Jom Buat Duit

Saturday, 24 March 2012

Persaingan Mentor 6 bermula

SAINGAN Kumpulan A kini tanpa Wanie (kanan) yang menarik diri pada saat akhir.


PROGRAM realiti Mentor musim keenam (Mentor 6) membuka tirai menerusi persembahan pembukaan pada Ahad lalu, sekali gus memulakan saingan enam orang mentor dan protege yang bakal merebut gelaran juara.

Persembahan yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor itu menyaksikan persembahan mantap protege iaitu Salwani Sawi (Wanie), Abdul Kadir Unding Lana (KJ), Puteri Caroline Mohd. Kamel (Puteri Caroline), Ana Syuhada Noor Asram (Ana Syuhada), Noor Nazatul Farahin (Zatul) dan Anas Ridzuan (Anas).

Walaupun masih tidak mempunyai sebarang pengalaman beraksi di pentas yang besar, tetapi rata-rata protege yang membuat persembahan mendapat pujian daripada dua orang juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini.

Menurut Ramli MS, kesemua protege yang bertanding pada musim ini dilihat sudah mempunyai kekuatan vokal dan boleh lagi digilap, manakala mentor pula perlu memainkan peranan untuk membentuk protege agar mereka memiliki identiti tersendiri.
“Untuk persembahan permulaan ini saya berpuas hati kerana menampilkan mutu vokal yang mantap. Masing-masing ada potensi untuk pergi lebih jauh, cuma mereka tidak harus dibayangi oleh mentor sendiri.
“Kalau mahu menjadi seorang penyanyi yang bagus, seseorang individu itu tidak terikut-ikut dengan cara dan gaya penyanyi sedia ada.
“Jadi, peranan mentor amat penting supaya protege mereka memiliki identiti yang berbeza dengan orang penyanyi lain,” jelasnya.

Menurut Ramli, meskipun persaingan masih lagi di peringkat awal, dia meminta supaya kesemua mentor terus membimbing protege masing-masing supaya mereka mampu bertapak kukuh dalam industri hiburan.
“Saya ingin berpesan kepada semua mentor supaya tidak mengabaikan terus anak didik mereka selepas program ini berakhir. Seharusnya mereka perlu dibimbing lagi sehingga melahirkan album atau single sendiri,” tegasnya.
INI pula barisan mentor dan protege Kumpulan B.
 
Seorang lagi juri tetap iaitu Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah menyatakan, terdapat beberapa kelainan yang ditampilkan protege pada kali ini, berbanding ketika dia menjadi mentor pada program musim sebelumnya.
Jelas Kak Pah, dia sudah mula nampak potensi beberapa orang protege yang bakal memberikan saingan sengit, tetapi enggan mendedahkannya kerana mahu berlaku adil kepada semua protege yang bertanding.

“Apa yang saya mahukan adalah semua protege terus menampilkan persembahan yang lebih baik untuk minggu berikutnya. Mereka juga diingatkan agar tidak tertipu dengan sorakan gemuruh penonton yang boleh membuatkan diri menjadi terlalu yakin,” tegasnya.
Aksi pembukaan pada malam tersebut juga menyaksikan kesemua protege dan mentor dipecahkan kepada dua kumpulan dan telah diumumkan oleh pengacara Ally Iskandar selepas persembahan berakhir.

Kumpulan A bakal menyaksikan persaingan sengit tiga orang protege iaitu Wanie (Ferhad), Ana Syuhada (Ramlah Ram) dan Anas (Faizal Tahir), manakala Kumpulan B pula terdiri daripada KJ (Adam), Zatul (Ogy Ahmad Daud) dan Puteri Caroline (Ella).
Mentor 6 akan disiarkan secara langsung setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di saluran TV3. Ia masih mengekalkan format asal iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus daripada juri awam.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters