HAFIZ HAMIDUN dikenali sebagai bekas ahli kumpulan nasyid UNIC. Di bawah grup itu dia sempat merakamkan beberapa buah album termasuklah See You Di IPT dan Satu Tekad.
Mahu mewarnai portfolio peribadi, Hafiz seterusnya bergerak solo. Apabila bebas, batasan berkaryanya lebih terbuka luas. Tidak sahaja melakar nama sebagai penyanyi, Hafiz kini turut dikenali sebagai penerbit album, pencipta lagu bahkan menjadi pencipta skor muzik untuk filem-filem komersial.
Kerja keras dan idea kreatif anak kelahiran Perak Darul Ridzuan itu menjadi penyuntik kesan untuk skor muzik beberapa produk termasuklah drama bersiri Juvana, SuperMak dan Keranamu Laila. Selepas meletakkan nama sebagai pencipta skor muzik untuk filem Sesuatu Yang Tertinggal, Nur Kasih dan Azazil dia bakal memberi rasa kepada muzik filem Penanggal tidak lama lagi.
Kali ini jejaka berusia 27 tahun itu kembali dengan buah tangan yang segar. Album Zikir Terapi Diri yang dipasarkan sejak awal tahun lalu menjadi pertaruhan Hafiz.
"Album ini bukan sekadar album zikir semata-mata. Tetapi demi menarik orang ramai mengamalkannya saya indahkannya dengan melodi yang ringkas.
"Gabungan melodi dan zikir-zikir memuji Tuhan ini boleh dijadikan terapi buat pendengar untuk menghayatinya dan menenangkan hati," kata Hafiz kepada Sensasi Bintang.
Mengedarkan sebanyak 21,000 unit album merupakan suatu tindakan yang berisiko tinggi. Tidak mahu menoleh ke arah sambutan kepada jualan cakera digital (CD), Hafiz sebaliknya meletakkan keyakinan tinggi buat album terbitannya sendiri ini untuk berjaya.
"Saya masih percaya kepada penjualan album. Lagipun album ini begitu istimewa dan ada kelainan.
"Pembeli kini sebenarnya bijak, mereka tetap memilih yang asli jika kita menghasilkan produk yang berkualiti," tutur graduan dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Zikir Terapi Diri dengan susunan muzik oleh Hafiz sendiri menampilkan sebelas zikir asas termasuklah Astaghfirullah, La Ilaha Illallah, Subhanallah, Hasbi Rabbi, Ya Zaljala dan Lawkana Bainana.
Bersedia dengan kritikan kerana menggabungkan alunan memuji Tuhan dengan sedikit sentuhan muzik lembut daripada dentingan piano, jelas Hafiz, dia yakin suntikan itu sekadar jalan mendekatkan pendengar terhadap zikir.
"Saya hasilkan album zikir bukanlah untuk dijadikan ukuran sebagai teori muzik yang hebat tetapi lebih kepada sebuah karya yang lahir daripada jiwa dan hati saya sendiri.
"Iringan muziknya lebih kepada terapi minda. Respons daripada kawan-kawan yang mendengar album ini juga positif," ujarnya mengenai album yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. itu.
Biarpun irama nasyid kini terkebelakang dari segi populariti, Hafiz masih percaya irama sebegitu tidak pernah jatuh bahkan terus berkembang.
"Memang permintaan dan peluang untuk artis nasyid agak terhad. Tetapi mereka ada pengikut sendiri dan ia sentiasa mendapat permintaan.
"Penyanyi nasyid juga terkebelakang dari segi publisiti dan liputan media tetapi musim untuk penggiat nasyid berkerja sentiasa ada sepanjang tahun.
"Undangan akan banyak menjelang tibanya musim sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, bulan Ramadan mahupun ketika musim haji," kata Hafiz bersemangat.
No comments:
Post a Comment