Jom Buat Duit

Saturday, 17 March 2012

Mizz Nina jelajah promosi di AS


BERGAMBAR kenangan dengan krew stesen radio Hot 95.7FM di Texas.


USAHANYA tidak tamat hanya selepas album pertamanya What You Waiting For mendapat tempat bukan sahaja di hati peminat Malaysia tetapi juga di Asia terutama menerusi lagu duetnya bersama Colby O'Donis berjudul What You Waiting For.

Kini, Mizz Nina meluaskan lagi sayap seninya ke Amerika Syarikat (AS) bermodalkan lagu single berjudul Takeover, duet bersama penyanyi hip hop terkenal, Flo Rida pula.
Sememangnya Takeover yang mula disiarkan di corong radio pada November tahun lalu mempunyai magis yang tersendiri.

Buktinya, lagu tersebut diterima baik oleh peminat muzik AS ketika Mizz Nina mengadakan sesi promosi selama sebulan di sana bermula pada 25 Januari lalu.

Tidak hanya mempromosikan lagu terbaharunya menerusi radio, peminat Mizz Nina boleh menyaksikan perjalanan sesi promosi di AS apabila dia juga bakal muncul dalam beberapa buah program realiti TV seperti Yuna Inspired, Mizz Universe Malaysia 2012.
Tidak ketinggalan, dia juga bakal muncul menerusi program realitiTV dirinya sendiri berjudul Takeover yang dijangka ditayangkan di Astro Ria pada tahun ini.

“Menerusi program realiti itu, penonton dapat menyaksikan bagaimana perjalanan saya dari mula hingga akhir semasa menjalankan sesi promosi di AS.
“Selama sebulan saya bertemu dengan ramai deejay, pengarah muzik, wartawan dan beberapa eksekutif muzik di sana.
“Saya cukup gembira dan teruja apabila mengetahui mereka semua sangat menyokong perjalanan seni saya di sana.

“Pengalaman menjalankan sesi promosi di Amerika juga benar-benar membuka mata saya kepada segala kemungkinan dan juga peluang untuk melebarkan kerjaya di sana,” kata Mizz Nina.
Mizz Nina memulakan sesi promosi di California dengan melawat beberapa stesen radio seperti KCAQ, KKUU, Latino 96.3 dan KJLH sebelum terbang ke Las Vegas untuk bertemu dengan pengarah program dan juga melawat kelab-kelab serta para deejay yang menyiarkan lagu Takeover di kelab-kelab mereka.

Kembali ke Los Angeles, Mizz Nina menghadiri acara The Grammy Radio Room dan di sana di ditemu bual oleh CNN India dan dapat beramah mesra dengan calon-calon untuk Anugerah Grammy yang dahulu dan sekarang.
Tidak berhenti di situ, Mizz Nina juga terbang ke Houston, Atlanta, Chicago, Miami, Texas dan New York.

Menariknya ketika di New York, dia diberi peluang untuk muncul sebagai pengacara bersama dalam episod istimewa program The MTV Iggy Show yang dirakam di Times Square biarpun dia sebenarnya dijemput sebagai tetamu khas program tersebut.
Selesai segala sesi promosi, Mizz Nina yang juga isteri kepada vokalis band Hujan, Noh, kembali ke Malaysia pada 25 Februari lalu.

“Saya melalui satu pengalaman yang cukup indah ketika jelajah dan promosi Takeover di AS.
“Sebagai penyanyi baharu, sangat penting untuk mengenali dan berhubung dengan orang yang betul. Saya bersyukur kerana dapat merasai pengalaman bagaimana penyanyi di Amerika promosikan muzik mereka.

“Sambutan yang saya terima sangat positif dan sekarang saya sudah kembali ke Malaysia. Saya menjadi lebih komited untuk melakukan yang terbaik serta bersedia untuk album terbaharu saya yang akan dilancarkan pada Mei depan. Pengalaman di sana amat bernilai setiap saat,” tuturnya lagi.
Buat peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Mizz Nina anda boleh layari laman sesawang rasminya di www.mizznina.com atau laman sosialnya di www.facebook.com/OfficialMizzNina dan Twitter di www.twitter.com/MizzNina1780.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters