NAMPAK seakan-akan elemen kejutan apabila empat finalis yang berentap pada separuh akhir Raja Lawak 6 Jumaat lalu di Studio 1, Astro, berjaya melayakkan diri ke pentas akhir. Bagaimanapun, kata Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, ia sebenarnya format yang ditetapkan dalam Raja Lawak (RL) musim ini.
Dengan persaingan sengit dan kekuatan persembahan masing-masing bertemakan Zaman Kanak-Kanak dan Kalau Aku, 2Yol, Cuit, Shiro dan Zero akhirnya menarik nafas lega apabila terpilih untuk bersaing di pentas akhir pada 16 Mac ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi merebut gelaran Raja Lawak 6.
“Bukan gimik sebab kami memang nak ambil empat peserta untuk pentas akhir. Kami memang tak ikut format RL musim terdahulu. Dari awal lagi, kami sudah beritahu akan buat perubahan untuk menjadikan musim kali ini lebih menarik. Ia turut merangkumi set pentas yang lebih dekat dengan RL serta format penyingkiran yang berbeza.
“Kalau dilihat, musim sebelumnya hanya ada tiga finalis. Tapi, kali ini kami ada empat peserta dan perkara yang perlu dijaga ialah masa. Untuk itu, pentas akhir akan berlangsung selama dua jam manakala barisan jurinya masih dikekalkan. Ada beberapa elemen menarik bakal ditampilkan nanti.
“Mengenai hadiah pula, kami tetap akan berikan sejumlah wang tunai, namun jumlahnya belum boleh didedahkan kerana ada beberapa pihak yang sudi menaja, tapi belum ada kata putus,” katanya selepas program berakhir.
Nizam juga mengakui berpuashati dengan kualiti lawak yang diperlihatkan peserta. Apatah lagi, gaya komedi masing-masing berbeza antara satu sama lain.
Bagaimanapun, dia akur sesetengah mereka ada cerita yang nak diketengahkan, malangnya tiada ‘punchline’ untuk menggeletek hati penonton.
“Mungkin mereka penat dengan situasi yang dihadapi sehinggakan ketandusan idea untuk berlawak. Untuk final, mereka tetap kena ikut tema yang ditetapkan termasuk muzikal yang boleh menghidupkan sesebuah persembahan. Tema muzikal dan silent komedi agak susah dibawakan dan di sinilah kemampuan peserta akan teruji,” katanya yang gembira dengan kemampuan Zero memikat penonton malam itu.
Sememangnya, Shiro menjadi pilihan peminat untuk RL musim ini. Bagaimanapun, persembahan mereka agak sederhana pada malam itu sehinggakan teruk mereka ditegur pengkritik, Sheila Rusly. Bagaimanapun, persembahan konsisten sebelum ini berjaya meletakkan Shiro mengutip undian sebanyak 31.3 peratus, Zero (27.6), Cuit (21) dan 2Yol (20).
Konsep baru RL ternyata menyebelahi 2Yol yang sepatutnya sudah melupakan pentas akhir Raja Lawak 6 kerana memperoleh undian paling rendah. Kumpulan yang dianggotai Azlan Abdullah, 40 dan Rohaizat Samin, 35 ini mengakui bersyukur kerana tidak menyangka akan sampai ke final.
“Sebelum ini, kami tak terfikir langsung mampu bersaing hingga final.
Syukurlah akhirnya orang nampak juga bakat kami. Sebenarnya sejak Raja Lawak 2 lagi saya dah mencuba. Saya hanya jumpa Rohaizat pada Raja Lawak 4 sebelum bergabung dengannya. Saya tak pernah putus asa menyertai uji bakat di Johor Bahru, Pahang dan Kuala Lumpur,” Kata Azlan yang menjadi peserta paling tua.
Menyifatkan tekanan yang dihadapi pada minggu pertama membuatkan mereka hampir menyerah kalah, 2Yol mengakui didikan daripada Chief Kecil dan Chief Besar banyak membantu mereka mendapatkan karakter sebenar dalam berlawak.
“Setiap minggu kami risau untuk berdepan dengan penonton. Macam tema minggu ini, nampak seperti senang, tetapi susah untuk dipentaskan. Alhamdulillah dengan ilmu yang diberikan mereka, kami dapat mementaskan tugasan dengan jaya,” kata mereka yang berasal dari Johor.
Sementara itu, Ahmad Idham yang bertindak sebagai Chief Besar mengaku tidak mengetahui kejutan yang dilakukan. Dia juga tidak ingin ambil tahu apa strategi Astro kerana yang penting ialah ilmu yang diberikannya kepada peserta kerana apa yang dibawakan itu turut membawa imejnya sebagai pengajar.
“Saya tak kisah empat mereka terpilih ke final pun kerana ia lebih memberikan persaingan buat mereka. Ia dapat menimbulkan semangat berlawan sesama sendiri.
Kalau ada hanya tiga peserta, mereka tak bersungguh-sungguh sangat kerana anggap semuanya akan beroleh hadiah. Selepas sembilan minggu, saya nampak kekuatan mereka dan berharap mereka dapat tampilkan yang lebih baik pada final nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment