PROGRAM realiti Raja Lawak 6 yang sudah mara ke peringkat separuh akhir pada minggu lalu tanpa diduga telah membuat satu lagi kejutan apabila tiada peserta yang tersingkir.
Dengan keputusan yang dibuat oleh Astro, ia bermakna empat peserta bertanding iaitu kumpulan Cuit, Shiro, 2Yol dan Zero layak untuk bersaing di peringkat akhir yang akan berlangsung pada malam ini.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, sepanjang enam musim Raja Lawak berlangsung, ini merupakan kali pertama empat peserta yang akan bersaing pada peringkat akhir.
“Kalau sebelum ini hanya tiga peserta yang akan bersaing untuk merebut gelaran juara, tetapi pada musim ini kami telah membuat keputusan untuk menampilkan empat peserta supaya dapat mewujudkan persaingan yang lebih hebat.
“Bagaimanapun, keputusan ini bukanlah diputuskan pada saat-saat akhir, sebaliknya sejak dari awal rancangan lagi kami sudah menetapkan agar ada sedikit kelainan berbanding musim-musim sebelum ini,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai persembahan keempat-empat peserta pada malam tersebut, Nizam menyatakan dia sangat berpuas hati apabila kesemua peserta telah menampilkan persembahan yang sangat menghiburkan.
Ujarnya, biarpun melaksanakan dua persembahan menerusi tema zaman kanak-kanak dan bebas, tetapi mereka telah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik dengan jalan cerita yang telah mencuit hati penonton.
“Saya yakin semasa peringkat akhir nanti kesemua peserta mampu menampilkan persembahan yang lebih baik lagi dan tidak mustahil akan berlaku beberapa kejutan yang tidak dijangka oleh peserta dan penonton,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Idham selaku Cif Besar berkata, dia sendiri langsung tidak mengetahui tiada penyingkiran yang berlaku serta gembira apabila semua peserta layak ke peringkat akhir.
Ujarnya, dia sememangnya lebih gemar sekiranya ada empat peserta yang bersaing untuk merebut gelaran juara kerana satu persaingan yang lebih kompetetif akan dilakukan oleh para peserta.
“Apabila menilai persembahan para peserta selama sembilan minggu di pentas Raja Lawak 6, saya lihat mereka sudah mampu untuk berdiri setanding dengan pelawak yang sudah berpengalaman.
“Dengan segala bimbingan yang telah diberikan oleh Cif Kecik, ternyata semakin banyak kemajuan yang ditunjukkan setiap minggu dan saya berharap agar mereka dapat membuat persembahan terbaik pada saingan akhir nanti,” ujarnya.
Bernasib baik
Pada saingan yang berlangsung pada minggu lalu, kumpulan Shiro telah mengatasi tiga peserta apabila berada di kedudukan teratas dengan memperoleh undian sebanyak 31.3 peratus.
Namun, peserta yang paling beruntung pastinya kumpulan 2Yol apabila tetap layak untuk beraksi di peringkat akhir, meskipun sekadar mendapat undian sebanyak 20 peratus dan berada di kedudukan terakhir.
Salah seorang ahli kumpulan 2Yol, Azlan Abdullah berkata, dia menganggap kumpulannya bernasib baik apabila layak ke peringkat akhir apabila pihak Astro membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang penyingkiran.
“Sebenarnya kami langsung tidak pernah terbayang dapat beraksi di pentas akhir dan saya anggap ini adalah rezeki setelah empat kali mencuba untuk menyertai rancangan Raja Lawak sebelum ini.
“Saya akui persembahan kumpulan kami kurang menyerlah sehingga hampir tersingkir apabila mendapat undian terendah. Namun, peluang beraksi di peringkat akhir akan digunakan sebaik-baiknya dengan memberikan persaingan hebat dengan peserta lain,” ujarnya.
Pertandingan akhir Raja Lawak 6 akan berlangsung di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Petaling Jaya pada malam ini bermula pukul 10 malam dan disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132).
No comments:
Post a Comment