Jom Buat Duit

Wednesday 21 March 2012

Jessie J - Inspirasi jiwa muda

pix_middle

HAMPIR 20 minit berbual dengan bintang muda kelahiran Chadwell Heath, London ini jelas membuka ruang buatnya berkongsi cerita. Dari sejarah langkah awalnya bergelar penyanyi hinggalah kini mengecapi populariti seluruh dunia.
Meskipun enggan menjawab persoalan peribadi, Jessie J atau nama sebenarnya, Jessica Ellen Cornish begitu mesra menjawab persoalan.

Bertemu dengannya petang Jumaat lalu sebelum konsertnya di Surf Beach, Sunway Lagoon, penyanyi terkenal berusia 24 tahun itu banyak bercerita kisah manisnya dalam membina empayar nyanyian di tengah-tengah persaingan sengit ketika ini.

Jelasnya yang mula dikenali menerusi lagu Price Tag, formula dan rahsia buat dirinya hingga ke tahap ini adalah rasa percaya pada diri sendiri selain sentiasa yakin dengan bakat yang tersembunyi.

Mengakui berdepan pelbagai halangan dan cabaran sepanjang merangkak mencari tapak di gelanggang seni suara antarabangsa, satu-satunya senjata yang menyelamatkannya adalah ikhlas dengan apa yang ingin diberikan.

“Bukan mudah untuk berdiri di pentas seni kerana terlalu banyak laluan yang harus ditempuh. Namun itulah cabaran yang saya lalui kerana sejak dulu lagi saya berpegang pada satu impian iaitu menjadi seorang penyanyi.

“Bagaimanapun saya berjaya membuat kesimpulan. Apa yang penting untuk berjaya dan menyelinap masuk di lautan yang penuh dengan bakat-bakat lain adalah percaya dengan apa yang kita ada. Kemudian yakin dengan bakat itu.

“Lihat saja peluang yang saya terima. Siapa sangka, percubaan saya menerusi album sulung, Who You Are berjaya hingga menembusi pasaran dunia. Saya sendiri ada kalanya merasakan bagai mimpi kerana peluang ini.

“Melihat peminat tersenyum dan menyanyi bersama adalah pengalaman paling indah buat saya,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Jessie menerusi album perdananya yang mempertaruhkan lagu Price Tag berjaya hingga tersenarai di tangga teratas carta-carta muzik seluruh dunia termasuk Billboard.

Selepas single keduanya, Nobody’s Perfect menjadi kegilaan ramai golongan remaja dengan keunikan vokal dan gaya penyampaian nyanyian Jessie, bintang yang merangkul empat anugerah utama di majlis anugerah Music of Black Origin (MOBO) baru-baru ini tampil dengan lagu terbarunya dari album yang sama berjudul Domino. Lebih menariknya, kesemua lagu yang disampaikan adalah hasil nukilan sendiri.

Menurutnya yang menyifatkan bakat menyanyi dan menulis lagu itu sebagai satu kelebihan istimewa, kesemua lagu yang dicipta punya cerita dan warna di sebaliknya.

“Saya menggarap setiap lirik berdasarkan senario yang berlaku. Kisah manis teman-teman dan keluarga adalah inspirasi buat saya. Saya inginkan sesuatu yang dekat dengan jiwa pendengar dan pastinya peminat yang mengikuti setiap muzik saya tidak sekadar untuk berhibur atau menyanyi sebaliknya mendalami mesej yang tersirat di sebaliknya.

“Bagaimanapun saya turut menekankan aspek susunan muzik dan jalur melodi kerana ia memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan karya saya. Personaliti dan imej yang saya lakukan adalah diri saya dan seimbang dengan konsep muzik yang cuba saya tampilkan. Mujur peminat dapat menerima dengan baik.

“Saya percaya peminat dapat merasai apa yang ingin saya sampaikan pada setiap lagu,” katanya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Jessie baru saja terpilih menjadi mentor dan tenaga pengajar untuk program realiti nyanyian terkenal, The Voice versi United Kingdom yang akan bersiaran tidak lama lagi.

Bakal sebaris dengan tiga lagi nama besar industri muzik antarabangsa - Will.I.Am (The Black Eyed Peas), Tom Jones dan Danny O’Donoghue (The Script), Jessie dilihat paling bertuah kerana diangkat sebagai ikon pemuzik paling berjaya.

Jelasnya ketika diminta mengulas mengenai pembabitannya, Jessie menganggap The Voice UK adalah gelanggang terbaik untuk mencungkil pelapis dalam lapangan muzik kerana konsepnya yang menyeluruh dalam membentuk seseorang menjadi bintang.

“Saya begitu seronok apabila terpilih dalam program The Voice ini kerana sebagai pendatang baru, ia bagai sebuah penghargaan dari industri dan penerbitan kerana nampak akan potensi yang ada. Tanggungjawab menjadi tenaga pengajar dan mentor kepada setiap peserta adalah satu tugasan yang berat namun akan saya lakukan yang terbaik.

“Memandangkan The Voice UK adalah versi pertama selepas kejayaan di Amerika Syarikat, saya sudah bersedia untuk menerima kritikan atau apa saja pandangan. Maklumlah sesebuah program yang baru pasti akan menjadi tarikan semua pihak dan saya sebagai bintang baru sudah tentu diberi perhatian lebih.

“Bagaimanapun saya begitu gembira kerana akhirnya dapat duduk sebaris bersama tenaga pengajar yang lain terutamanya Tom Jones yang selama ini menjadi idola saya sendiri. Bukan sekadar berkongsi ilmu dengan peserta, malah saya sendiri akan cuba untuk mencuri ilmu daripada mereka yang jauh berpengalaman,” katanya.



Vocal penuh warna!

MUNCUL pertama kali di Malaysia dengan mempertaruhkan vokal hebat dan penampilan yang menarik, Jessie J dilihat selesa meskipun hanya bersandar pada album sulungnya, Who You Are. Lebih 3,000 peminat membanjiri Surf Beach menjerit dan menyanyi bersama dengan 16 rangkaian lagu-lagu popularnya.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Who’s Laughing Now, Jessie menampilkan stamina dan tenaga luar biasa mengiringi sokongan peminat yang begitu ‘sporting’.

Jessie meneruskan persembahan dengan lagu Rainbow, Stand Up dan Casualty of Love sebelum menyampaikan single keduanya yang menjadi kegilaan peminat seluruh dunia, Nobody’s Perfect.

Sesuatu yang berbeza dan lainnya Jessie berbanding ramai bintang terkenal antarabangsa lain adalah vokalnya yang begitu bertenaga dan penuh keunikan.

Jelasnya di depan peminat yang mula memenuhi ruang Surf Beach seawal jam 6 petang, peluang berdiri di Malaysia dan beberapa negara Asia lain adalah pengalaman paling indah kerana berjaya mendekati setiap wajah mereka yang tidak henti menyokong sejak awal muncul.

“Jika diberi kesempatan, saya ingin turun ke bawah bersama anda dan mengucapkan terima kasih kerana banyak membantu memberi semangat untuk saya sampai ke tahap ini.

“Ini adalah satu penghargaan buat saya dan pastinya saya akan terus menghasilkan sesuatu yang jauh lebih baik buat peminat semua,” katanya.

Persembahan Jessie diteruskan dengan lagu Never Too Much, Abracadabra, I Need This, Mama Know’s Best dan Look Like A Dude selain dua lagi lagu yang dibawa secara akustik iaitu Technology dan Love.

Peminat semakin histeria saat lagu keramatnya, Price Tag didendangkan dan Domino yang kini sedang hangat dimainkan stesen radio tempatan, pula menjadi penutup persembahan.

Konsert yang dibawakan khas oleh Tune Talk dan pengurusan artis oleh Universal Music Malaysia itu mampu dianggap antara yang terbaik untuk tahun 2012!

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters