Jom Buat Duit

Sunday 18 March 2012

Damsyik digegarkan letupan berkembar

IMEJ televisyen Syria semalam menunjukkan bangkai sebuah kenderaan bersama mayat rentung susulan letupan berkembar di Damsyik semalam. 

BEIRUT, Lebanon - Dua letupan berkembar menggegarkan ibu kota Syria, Damsyik semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan yang didakwa pemerintah, dilakukan oleh pengganas.

Stesen televisyen Syria melaporkan beberapa buah kereta yang sarat dengan bahan letupan meletup di hadapan sebuah pusat perisikan dan ibu pejabat polis di Damsyik pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan.

Letupan kuat itu menyebabkan bahagian hadapan sebuah bangunan ranap dengan serpihan konkrit dan kaca bertaburan di beberapa jalan raya sekitarnya.
Rakaman di lokasi kejadian pula menunjukkan beberapa mayat masih dalam keadaan berasap di dalam dua buah kenderaan, sebuah van berlumuran darah dan beberapa guni yang dipenuhi bahagian tubuh manusia .

Sebuah stesen televisyen tempatan yang memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Wael Al-Halki, melaporkan 97 orang turut cedera dalam serangan itu.
"Kami terdengar bunyi letupan kuat. Ketika itu, pintu-pintu rumah kami tercabut walaupun kediaman kami terletak jauh dari tempat kejadian," kata seorang warga emas kepada sebuah saluran televisyen awam Syria.
SEJUMLAH kenderaan rosak teruk akibat letupan bom di luar bangunan perisikan aviasi di Damsyik semalam. bersama mayat rentung susulan letupan berkembar di Damsyik.
 
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggung jawab melancarkan serangan berkembar itu.
Damsyik dan bandar raya kedua terbesar di Syria, Aleppo menjadi sasaran beberapa serangan bom sejak Disember tahun lalu.

Letupan terbaharu itu berlaku dua hari selepas ulang tahun pertama kebangkitan rakyat menentang rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang telah meragut nyawa 8,000 orang setakat ini dan menyebabkan 230,000 lagi menjadi pelarian.

Terdahulu, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - Liga Arab ke Syria, Kofi Annan memberi amaran bahawa krisis di Syria boleh merebak ke negara-negara jiran.
"Kita perlu amat berhati-hati dalam menangani situasi di Syria," kata Annan kepada pemberita di Geneva kelmarin.

"Sebarang kesilapan boleh menyebabkan kekacauan merebak dan memberi impak ke seluruh rantau Asia Barat sekali gus sukar untuk ditangani," tambahnya.
Syria yang memiliki 23 juta penduduk, berjiran dengan Turki, Jordan, Israel, Iraq dan Lebanon. - Reuters

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters