SEKIAN lama menanti, akhirnya impian penyanyi yang dikenali sebagai pejuang alam sekitar, Zainal Abidin untuk muncul de�ngan album baru kesampaian tahun ini.
“Sebenarnya, saya sudah penat dengan pertanyaan orang, bila saya nak muncul dengan album baru. Ke mana saya pergi sama ada ke pasar atau pusat beli-belah, itulah soalan yang selalu orang tanya.
“Jadi saya harap ‘single’ dan album ini akan mengubat kerinduan peminat nanti.
Saya juga mengambil masa yang lama kerana ingin menghasil�kan sesuatu yang baru sebagai kepuasan buat diri sendiri dan peminat yang menyokong karier saya sejak dulu,” katanya.
Lebih bermakna, pemilik nama sebenar Zainal Abidin Mohamad, 53, ini berpeluang bekerjasama buat julung kali�nya dengan komposer Ajai demi mendapat bunyian segar.
Gubahan muziknya dibuat Mac Chew yang cukup sinonim dengan muzik Zainal.
“Saya pilih Ajai kerana kami sudah lama kenal dan dia juga membesar dengan lagu saya iaitu sejak zaman Headwind lagi. Kami tiada masalah untuk dapatkan keserasian kerana Ajai sudah kenal genre muzik yang saya bawakan.
“Ajai juga seorang komposer yang kreatif dan senang untuk bekerjasama dengannya.
“Saya akui kami mengambil masa yang lama kerana pilih lagu yang tepat untuk single dan album penuh ini. Sebagai penyanyi, tentu saya inginkan yang terbaik dari segi susunan dan gubahan muziknya. Proses pembikinan ketiga-tiga single ini berlangsung selama dua bulan,” katanya.
Terus terang kata Zainal, dia sangat mementingkan kesempurnaan dalam setiap album.
“Bukannya saya cerewet, sebaliknya teliti. Kalau nak buat sesuatu biarlah betul-betul dan bukan main-main. Maklumlah, saya buat album dengan duit sendiri. Saya juga hasilkan single terlebih dulu kerana ia memang ‘trend’ pasaran album ketika ini.
“Saya ingin melihat sambutan pada single dulu sebelum menyusul dengan bingkisan album penuh yang dilancarkan Mei nanti.
“Selain Ajai, album penuh yang membabitkan 10 lagu ini juga mendapat khidmat nama besar seperti Datuk M Nasir yang mencipta dua lagu yang belum ada judulnya lagi. Ini juga kali pertama saya bekerjasama dengan M Nasir,” katanya.
Kali terakhir Zainal menghasilkan album berjudul Puteri pada 2004.
Zainal ditemui pada sidang media pelancaran single dan The Legendary Concert yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Konsert itu turut dijayakan tiga lagi penyanyi legenda iaitu Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah dan Amy Search.
Ditanya kenapa dia hasilkan single serentak dengan The Legendary Concert, kata Zainal, semuanya kerana rezeki yang datang pada tahun ini.
“Saya akan mempromosikan single terbaru dalam konsert jelajah ke seluruh negara. Selain itu, saya juga akan hasilkan muzik video untuk single kedua tidak lama lagi,” katanya.
Ajai pula akui Zainal salah seorang idolanya sejak dulu.
“Saya ikut perkembangan Zainal sejak zaman Headwind lagi. Saya memang suka semua lagunya bersama Headwind. Namun, saya akui bukan mudah nak bekerjasama dengan Zainal kerana dia penyanyi yang pentingkan kesempurnaan dalam setiap lagu,” katanya.
No comments:
Post a Comment