Jom Buat Duit

Monday 19 March 2012

Pandelela, Mun Yee makin mantap



GANDINGAN Pandelela (atas) dan Mun Yee menghadiahkan pingat perak kepada skuad negara pada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Dubai semalam.


PENERJUN negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee terus cemerlang apabila menghadiahkan Malaysia pingat perak dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia, semalam.

Dalam aksi Siri Dunia pertama yang berlangsung di Dubai itu, kedua-dua penerjun harapan negara itu ketinggalan di belakang musuh tradisi, China apabila sekadar memungut 316.38 mata.
Nyata, gandingan Chen Ruolin dan Wang Hao dari China itu masih sukar untuk digugat penerjun negara apabila mereka mengutip 344.40 mata dalam aksi tersebut yang diadakan di Kompleks Sukan Hamdan Bin Mohammed Bin Rashid, Dubai.
Biarpun perbezaan mata agak jauh iaitu 28.02 mata, gandingan Pandelela-Mun Yee tetap mantap apabila memberi cabaran sengit kepada juara dunia itu.

Pasangan Benfeito Meaghan dan Filion Roseline dari Kanada, kalah tipis ke atas Malaysia dengan pungutan 315.96 mata untuk meraih pingat gangsa.
Kejayaan Pandelela itu sekali gus melebarkan lagi harapan Malaysia untuk mengutip pingat dalam Sukan Olimpik London yang akan membuka tirai pada Julai nanti.

Kejayaan Pandelela semalam sekali gus meneruskan kecemelangan yang dilakarnya kelmarin apabila merangkul pingat gangsa dalam acara 10m platform individu wanita.
Kejayaan berturut-turut penerjun berusia 19 tahun itu dilihat sebagai 'membalas dendam' apabila gagal mengutip sebarang pingat dalam acara kegemarannya iaitu 10m platform wanita di Kejohanan Piala Dunia FINA di London bulan lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Edwin Chong berkata, secara keseluruhannya aksi penerjun negara di Dubai amat memuaskan.
"Aksi mereka berdua (Pandalela-Mun Yee) amat cemerlang. Meskipun begitu, mereka perlu terus berusaha keras untuk mengatasi kutipan mata yang dilakukan penerjun China terutama Chen Roulin," ujarnya.

Ini dilihat penting apabila penerjun negara akan berhadapan dengan juara dunia itu di tempat mereka sendiri pada minggu hadapan.
Dalam aksi seterusnya, Siri Dunia akan berlangsung di Beijing pada 23 hingga 24 Mac, Moscow (13-14 April) dan siri terakhir akan berlangsung di Tijuana, Mexico pada 20 hingga 21 April.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters