Jom Buat Duit

Sunday 18 March 2012

Rukun konsert Projek Pop


PROJEK POP bervariasi dengan gabungan pelakon dan band-band indie.


PROJEK POP kedengaran segar, komersial dan kontemporari. Ia diilhamkan untuk menjadi sebuah drama bersiri terbaharu yang menyajikan kisah belakang tabir sebelum pentas besar dan gema sebuah konsert menjadi tumpuan ribuan mata.

Menjadi satu-satunya drama bersiri Melayu yang sedang disiarkan saluran 8TV ketika ini, Projek Pop muncul selepas siri Ghost dan Kami. Melihat kepada kronologi drama Melayu di saluran televisyen yang terkenal dengan jolokan saluran orang muda itu, Projek Pop pasti ada nilai tersendiri.
Lengkap dengan jalan cerita yang menggabungkan drama, skandal serta persembahan daripada band-band indie, sepintas lalu Projek Pop disangka sebuah program realiti bergerak. Awalnya, ia sebuah filem pendek selama selama tiga minit.

Dua tenaga yang menggerakkan kisah kejayaan belakang tabir konsert itu, Khairul Azri Mad. Noor atau Kroll dan Akmal Danial Mohamed Jaafar (Atomsk) berkongsi aspirasi. Tercetus drama 'muzik' itu juga asal bergerak daripada kemahuan untuk dikembangkan menjadi filem cereka namun rezeki memihak untuk ia disaksikan di kaca televisyen setiap Ahad, 10.30 malam di 8TV bermula 4 Mac lalu.

Sensasi Bintang: Projek Pop itu sebuah naskhah pendek yang mahu difilemkan tetapi kenapa rancangan asal tidak diteruskan?

ATOMSK (A): Memang ia bermula dengan filem pendek sekitar 2010. Asalnya watak yang dimainkan oleh Christina dibawakan oleh Lisa Surihani, watak Amad pula dibawakan oleh Adam Sinclair, adik Aisyah Sinclair. Menariknya, drama itu hanya menggunakan latar masa selama satu hari sahaja. Jadi, dalam satu hari plotnya berkembang sehingga 10 episod dan setiap episod mengambil slot tayangan untuk 45 minit.

KROLL (K): Sampai sekarang pun saya masih berhajat nak kembangkan drama sulung kami itu jadi filem. Tapi, kena fikir masak-masak dulu sebab filem ada risiko yang besar, bajet juga kena besar. Kami hantar cadangan drama itu sejak awal tahun lepas lagi, tetapi apabila 8TV bagi lampu hijau setuju siarkan drama itu, kami dahulukan ia jadi siri dan gunakan khidmat Alfie Palemo sebagai penulis skrip.
Kenapa pilih cerita kisah belakang tabir sesebuah konsert, kalian tak suka drama cinta, kekeluargaan atau korporat yang catat jumlah penonton tertinggi ketika ini?

A: Saya percaya untuk berkarya dan bekerja dalam skop yang saya tahu. Memang cerita Projek Pop itu banyak berdasarkan pengalaman kami yang lepas-lepas. Saya banyak kerja dengan ramai penyanyi dan dulu pun, saya ada band sendiri. Jadi perihal konsert dekat dengan kami.

K: Drama ini bukan pasal konsert sahaja, ia tetap ada konflik cinta tapi kami cuba hasilkan satu konsep baharu, yang segar dan rasanya tak salah. Apa yang cuba kami visualkan dalam Projek Pop adalah apa yang sepatutnya dilakukan dalam pembikinan sesebuah konsert besar. Itu yang sepatutnya ada, ia kira semacam 'buku' yang mengandungi 'rukun' sesebuah konsert.
Kalian banyak ambil pelakon baharu macam Aedil Putra sebagai Amad selaku pengurus kumpulan Hujan, boleh cerita sedikit tentang watak dalam drama ini.

A: Drama ini ada 12 karakter utama, selain ambil kumpulan Hujan sebagai watak utama, Aedil Putra sebenarnya masih baharu tapi dia banyak berlakon teater. Hujan sendiri boleh berlakon dengan baik, kami juga tubuhkan sebuah band baharu untuk projek ini iaitu Hot Snow yang diketuai oleh Kamil lakonan Josiah Hogan selaku vokalis band itu. Konon-kononnya ia band yang sangat popular di luar negara dan kembali nak adakan satu konsert besar di Malaysia.

A: Pelakon baharu, Cristina Suzzanne Stockstill pula bawa watak Alis, iaitu teman wanita Kamil. Dalam masa yang sama, dia juga tertarik kepada Amad. Selain pelakon utama, drama ini ada banyak pelakon yang dijemput sebagai 'cameo' seperti Sharifah Amani, Adibah Noor, Bront Palarae, Hasnul Rahmat, Tania Hudson, Reza Salleh. Kami juga ada Joe Flizowm, Altimet, Sona One, Monoloque, Liyana Fizi, Bitterswee dan Kyoto Protocol.
DUA tenaga kreatif terdiri daripada Atomsk dan Kroll (kanan) di sebalik pembikinan drama Projek Pop.
 
Bagaimana dengan kronologi penceritaan?
K: Setiap episod akan memperkenalkan karakter-karakter utama, macam dalam episod pertama, Noh mengalami kecederaan di kepalanya. Ceritanya berkisar dalam satu hari sahaja, jadi kami keluarkan watak-watak tambahan di luar lingkungan pekerja konsert itu sendiri seperti watak dua budak sekolah yang sanggup ponteng semata-mata hendak tengok konsert.

A: Bila sudah masuk episod ketujuh dan ke atas, barulah kami banyak masukkan persembahan daripada band-band indie yang terlibat. Ia bagus sebenarnya, sebab lagu-lagu band indie jarang dimainkan, jadi boleh layan (dengar) dalam Projek Pop.
Selain elemen drama, Projek Pop lebih menampakkan promosi kepada muzik generasi baharu, komen kalian?

A: Betul juga, sebab kami sendiri ada lagu tema nyanyian Carleed Khaza yang bekerjasama dengan Noh Hujan bertajuk Bara Warga Kota.
K: Masa mula-mula pun memang orang ingat Projek Pop bukan drama sebab melibatkan banyak band dan siap ada konsert lagi. Kami sendiri berkampung lebih 20 hari di Stadium Melawati, Shah Alam. Banyak babak berlegar sekitar stadium sebab drama ini berkisah tentang persiapan menjelang konsert. Seperkara lagi, ramai yang menyamakan drama ini dengan drama Kami, sebenarnya ia banyak perbezaan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters