Jom Buat Duit
Saturday, 24 March 2012
Lewis Hamilton terpantas
HAMILTON yakin untuk menawan Litar Sepang selepas mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas semalam.
LEWIS Hamilton menamatkan sesi latihan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia di Litar Sepang semalam dengan bergaya apabila mencatat masa terpantas pada dua sesi di sebelah pagi dan petang.
Juara dunia 2008 itu dilihat berjaya melupakan seketika kekecewaannya di Melbourne minggu lalu dengan merekodkan kelebihan 0.3 saat ke atas pencabar lain, termasuk Michael Schumacher dan Jenson Button.
Pemandu Britain itu berjaya mendominasi dua sesi latihan tersebut yang turut menyaksikan dua pemandu McLaren dan dua pemandu Mercedes mengungguli kelompok empat masa terpantas.
Ketika sesi latihan kedua berbaki 30 minit sebelum ditamatkan, Hamilton berjaya mengatasi Schumacher dengan kelebihan 0.020s dan Jenson Button dengan 0.002s, sementara pemandu lain pula dipisahkan dengan masa lebih satu saat.
Namun, selepas sesi bebas itu ditamatkan, Hamilton dengan rasminya menjadi pemandu terpantas dengan kelebihan 0.361s di hadapan Schumacher dan mengekalkan kepantasannya 0.002s ke atas rakan sepasukan, Button.
“Sesi latihan hari ini (semalam) sangat hebat bagi saya. Kami ada membuat beberapa perubahan terhadap jentera sejak perlumbaan di Melbourne lalu dan saya gembira dengan peningkatan yang kami pamerkan ini,” jelas Hamilton selepas latihan semalam.
“Tetapi kami masih lagi perlu melakukan perubahan dan peningkatan ini bagi mendapatkan kepantasan yang diidamkan.
“Saya lebih memberi tumpuan kepada ketahanan tayar pada sesi latihan kedua ini dan berjaya mendapatkan keseimbangan yang dicari.
“Tetapi di Litar Sepang, ia berbeza dengan Litar Albert Park. Apa pun, bermula di petak hadapan masih lagi menjadi buruan utama setiap pemandu F1 dan itulah misi saya pada sesi kelayakan esok (hari ini),” tambahnya lagi.
Nico Rosberg pula meletakkan Mercedes keempat terpantas manakala pemandu Toro Rosso, Daniel Ricciardo pula berjaya mencuri tumpuan apabila menduduki tempat kelima dengan 0.681s di belakang Hamilton.
Fernando Alonso turun beraksi dalam sesi latihan semalam dengan lebih baik apabila berjaya membawa Ferrari di tempat keenam, namun pemandu Sepanyol itu ketinggalan 0.719s di belakang.
Mark Webber pula di tempat ketujuh terpantas buat pasukan Red Bull sementara rakan sepasukannya yang juga juara dunia dua kali, Sebastian Vettel dilihat bergelut dengan masalah tayar dan terpaksa berpuas hati dengan catatan kesepuluh terpantas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment