KEMUNCULAN Kilafairy dalam arena hiburan tanah air pernah menjadi bualan hangat. Ledakan mendadak populariti puteri bongsu penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil ini mengundang perhatian banyak pihak.
Pun begitu, ia bersifat sementara apabila perlahan-lahan namanya tenggelam. Apa sudah jadi kepada pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan ini? Adakah dia kecewa lantaran lebih banyak cerita negatif mengenai dirinya diperkatakan berbanding kerjaya? Atau mungkin dia tidak cukup kuat untuk berdepan onak duri dunia seni? Ketika dihubungi beberapa hari lalu, gadis berwajah seksi ini berkata, tiada istilah rajuk atau ralat, namun pelajar semester terakhir Diploma Lanjutan Pemasaran dan Pengurusan Fesyen Kolej Antarabangsa Raffles berkenaan mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian yang bersisa tiga bulan lagi. Lagipun, tiada perkembangan baru yang wajar dikongsi, justeru lebih manis andai mendiamkan diri.
“Insya-Allah, Mac depan pengajian saya di Kolej Antarabangsa Raffles akan berakhir. Selepas itu baru boleh kembali aktif berlakon dan menyanyi. Sementara waktu, biarlah saya fokuskan perhatian kepada pelajaran.
“Kalau ikutkan, ada beberapa tawaran berlakon tetapi terpaksa saya tolak kerana bertindih dengan jadual kuliah. Lagipun tawaran yang hadir kebanyakannya klise. Asyik bagi watak penggoda dan gadis gedik, walhal saya tidak mahu dicop pelakon sterotype,” kata bintang filem Karak ini.
Sambungnya, untuk berada lama dalam bidang yang diceburi, perlu bijak mengatur strategi. Bimbingan ibu tercinta banyak membuka mindanya supaya berhati-hati dalam memilih peluang yang hadir depan mata. Tidak semua perlu disambar kerana andai tersilap perhitungan akan memakan diri.
“Jika mahu serius dalam bidang ini, saya kena buktikan boleh bawa pelbagai watak. Biasanya mereka yang serba boleh mampu pergi jauh dan punya masa depan lebih cerah. Bukan bermakna saya anti watak penggoda, tetapi saya mahu cuba sesuatu yang baru.
“Barangkali watak gadis naif dan teraniaya mampu menguji kemampuan sebenar saya. Atau mungkin karakter lasak dalam karya aksi atau thriller.
“Jika ada tawaran watak sebegini dalam waktu terdekat dan jadual penggambaran tidak mengganggu kuliah, saya pasti terima,” katanya.
Katanya, cakaplah apa saja, yang penting dia tahu hala tuju karier dan strategi yang wajar diguna pakai untuk bertahan lama.
“Saya tidak boleh tutup mulut orang daripada terus berkata-kata. Berterusan popular dan menjadi buah mulut orang bukan strategi saya. Untuk kekal lama, ia harus dibuat secara berperingkat-peringkat dan paling penting, konsisten.
“Seperti saya katakan tadi, berdiam bukan bermakna saya mahu berundur atau sudah tidak diterima, tetapi saya mahu tamatkan pengajian terlebih dulu.
“Apabila tanggungjawab yang satu ini sudah dilunaskan, baru saya senang hati untuk tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya sebagai pelakon, penyanyi mahupun pengacara.
“Selama ini pun ramai pertikai nama saya cepat naik, walhal tidak ada banyak produk. Apa yang mereka cakap itu ada benarnya tetapi kita kena ingat, itu mungkin rezeki saya.
“Dan, mohon saya jangan terlalu cepat membuat kesimpulan kerana hadirnya saya dalam bidang ini bukan dengan tangan kosong, sebaliknya bersandarkan bakat dan minat mendalam. Saya mahu kongsi bakat dianugerahkan Ilahi ini dengan semua orang.
“Pertengahan tahun ini, filem muzikal lakonan saya bersama Aqim AF, Adibah Noor, Aznil Nawawi, Harun Salim Bachik dan Fauziah Nawi akan muncul di pawagam seluruh negara.
“Tahun baru ini ada beberapa tawaran dalam pertimbangan saya dan hanya boleh beri jawapan selepas dapat jadual kuliah baru,” katanya.
No comments:
Post a Comment