Jom Buat Duit

Monday 19 March 2012

Nurul Ain nafi ditaja


KARYAWAN filem muda ini memiliki sikap positif yang tidak mahu mensia-siakan peluang yang diraihnya begitu sahaja. 


MUNGKIN jika disebut nama Nurul Ain Nordin, ramai yang masih belum mengenali kelibat pendatang muda yang baru membina nama dalam industri seni tanah air ini.
Namun pada tahun lepas, gadis ini pernah mengisi ruang kontroversi dunia hiburan tempatan rentetan gambar separuh bogelnya tersebar di Internet.

Ia sebenarnya adalah foto versi asal sebelum digunakan untuk menghiasi poster filem kedua lakonannya, Suatu Malam Kubur Berasap.
Setelah beberapa ketika, kini Nurul Ain atau lebih mesra disapa sebagai Ain mengejutkan ramai kerana tampil dengan filem sulung arahan dan terbitan syarikatnya sendiri yang diberi nama Star Scope Production Sdn. Bhd.

Apa yang menarik perhatian para wartawan yang hadir, walaupun mempunyai pengalaman yang masih sedikit dalam industri seni, namun, Ain yang masih muda ini sudah berani melangkah ke fasa baharu iaitu menjadi pengarah filem pula.
Barisan pelakon yang membarisi filem lakonannya juga tidak kurang hebat dan berpengalaman dalam industri seperti Wan Maimunah, Syamsul Yusof, Didie Alias, Abon dan Sepahtu.
Inginkan kepastian, Kosmo! telah menemu ramah Ain, 24, pada sidang akhbar dan pelancaran filem Oh! Mak Kau di Selayang Mall, Selayang, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Masih baru dalam industri, apa yang membuatkan anda mengambil cabaran untuk mengarah filem pula?
Ain: Saya mahu cuba sesuatu yang baharu sebenarnya kerana saya telah tamatkan pelajaran dalam bidang ini dan rasa saya ada peluang untuk mengarah. Jadi, kenapa perlu tunggu dan tidak ambil peluang yang ada. Bagi saya, orang di luar sana semua punya peluang untuk mengarah namun tiada peluang.

Tapi pengalaman anda dalam bidang lakonan masih terlalu mentah? Tidak risau dengan kritikan?
Perniagaan ialah risiko. Jadi, saya sahut cabaran dan risiko ini dan insya-Allah, dengan barisan pelakon yang berpengalaman, skrip juga baik semuanya akan berjalan dengan lancar.

Siapa yang beri peluang ini? Adakah penerbitnya?
Saya sebenarnya merupakan salah seorang pengarah urusan syarikat dalam Star Scope Production. Kami bertiga berkongsi dan saya juga ada bahagian dalam syarikat tersebut. Apa jua keputusan akan dibuat oleh kami.

Ia baru sahaja ditubuhkan pada bulan Disember tahun lepas. Saya bersama dua lagi rakan kongsi dan kami ada team yang kuat dan berpengalaman untuk membantu.
Saya tubuhkan syarikat ini kerana telah jatuh cinta dengan bidang ini sebenarnya. Dahulu saya rasakan perkara ini tidak boleh cari makan, tapi setelah melanjutkan pelajaran, baru rasa minat itu timbul.

Nama Star Scope Production hampir menyamai nama syarikat filem milik Datuk Yusof Haslam, Skop Production. Dua syarikat ini ada kena mengena?
Tiada kena-mengena. Sebenarnya kami sudah cuba banyak nama, namun semua telah didaftar. Jadi setelah itu, kami dapat nama ini.
Memang tiada kena mengena dengan Datuk Yusof atau Syamsul (yang juga pelakon filem Oh! Mak Kau) sendiri.

Anda juga merupakan pelakon baharu, jadi untuk filem pertama arahan dan terbitan anda ini, bagaimana anda mampu mendapatkan khidmat pelakon-pelakon yang punya nama dalam industri termasuk pengarah berkaliber Syamsul Yusof. Boleh komen?
Dahulu saya pernah menjalani latihan praktikal di Skop Production jadi saya minta tolong dengan Syamsul untuk berlakon dalam filem pertama saya ini. Saya belajar di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam sebelum meraih diploma Teknologi Kreatif dan Artistik. Sebagai kawan, Syamsul banyak beri nasihat kepada saya. Watak Syamsul agak besar dalam filem ini iaitu sebagai LutFan.

Bagaimana berjaya dapatkan barisan para pelakon yang ramai dan berpengalaman dalam filem pertama awak ini?
Kami tawarkan mereka cerita filem ini dan mungkin sinopsis filem itu menarik hati mereka. Pertama kali saya buat skrip dan konsep cerita ini, saya telah nampak siapa yang saya mahu untuk pegang kesemua watak ini. Apabila kami beritahu mereka tentang watak ini, dan mereka juga mahu dan bersetuju dengan watak yang ditawarkan. Alhamdulillah, mereka semua memberi kerjasama yang baik.
NURUL AIN (berdiri, empat dari kiri) bersama barisan pelakon filem Oh! Mak Kau yang bakal memulakan penggambaran pada 21 Mac ini
 
Berapa lama masa yang diambil untuk mendapat persetujuan mengumpul semua pelakon untuk filem ini?

Lebih kurang sebulan masa yang saya ambil untuk kumpulkan mereka semua.
Apakah pembaharuan dalam filem ini. Mungkin ada idea kreatif akan dibawa oleh Ain?
Insya-Allah itu yang saya harapkan dan mahukan. Tapi tidak boleh cakap sangat kerana kadang-kadang, kita rasa seronok dan baik, tetapi tidak pula bagi penonton. Tapi, insya-Allah, saya akan cuba bawakan perkara baharu, dari pandangan mata perempuan.

Kenapa pilih genre komedi sebagai filem sulung dan berapa kos produksi?
Sebenarnya ia filem komedi aksi. Saya juga bukan jenis yang terlalu serius, dan perangai saya juga gila-gila tapi kasar. Jadi memang saya meminati genre aksi. Saya rasa bagi seorang pengarah perempuan, mengarah filem aksi agak sukar. Tapi saya sahut cabaran itu.
Kos produksi pula RM1.6 juta dan penggambaran akan dijalankan selama 28 hari dan akan dimulakan pada 21 Mac ini di Rawang. Kami akan cuba untuk dapatkan wajib tayang pada bulan Disember ini.

Kenapa tidak gunakan pengarah lain, sebaliknya anda sendiri bertindak sebagai pengarah?
Saya rasa tidak salah jika saya beri peluang kepada diri sendiri. Jika saya rasa saya mampu lakukan, kenapa perlu mensia-siakannya? Jadi, saya just go for it!

Kenapa pilih judul Oh! Mak Kau?
Dalam filem ini Wan Maimunah merupakan seorang gengster. Dia nampak relaks dan cool dan hanya bekerja di pasar tapi sebenarnya dia seorang wanita gengster. Jadi, Oh! Mak Kau merujuk kepada Wan Maimunah yang juga seorang ibu.

Adakah anda ditaja sesiapa dari segi modal untuk menubuhkan Star Scope Production Sdn. Bhd. ?
Kenapa kalau buka syarikat pada usia muda, pasti semua mengaitkan ia dengan ditaja oleh sesiapa? (ketawa). Tidak! Saya menggunakan hasil simpanan saya sendiri, tiada kena mengena dengan sesiapa dan mana-mana tajaan. Saya dan dua rakan kongsi saya itu sama-sama berkongsi secara sama rata, bak kata pepatah, ringan sama dipikul, berat sama dijinjing.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters