi perkara yang harus
saya pelajari. Saya akui pada mulanya sukar untuk menjayakan watak ini,
tetapi dengan bantuan pengarah saya mula mendapat keyakinan diri.
“Sekarang saya cuma menanti maklum balas daripada penonton. Segala
komen yang diberikan saya anggap ia sebagai sesuatu yang positif untuk
peningkatan kerjaya sebagai pelakon dan berharap filem ini akan mendapat
sambutan,” ujarnya.
Menurutnya, selepas Man Sewel Datang KL terdapat lima buah filem lagi
lakonannya yang bakal ditayangkan di pawagam. Tiga daripadanya,
menampilkan dia sebagai teraju utama.
Antara filem-filem tersebut seperti Sepah The Movie, Amir dan Lokman
Pergi Ke Laut serta Oh Mak Kau (OMK). Dalam filem Mael Lambung dan
Tycoon pula, dia membawakan peranan sebagai pelakon pembantu.
No comments:
Post a Comment