Jom Buat Duit

Friday 17 February 2012

Hafiz intai filem



MASIH terngiang-ngiang nyanyian lagi saat namanya diumumkan Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) lalu. Siapa mampu melupakan nyanyian merdunya menerusi lagu Awan Nano yang penuh emosi.

Begitulah penangan anak muda kelahiran Sarawak, Hafiz Suip, yang mula bertapak dalam industri sejak menjuarai Akademi Fantasia 7 (AF7). Dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dua kali berturut-turut dalam acara berprestij itu sudah cukup membuktikan kehadirannya dalam persada seni bukan olok-olok.

Sebagai penghargaan dan ucapan terima kasihnya, satu majlis kesyukuran sempena kejayaan itu dilangsungkan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dalam suasana sederhana.

Hafiz yang ditemui sejurus majlis tamat berkata, inilah masanya untuk ‘membalas’ jasa mereka yang berhempas-pulas memastikan dirinya berada di posisi ini. Dia juga sempat meluahkan rasa syukur kerana rata-rata individu yang dijemputnya sudi meluangkan masa hadir pada majlis istimewa itu.


Memandangkan popularitinya kini mencanak, Hafiz menyifatkan pencapaian itu hadiah kepada usaha kerasnya bergelar anak seni selama ini. Namun bukan bermaksud dia sudah boleh melabelkan dirinya sebagai artis kelas A dan mula ‘demand’.

Jauh di sudut hati, memang dia menyimpan impian untuk setanding dengan artis hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Jamal Abdillah mahupun Datuk M Nasir suatu hari nanti, namun perjalanannya masih jauh.

Ditanya perancangan terbaru rencana seninya, sama ada selepas ini akan berlakon filem pula selain teruskan aktiviti nyanyian, Hafiz hanya mampu mengukir senyuman.

“Sebenarnya, saya ada juga mendengar desas-desus mengenai perancangan pihak pengurusan untuk membabitkan saya dalam filem pula selepas ini. Namun, kesahihannya masih lagi belum terbukti.

“Andai benar selepas ini saya mendapat tawaran berkenaan, apa salahnya saya mencuba. Mengenai watak, saya teringin melakonkan watak budak jahat, maklumlah jiwa muda saya masih lagi membara.

“Bagaimanapun, saya tidak pastilah macam mana agaknya lakonan saya nanti kerana saya memang tidak pandai berlakon. Memanglah sebelum ini saya pernah berlakon dalam teater muzikal Kita di Istana Budaya, namun untuk filem pastinya berbeza.

“Namun jujur saya akui, saya lebih minat untuk berlakon muzikal kerana ia menggabungkan lakonan dan nyanyian,” katanya.

Tapi apa yang pasti, Hafiz kini menantikan bagaimana agaknya kemampuan single baru, Watak yang menyusul selepas Awan Nano. Lagu keempat dalam album Masih Jelas itu yang sudah pun diperdengarkan menerusi radio adalah hasil ciptaan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kejayaan berganda Hafiz itu sangat membanggakan terutama pihak pengurusan. Pencapaian cemerlang itu tidak mungkin berlaku tanpa individu-individu yang banyak menyokong dan membantu sepanjang tempoh masa berkenaan.

“Malam ini adalah sebagai tanda penghargaan dan kami sudah menjemput beberapa individu yang sememangnya terbabit dalam kejayaan Hafiz menerusi Awan Nano, selain meraikannya bersama rakan-rakan media, teman terdekat dan juga peminat.

“Saya amat terharu dengan kehadiran orang-orang penting terutamanya M Nasir, Budi Hekayat dan Herman Tino serta tidak dilupakan komposer terbabit, pembikin muzik video, jurutera bunyi dan semualah. Saya tidak mampu menyebut nama mereka semua namun terima kasih banyak.

“Selepas ini sudah banyak perancangan disusun untuk merancakkan lagi aktiviti seni Hafiz. Ketika ini, pengurusan sudah menghantar lagu Awan Nano ke Indonesia bagi rangka promosi pasaran di sana.

“Album khas versi Indonesia juga sedang dalam proses rakaman kerana dalam masa yang sama, pemilihan lagu untuk album itu masih berjalan. Berdasarkan maklumat daripada pihak sana, penerimaan lagu berkenaan agak hebat di sana terutama dalam kalangan media seterusnya melancarkan promosi.

“Dengan kekuatan pada lagu terbabit, tidak mustahil ia akan disukai pendengar di sana pula.

“Dalam masa sama, pihak pengurusan juga pastinya ada perancangan membabitkan Hafiz dalam lakonan filem. Namun, kami masih lagi mengintai mana-mana filem yang bersesuaian dengannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters