Jom Buat Duit

Sunday, 1 January 2012

TEKAD SELEBRITI 2012

KETIBAAN tahun baru pasti ramai berbicara soal azam. Sudahkah azam tahun lalu terlaksana dan apa pula tekad baru yang bakal mewarnai kehidupan kita? SELEBRITI menghampiri 10 selebriti popular tanah air yang sudi berkongsi azam baru mereka tahun ini.
Ada antaranya berpuas hati apabila azam digenggam erat tahun lalu berjaya direalisasikan dan ada juga yang mengeluh sasaran tidak kesampaian lalu mahu melunaskannya tahun ini. Berikut senarai azam artis pilihan SELEBRITI.

 ADI PUTRA


Saya tidak putus-putus berdoa moga dikurniakan cahaya mata tahun ini. Itu azam besar saya selepas isteri empat kali keguguran. Mudah-mudahan tahun ini rumah tangga kami diceriakan dengan kehadiran anak kecil.

Selain itu, saya mahu kembangkan kelab peminat Hotlovers di serata dunia.
Setakat ini, kelab peminat disertai penyokong saya dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Mesir dan London.

Saya merancang bertemu peminat, bermula de­ngan majlis pertemuan di Singapura diikuti London dan Paris. Harapnya dengan pertambahan ahli dari negara lain, ikatan silaturahim Hotlovers dapat diperkukuh­kan.

Saya sedar, tanpa sokongan peminat, karier saya tidak akan ke mana-mana. Merekalah tulang belakang saya dan kerana merekalah saya berada di tahap sekarang. Justeru, budi baik dan doa mereka sangat saya hargai.

Tahun ini juga filem lakonan saya iaitu KL Gangster 2 dan Langgar akan ditayangkan. Saya juga bakal sibuk dengan penggambaran beberapa filem lagi dan diharap persembahan saya lebih berkualiti daripada sebelum ini.


 
SCHA AL-YAHYA
Pada 2011 saya tidak capai tahap piawaian kesihatan yang diinginkan, jadi tahun ini saya kena pastikan azam itu dapat dicapai. Bermakna saya kena lebih banyak keluarkan peluh dengan bersenam.

Sebagai anak, saya berazam bawa ibu bapa menunaikan umrah tahun ini dan kerjaya pula saya mahu pelbagaikan watak. Tahun lalu saya banyak ditawarkan watak klise, harapnya tahun ini saya dapat tampilkan sisi Scha Al-yahya yang belum pernah penonton lihat.

Saya teringin hidupkan watak berat dan air mata, tetapi barangkali penerbit atau pengarah belum yakin dengan kemampuan saya.

Apapun, saya kena buktikan dan perlu mencari peluang untuk menunjukkan kebolehan sebenar. Tahun ini saya kena pandai bawa diri supaya hasrat ini kesampaian. Sesuai dengan peningkatan usia, saya mahu jadi lebih tenang.

Sebelum ini serba serbi laju, malah saya boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Saya mahu menikmati usia 29 tahun dengan penuh rasa gembira.

Insya-Allah, saya akan menamatkan zaman bujang dengan Awal Ashaari tahun ini.
Biarpun tidak tahu bagaimana hala tuju hidup saya selepas bergelar isteri, saya berdoa yang baik-baik saja. Ikut perancangan asal, kami mahu melangsungkan perkahwinan pada Mac depan tetapi terpaksa menunda tarikh kerana tempat yang kami suka semuanya penuh.

Untuk memastikan lokasi dipilih muat dengan kapasiti tetamu, kami kena cari tarikh lain dan masih membincangkannya.

Kalau boleh paling lambat pun pertengahan tahun, tetapi kami hanya merancang, Allah menentukan. Apabila ada ketetapan tarikh, baru kami akan mula melakukan persiapan.


OSMAN ALI
Tahun lalu meninggalkan memori indah buat saya apabila diangkat sebagai Pengarah Terbaik dalam Anugerah Skrin menerusi filem Cun, di mana dalam acara itu Nadia Nisa dan Remy Ishak turut mendapat pengiktirafan.

Saya juga bangga apabila filem Ombak Rindu mencecah kutipan RM11 juta selepas hampir sebulan ditayangkan di pawagam seluruh negara. Mana yang tidak berkesempatan ke pawagam, bolehlah menonton filem ini di Astro First.

Kejayaan itu membuka mata saya untuk melihat aspek kehidupan daripada sudut positif. Setiap kegagalan tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya.
Biarpun Cun tidak mendapat sambutan di pawagam, Ombak Rindu adalah sebaliknya apabila melepasi sasaran saya. Azam saya, mudah-mudahan dapat menghasilkan karya lebih berkualiti.

Dalam simpanan saya ada beberapa skrip genre drama tetapi tidak ada penerbit berani menerbitkannya. Mereka menyifatkan karya saya tidak memenuhi kehendak pasaran dan selera penonton, tetapi selepas melihat kejayaan Ombak Rindu persepsi mereka terhadap genre drama mula berubah.

Ada yang suarakan rasa berminat menerbitkan karya itu dan perkembangan positif ini dapat membuka lebih ruang kepada saya untuk menyampaikan penceritaan secara lebih matang. Itulah azam saya dan harap dimakbulkan Ilahi.

Azam peribadi pula saya mahu jadi manusia lebih positif dan menjaga insan yang saya sayangi dengan lebih bertanggungjawab.


ANZALNA NASIR

Sejak lima bulan lalu, hidup saya mula berubah. Kalau sebelum itu saya tidak bekerja, tetapi kini hasil titik peluh berlakon, saya boleh capai impian beli kereta. Saya tidak ada lesen memandu, kalau nak ke mana-mana kena minta orang hantarkan.

Jika boleh memandu dan ada kereta sendiri, urusan hidup saya pasti lebih mudah.
Jadi azam tahun baru saya adalah membeli kereta dan insya-Allah ia jadi hadiah paling indah ulang tahun saya ke 24 pada 9 Januari ini. Seronok rasanya bila dapat beli kereta dengan duit sendiri.

Sebelum ini hati saya tersentuh setiap kali mendengar cerita mereka yang tidak bernasib baik dan pernah ada impian mahu menghulurkan sumbangan kepada golongan ini, tetapi tidak kesampaian kerana tiada pendapatan. Insya-Allah hasrat ini dapat saya laksanakan dan ia menjadi satu daripada azam penting saya tahun ini.

Selain itu, saya mahu mantapkan mutu lakonan dan membintangi lebih banyak drama dan filem. Setakat ini saya menjayakan dua filem iaitu Sepah The Movie dan Tyickoouns.

Saya juga mahu beranikan diri bawa watak utama. Selama ini ada tawaran tetapi saya tidak yakin dengan kemampuan diri. Alhamdulillah, selepas beraksi dalam beberapa drama dan dua filem, saya mula yakin dan akan berusaha melakukan yang terbaik andai ada peluang selepas ini.

Drama lakonan saya, Gemersik Kalbu untuk slot Akasia TV akan mula ke udara esok dan diharap ia menjadi pembuka rezeki saya tahun ini. Dalam waktu terdekat, saya akan menjalani penggambaran dua drama untuk TV3.


 AIZAT AMDAN
Apabila berazam, biasanya saya beri masa dua tahun untuk merealisasikannya.
Insya-Allah, tahun ini saya tunaikan azam 2010 iaitu membina studio. Jika dapat lampu hijau daripada pemilik tanah, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan. Saya berharap sangat ia dapat dibina secepat mungkin. Buat masa ini studio ini dibina untuk kegunaan sendiri dan jika berpuas hati dengan kualiti bunyinya, baru saya akan buka kepada sesiapa saja yang berminat menggunakan kemudahan disediakan.

Saya juga mengumpul material untuk album baru. Kali ini saya lebihkan lagu Inggeris kerana mahu menembusi pasaran luar. Berbeza dengan album terdahulu, saya cuba tampil dengan konsep baru di mana album ini nanti lebih Rock n Roll.

Saya mahu segarkan kembali elemen Rock n Roll yang pernah dipopularkan orang lama dan sesuaikan dengan selera muzik masa kini. Saya akan cuba buat yang termampu dan apabila masuk studio, mungkin saya akan nampak dengan jelas adakah ia benar-benar sesuai atau perlu diubah suai.

Selain itu, saya berazam berhenti merokok. Perkara ini sudah lama saya fikirkan dan ia perlu dilaksanakan segera. Memang susah untuk meninggalkan tabiat ini, tapi saya yakin boleh. Banyak keburukan jika kita merokok dan paling saya takut, ia memudaratkan kesihatan dan mengundang penyakit kronik.


MIERA LIYANA

Pengalaman lalu banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk. Saya berazam jadi insan lebih baik tahun ini dan lebih berhati-hati dengan apa yang saya pakai. Insya-Allah, saya akan ubah mana yang patut dan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

Selama ini, cerita kontroversi saya lebih diperkatakan daripada kerjaya. Ramai cakap saya hanya bergantung dengan publisiti, aspek lakonan tidak ada apa yang boleh dibuktikan. Tahun ini adalah tahun untuk saya buktikan tanggapan itu salah.

Empat filem lakonan saya iaitu Apocalips X, Jangan Pandang-Pandang, Rentas dan Pecah akan ditayangkan tahun ini. Dengan adanya filem ini di pawagam, diharap persepsi masyarakat terhadap saya berubah. Tahun ini juga banyak drama lakonan saya akan bersiaran di beberapa saluran TV. Saya mahu orang nilai bakat dan kemampuan saya bukan apa yang saya pakai. Cukuplah kontroversi sebelum ini.

Kalau ikut perancangan tahun ini, saya dan Shah Jazle merancang mahu mendirikan rumah tangga tetapi memandangkan jadual penggambaran kami padat sepanjang tahun, mungkin hasrat itu tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Shah mahu menghantar rombongan meminang, tetapi perlu menunggu ibunya pulang ke tanah air terlebih dulu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk tidak tergesa-gesa. Kalau ada jodoh, tak akan ke mana, jadi buat masa ini biar kami fokuskan perhatian terhadap komitmen kerja. Bulan depan kami akan menjalani penggambaran drama 40 episod untuk Astro.


ZAHIRIL ADZIM

Saya kini bergelar suami kepada wanita yang saya cintai, Shera Aiyob. Saya berazam menjaga ikatan suci ini dengan baik dan mendalami ilmu rumah tangga serta agama. Apabila tanggungjawab bertambah, saya kena mantapkan ekonomi, justeru kena bekerja lebih kuat.

Selain menajamkan skil lakonan, saya mahu menceburi bidang lain yang boleh menambah pendapatan. Mungkin mencari peluang mengusahakan bisnes. Setidak-tidaknya apabila tawaran berlakon semakin kurang, saya sudah ada persediaan.
Bak kata orang lama, hidup kita ini umpama roda. Ada ketikanya di atas dan ada masanya di bawah, jadi kena sediakan payung sebelum hujan.

Selain itu saya berazam berhenti minum kopi. Kalau ikutkan ini azam tahun lalu, ramai suruh saya berhenti minum kopi dan banyakkan minum air mati. Insya-Allah, saya akan pastikan ia dapat direalisasikan tahun ini.

Satu lagi, saya rindukan watak jahat. Harapnya tahun ini ada yang sudi tawarkan karakter antagonis kepada saya. Selepas Kami The Movie saya ada bawa watak hitam, tetapi ia tidak ekstrem. Saya mahu cabar diri dengan melakonkan watak sebegini.


SARI YANTI

Tahun ini saya akan luangkan lebih masa dengan anak. Saya baru habis berpantang dan menyesuaikan diri dengan komitmen ini. Saya mahu jadi ibu terbaik. Tidak dinafikan memang mencabar apabila ada anak kecil, apatah lagi zuriat sulung saya, Barr Al Aliy baru berusia 16 bulan. Dia masih belum puas bermanja, tiba-tiba ada adik. Alhamdulillah, dia dapat menerima kehadiran Basit Al Haq, bahkan dia sangat sayangkan adiknya.

Walaupun ada pembantu di rumah, urusan menjaga anak saya lakukan sendiri. Saya seronok melihat perkembangan mereka dan tidak kisah berjaga malam atau berpenat kerana itu adalah perjalanan hidup seorang ibu.

Jika ada tawaran berlakon, saya akan tengok keadaan anak. Andai Basit sudah boleh berenggang dengan saya, mungkin tawaran yang datang akan saya pertimbangkan. Saya merancang mengusahakan perniagaan secara on-line tetapi belum ada ketetapan. Tengoklah, jika ada idea nanti, mungkin akan saya laksanakan. Seronok juga kalau dapat bekerja dari rumah.


AZLAN & THE TYPEWRITER

Azam saya mahu mengukuhkan ekonomi, membeli rumah dan perbaiki diri. Rabu lalu, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.8 kilogram di Hospital Lourdes, Sentul, Kuala Lumpur.

Zuriat yang sangat dinantikan ini saya namakan Laurra Lutfea. Alham­dulillah, ibu dan anak sihat. Saya menemani isteri sepanjang proses bersalin dan selepas berhempas pulas, Laura selamat dilahirkan pada jam 9.03 malam. Pengalaman berada dalam bilik bersalin tidak mungkin saya lupakan. Perasaan takut, gembira dan kasihan bercampur-baur. Ia secara tidak langsung buat saya rasa insaf dan terfikir banyak perkara.

Saya berazam menjadi suami dan bapa yang baik dan akan berusaha meninggalkan tabiat tidak elok. Antaranya, saya mahu kurangkan tidur dan merokok. Saya juga akan jadi insan lebih bertanggungjawab. Saya sedar perubahan tidak boleh secara drastik, jadi saya akan ubah perlahan-lahan.

Kerjaya pula, saya gembira dengan pencapaian Azlan & The Typewriter dan akan berusaha menghasilkan lagu lebih berkualiti tahun ini. Kini saya sibuk dengan proses rakaman single yang dijangka keluar April depan. Kali ini konsep diketengahkan lebih moden dan harap dapat diterima peminat.


JACLYN VICTOR

Memandangkan usia kian meningkat, saya kena berusaha lebih keras untuk melunaskan beberapa azam yang belum kesampaian. Untuk memastikan perjalanan karier dan kehidupan peribadi lancar, perkara pertama perlu saya utamakan adalah kesihatan.

Justeru, saya berazam untuk lebih prihatin soal penjagaan kesihatan, termasuk daripada segi pemakanan dan banyakkan bersenam. Amalan sihat ini juga bagus untuk mengekalkan tubuh badan langsing.

Tahun ini juga saya berazam menunjukkan sisi berbeza Jaclyn Victor menerusi album baru yang bakal menjengah tidak lama lagi. Sudah tujuh tahun saya dalam industri, kena cari kelainan jika mahu terus maju. Saya berharap sangat album ini berada di pasaran sebelum pertengahan tahun dan diharap peminat suka kelainan ditampilkan.

Ada yang bertanya bila saya mahu berumah tangga, jawapannya belum tiba masanya.
Tunang saya berada di United Kingdom dan merancang mencari pekerjaan di sini, tetapi bukan dalam waktu terdekat. Tidak dinafikan hubungan jarak jauh sangat mencabar tetapi setakat ini kami dapat tangani segala dugaan itu. Barangkali sudah lima tahun bertunang, jadi masing-masing faham dan saling percaya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters