|
KIM JAEJOONG, Park Yoochun dan Kim Junsu sering dihimpit kontroversi sejak mereka bertiga menarik diri daripada menganggotai kumpulan TVXQ.
Sementelah mereka bertindak menyaman syarikat pengurusan TVXQ, SM Entertainment atas dakwaan kontrak tidak munasabah pada pertengahan tahun 2009.
Malah, aktiviti seni mereka di Jepun juga pernah tergendala kerana isu pergolakan kontrak dengan SM Entertainment.
Tidak habis di situ minggu lalu nama mereka bertiga sekali lagi diheret ke kancah kontroversi dan kali ini membabitkan peminat fanatik mereka sendiri.
Menurut beberapa laporan media di Korea Selatan terdapat bukti audio ada antara anggota JYJ dikatakan telah berkasar, memukul dan mengherdik peminat fanatik mereka yang mengekori setiap pergerakan ketiga-tiga anggota JYJ itu.
Mengakui kesalahan mereka berkasar dengan peminat, Jaejoong, Junsu dan Yoochun telah membuat permohonan maaf secara terbuka pada 8 Mac lalu dalam sidang media di Santiago, Chile sempena dengan konsert jelajah Amerika Latin JYJ 2012.
Tutur Junsu, sejak mereka muncul sebagai penyanyi pada tahun 2004, mereka terpaksa bersabar dan banyak perkara yang menyakitkan hati mereka berlaku akibat tindakan melampau peminat fanatik mereka itu.
Junsu membuka cerita dengan memberitahu tahap ekstrem peminat mereka: "Mereka (peminat fanatik) menggunakan nombor kad pengenalan kami untuk mendedahkan panggilan peribadi kami dan juga meletakkan sistem penentududukan sejagat (GPS) di kereta kami untuk memantau setiap pergerakan kami.
"Bukan itu sahaja, malah ada kesan rumah kami dipecah masuk oleh peminat dan mengambil gambar kami ketika kami sedang tidur, cuba mencium kami dan mencuri barangan peribadi kami."
Tambahnya: "Sesetengah peminat turut mengupah pemandu teksi untuk menyelinap masuk ke dalam kereta kami hanya untuk melihat kami dengan lebih dekat.
"Kehidupan kami terganggu apabila kami disentuh dan diperhatikan setiap saat sepanjang hari. Kami juga manusia biasa dan mahukan privasi diri dalam kehidupan biasa seperti mana orang lain tetapi kami dipaksa untuk hidup dalam keadaan yang sungguh menyukarkan ini."
"Pada masa depan, kami akan memikirkan orang yang menyayangi kami dalam apa juga keadaan yang kami hadapi meskipun ia sangat sukar, kami akan cuba mengambil langkah lebih bertanggungjawab.
"Sebabnya, kami tidak mahu merisaukan serta mengecewakan peminat yang sentiasa menyokong kami dalam apa jua keadaan. Bagi peminat yang sentiasa sokong kami setiap kali kami membuat persembahan, saya akan melakukan yang terbaik."
Yoochun juga mengakui cukup tertekan dengan tindakan peminat fanatik JYJ tersebut yang memerhatikan setiap gerak-gerinya sehingga peminat itu berani memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium kediaman anggota JYJ.
Walaupun berhadapan dengan kontroversi berkaitan dengan peminat, sokongan peminat terhadap JYJ tidak pernah putus malah, kontroversi itu telah membuka mata banyak pihak di Korea Selatan mengenai masalah dan gangguan serius yang dihadapi golongan artis popular negara itu
Khabarnya berhubung kontroversi JYJ, pihak berkuasa Korea Selatan sedang berbincang meluluskan undang-undang untuk menghukum peminat fanatik yang boleh dikelaskan sebagai pengendap jika pihak berkuasa terdapat cukup bukti.
Demam JYJ melanda Amerika Selatan
Tidak terganggu dengan kontroversi terbaharu mereka sebaliknya JYJ telah mencatat sejarah tersendiri sebagai band dari Korea Selatan yang membuat konsert solo di hadapan seramai 9,000 peminat di Chile dan Peru.
Para peminat menyambut JYJ dengan ucapan apa khabar dalam bahasa Korea, sambil memakai baju berwarna merah yang merupakan warna rasmi buat peminat mereka.
Peminat juga sanggup memegang poster dan kain rentang yang tertulis nama anggota band JYJ, keadaannya tidak seperti mengadakan konsert di Chile kerana sambutan masih hangat seperti di Korea Selatan.
Pengaruh yang dibawakan oleh JYJ ternyata sangat hebat. Peminat telah menempah tiket berminggu-minggu sebelum konsert berlangsung. Ada peminat memberitahu, dia telah beratur dua hari sebelum konsert bermula semata-mata untuk mendapat tempat yang terbaik.
"Saya tidak penat langsung, sebaliknya melihat barisan yang panjang membuatkan saya lebih bersemangat. Saya juga telah belajar bahasa Korea supaya boleh bertutur dalam bahasa itu sekali gus memahami maksud lagu band JYJ," kata Alison Salas salah seorang peminat band tersebut.
Kemuncak konsert itu telah bermula beberapa jam sebelum konsert berlangsung apabila terdapat beberapa orang peminat yang terlalu teruja telah pengsan dan terpaksa diusung keluar dari lokasi konsert.
Konsert JYJ bermula dengan lagu Empty. Pierrot dan Ayyy Girl. Para peminat kelihatan terpegun menonton persembahan solo Yoochun menerusi lagu I Love You.
Tidak terhenti di situ, peminat menjerit seperti terkena histeria apabila mereka mendendangkan lagu berjudul Found You yang merupakan lagu runut bunyi untuk drama rantaian popular Sungkyunkwan Scandal yang dilakonkan oleh anggota JYJ, Yoochun, kemudian persembahan diteruskan dengan lagu Be The One dan Fallen Leaves.
Kedua-dua konsert di Chile dan Peru mencatat sejarah apabila sebanyak 9,000 tiket habis dijual. Konsert di Chile mereka beraksi di hadapan 3,000 peminat di Teatro Caupolican dan di Peru, penganjur terpaksa menambah sebanyak 1,000 tiket tambahan setelah semua 5,000 tiket habis terjual.
Menurut penganjur, mereka cukup terkejut dengan jualan tiket yang cukup pantas kerana penyanyi pop Amerika juga tidak dapat menandingi jualan tiket konsert JYJ.
Laporan akhbar tempatan Peru iaitu El Comercio yang turut terkejut dengan sambutan peminat terhadap JYJ menulis: "JYJ adalah artis Korea, bukannya Justin Bieber ataupun Miley Cyrus tetapi telah mencatat sejarah dari segi penjualan tiket di Peru."
No comments:
Post a Comment