Mungkin benar apa yang selalu diperkatakan, usia 40-an adalah titik permulaan hidup yang rancak bagi seseorang lelaki.
“Soal usia bukan perkara yang membimbangkan saya. Sebaliknya, semangat saya untuk menyanyi semakin kuat. Saya sangat gembira dengan kematangan yang saya lalui selama ini,” jelasnya kepada Rap, baru-baru ini.
Meskipun senyumannya sentiasa meleret dan tuturnya lembut penuh budi bahasa, Anuar sebenarnya seorang yang tegas terutama berkaitan prinsip hidup. Dia juga berdisiplin, mungkin dipengaruhi dengan tugasnya dulu sebagai bekas pramugara.
Sejak dulu hingga sekarang, Anuar juga selalu dihambat soalan peribadi. Bagaimanapun kata Anuar yang tidak pernah gagal dalam soal penggayaan ini, hal peribadinya akan cuba dipertahankan dengan sebaik-baiknya.
“Saya lebih suka bercakap soal kerja dan kurang gemar berkongsi cerita peribadi. Namun saya sangat faham, sebagai milik masyarakat, orang akan selalu bercakap mengenai diri saya. Mana yang boleh saya elak akan saya elak,” katanya berseloroh.
Bertemu Anuar pada majlis sidang media sempena Malam Gala Hari Ibu Bersama Anuar Zain minggu lalu, Anuar bersyukur kerana masih diberi ruang untuk berdiri di tengah kebanjiran penyanyi muda tanah air.
Hampir dua dekad berjuang, jenama Anuar Zain terus relevan dan menjadi pilihan utama bagi memeriahkan majlis-majlis rasmi dan sambutan keramaian. Baginya, itulah rezeki dan hadiah hasil kerja kerasnya selama ini.
“Alhamdulillah peluang menyanyi selalu ada. Rahsianya kalau hendak dikongsi, kita jangan mudah berpuas hati dengan kerja kita. Sentiasa bekerja keras dan paling penting, hormatilah tugas kita sendiri.
“Memang ketika ini pun jadual saya memang padat dengan persembahan pentas, antaranya sempena sambutan Hari Setiausaha di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Pada 8 April ini, saya juga akan muncul dalam malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Genting Highlands untuk bernyanyi bersama rakan artis lain.
“Saya sangat gembira dengan apa yang capai dan lakukan ketika ini. Kerjaya saya tetap stabil dan undangan sentiasa ada. Ia membuktikan masih ramai pihak meletak kepercayaan kepada diri saya. Ini sudah cukup membuatkan saya rasa bahagia.
“Saya juga bersyukur kerana terus diberi peluang untuk menggembirakan kedua ibu bapa saya dan keluarga. Selagi termampu, saya memang ingin membuatkan keluarga saya senang hati dan meningkatkan taraf hidup. Memang banyak pengorbanan yang ibu bapa berikan dalam membesarkan kami adik-beradik. Sekarang adalah giliran saya pula membalas jasa keluarga,” katanya.
Penyanyi lagu Jangan Bersedih Lagi, Sedetik Lebih dan Lelaki Ini akui, gembira dengan hasil titik peluhnya dan mahu terus pandang ke depan. Tambah pemilik vokal lantang ini lagi, sekarang adalah masa terbaik buatnya menyusun strategi.
“Saya memang seorang yang sukakan pembaharuan. Baik dari aspek kerjaya seni mahupun peribadi, saya percaya percubaan adalah sesuatu yang baik untuk seseorang itu melangkah ke fasa yang lebih baik.
“Apa yang penting sekarang adalah menghargai peminat yang tidak henti-henti menyokong. Sudah lama saya mengimpikan sebuah konsert besar namun terlalu banyak kekangan terutamanya soal penaja dan peruntukan. Mungkin saya perlu merancang untuk mengadakan ‘showcase’ ke seluruh Malaysia.
“Undangan persembahan korporat dan majlis rasmi mungkin membataskan peluang bagi ramai lagi peminat saya di luar sana untuk datang menonton. Oleh demikian saya mahu menjayakan persembahan yang membolehkan saya lebih dekat dengan peminat.
“Kebiasaannya saya memang selalu buat sesi lepak-lepak dengan peminat. Namun sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, idea itu tidak dapat dilakukan kerana jadual kerja yang terlalu padat. Insya-Allah, penghujung tahun ini atau awal tahun depan saya mahu mengajak peminat ke sesi lepak dan ‘gathering’ macam dulu,” katanya.
Raikan Hari Ibu
SEKALI lagi Anuar akan kembali menghiburkan peminat menerusi Malam Gala Hari Ibu Bersama Anuar Zain pada 12 Mei ini.
Majlis yang akan diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya, jam 8.30 malam itu adalah anjuran Dream Music Sdn Bhd.
Jelas Anuar ketika berkongsi ceritanya mengenai persembahan yang akan diadakan itu nanti, ia adalah peluang terbaik buatnya menghiburkan golongan ibu pula yang sememangnya menjadi satu ikon yang amat dihormatinya.
“Saya seorang yang cukup akrab dengan ibu. Ibu bukan sekadar insan yang membesarkan dan menjaga saya, malah ibu juga adalah kawan rapat untuk mendengar masalah saya. Lantas saya sayang dan hormati golongan kerana tanpa doa mereka, mustahil untuk kita menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.
“Lantas tatkala undangan membuat persembahan sempena Hari Ibu diterima, saya tidak berfikir panjang lagi kerana inilah saat terbaik untuk saya menghiburkan mereka dan memastikan mereka berseronok tanpa memikirkan masalah buat seketika,” katanya.
Tambah Anuar yang mengakui peminatnya juga ramai daripada golongan ibu-ibu, malam itu nanti akan diserikan dengan rangkaian lagu balada dan popular yang pastinya mampu mengundang senyum buat tetamu.
“Kini saya sedang sibuk menyusun agenda persembahan malam itu nanti kerana saya inginkan mereka yang hadir dapat merasai kepuasan. Bayangkan, anak-anak akan datang memimpin tangan ibu untuk menghadiahkan sesuatu dan itulah tanggungjawab saya agar mereka tersenyum dan terhibur. Justeru saya akan menyampaikan lagu-lagu yang sememangnya menjadi pilihan mereka.
“Namun selain berhibur, saya bersama penganjur, Dream Music Sdn Bhd juga ingin beramal. Sebahagian daripada kutipan jualan meja itu akan disumbangkan kepada Persatuan Ibu Tunggal Islam Malaysia (Pakit),” katanya yang turut dipersetujui Pengarah Urusan Dream Music Sdn Bhd, Datuk Mohd Fauzi Zakaria.
Difahamkan meja-meja berharga RM40,000, RM20,000 dan RM10,000 sudah dijual kira-kira 30 peratus. Selain itu, peminat boleh membeli tiket secara perseorangan dengan harga RM1,000, RM600 dan RM500.
Majlis makan makan akan diserikan lagi dengan acara cabutan bertuah dengan hadiah bernilai sehingga RM10,000. Tempat duduk kini boleh ditempah di www.tickethotline.com.my atau e-pay di stesen Petronas seluruh negara atau hubungi Dream Music (03-2171 1220/2181 - Fariza/Shikin).
Trivia Anuar Zain
No comments:
Post a Comment