Jom Buat Duit

Tuesday 7 February 2012

Faralyna Idrus Tak mahu dilabel artis majalah

Faralyna Idris
Faralyna Idris

KEMATANGANNYA cukup terserlah walaupun usianya baru meniti 21 tahun. Namun, ramai tidak tahu, pada usia remaja juga, Faralyna Idris sudah memikul tanggung-jawab berat menyara keluarganya.
Kata Faralyna yang lebih mesra disapa Fa dan dikenali melalui drama bersiri Asmara, Kali Kedua dan Dingin Lagenda, selepas ibunya meninggal dunia, empat tahun lalu, dialah kini menjadi harapan keluarganya.

“Ayah saya pula sudah berusia 67 tahun, uzur dan tidak mampu untuk bekerja lagi. Maklumlah, abang saya sudah berkeluarga dan ada tanggungannya sendiri.

“Sekarang, sayalah yang menyara ayah dan adik yang baru lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Saya perlu membiayai pengajiannya kalau dia ingin masuk universiti nanti. 

“Kalau sebulan saya tak ada tawaran berlakon, maka sebulan jugalah saya terpaksa ‘ikat perut’. Takkanlah saya sanggup nak melihat ayah dan adik pula berlapar di rumah,” katanya.

Bagi Faralyna, usia muda juga adalah masa untuknya bekerja keras dan membina nama dalam bidang seni.

“Saya berlakon bukan untuk main-main atau mengejar glamor sebaliknya bidang seni adalah periuk nasi untuk menyara keluarga. Pada masa sama, saya tidak kejar populariti kerana percaya perjalanan karier seni saya masih terlalu jauh lagi,” katanya.

Justeru kata Faralyna, dia tidak kisah andai orang berkata dia tidak popular seperti mana rakan seperjuangan lain.

“Apa yang penting, sejauh mana bakat saya dalam lakonan kerana tidak mahu dilabel sebagai artis majalah. Saya akur semuanya bergantung pada rezeki.
Setiap pelakon ada cara mereka sendiri dan saya pula masih belajar ilmu lakonan,” katanya.

Faralyna akui terhutang budi dengan ibu kepada bintang muda Diana Danielle iaitu Mama Norsiah.

“Saya memang berkawan rapat dengan Diana dan ibunya sejak dulu. Mama Di yang mencadangkan kepada saya untuk menceburi bidang lakonan apabila ibu saya meninggal dunia.

“Ketika itu Diana juga mula berjinak-jinak dalam bidang komersial dan lakonan.
Alhamdulillah, sudah empat tahun saya terbabit dalam bidang lakonan dan tawaran berlakon tidak pernah putus,” katanya.

Sesi fotografi dengan Faralyna hari itu diatur ‘publisist’ popular, Bill Bora bertempat di Rafflesia The Pearl Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Faralyna yang muncul tepat pada waktunya dengan wajah yang sudah siap disolek dan rambut yang didandan kemas memberitahu dia baru selesai penggambaran drama bersiri 13 episod, Prosa Cinta Embun yang berlangsung selama sebulan di Kuching, Sarawak. Ia juga diterajui tiga lagi watak utamanya yang juga bakat baru termasuk Nat Zainat.

“Saya bawa watak gadis lasak, Elly yang kasar. Memang sukar bawa watak Elly tapi selepas bimbingan pengarah, barulah saya dapat menjiwai dengan sebaik mungkin,” katanya yang turut berlakon dalam drama Durja Ningsun.

Ditanya watak diimpikan selepas ini, Faralyna yang mengagumi Ellie Suriaty juga menanti watak antagonis yang lebih mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

“Kalau penonton perasan, saya sering diberikan watak gadis baik dan pelajar kolej. Sampai masanya saya bawa watak jahat seperti dalam filem KL Gangster sebagai kelainan.

“Saya juga ingin perbaiki prestasi sedia ada. Kalau pelakon lain beri 100 peratus, saya akan beri 200 peratus komitmen pada watak diserahkan.

“Selain mahu bekerja dengan pelakon hebat seperti Eja, Vanidah Imran dan Maya Karin, saya juga ingin menimba ilmu dengan pengarah yang hebat juga seperti Ellie,” katanya.

Selain itu, Faralyna bakal terbabit dalam slot seram Amukan Pucong untuk TV3. Tidak ketinggalan, dia bakal terbabit dengan dua projek telemovie di Paris, tahun ini.

Faralyna tak sorok kekasih

JIKA artis lain ramai yang suka berahsia mengenai kekasih hati, Faralyna pula bersikap terbuka dalam hal itu. Akui Faralyna, jejaka yang bertakhta di hatinya sejak empat tahun lalu ialah model yang digilap daripada Pencarian Model Kacak Bergaya dan pelakon baru Hairul Azreen, 24.

“Kami mula berkenalan selepas terbabit dalam drama Bionik pada 2008. Hairul terbabit sebagai ‘stunt man’ dalam cerita itu. Kami semakin rapat sejak pertemuan itu.

“Maklumlah, selepas ibu meninggal dunia, saya berasa kehilangan yang amat sangat. Namun, kehadiran Hairul mengubat kekosongan dalam hidup saya itu.

“Ketika arwah ibu masih ada, dia sering menemani saya ke mana saja. Kini, Hairul yang menjadi pengganti ibu dan menemani saya ke mana-mana sekarang.
Hairul banyak mengingatkan saya dengan sikap arwah ibu yang sangat memanjakan saya,” katanya.

Ditanya ciri-ciri yang ada pada Hairul, kata Faralyna, dia seorang yang sangat memahami dan pada masa sama kami menceburi bidang yang sama.

“Hubungan kami memang serius, tapi belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini. Masih banyak lagi benda yang kami nak buat dan Hairul juga ada impiannya sendiri yang nak dicapai lagi dalam hidup,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters