Jom Buat Duit

Sunday, 1 January 2012

Diana Danielle Enggan Terkejar - Kejar

Diana Danielle Danny Beeson
Diana Danielle Danny Beeson
pix_topright


PEMBUKA 2012 bagai kena dengan empunya diri, malah si manis tinggi lampai ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Bijak, cantik, peramah, tegas dan kini ceria dengan andikanya pelakon dan pengarah berbakat besar, Farid Kamil.
Walaupun kisah cinta mereka dicanang setiap waktu, bukan itu yang mahu diperkatakan Diana Danielle Danny Beeson, gadis yang baru mencecah usia 20 pada November lalu. Sebaliknya, ketegasan bergelar aktres di tanah air ini.
Diana yang mesra disapa D bijak berkata-kata mengenai isu semasa. Walaupun muda, pembawakan dan pemikirannya menjangkau gadis lain seusianya.

Sesi pertemuan dan fotografi SELEBRITI bersama gadis bertuah yang bakal tampil dengan filem berbajet besar arahan U-Wei Shaari berjudul Hanyut ini dilakukan dengan ringkas tapi penuh gaya.


“Tahun 2012 saya bakal beraksi dalam lima filem, selain Hanyut, saya baru saja ditawarkan berlakon bersama Namawee dalam filem terbaru arahannya berjudul Hantu Gengster. Sejak menonton Nasi Lemak 2.0 arahannya, saya menyimpan impian untuk bekerja di bawahnya dan tidak sangka akhirnya saya dipilih.

“Saya juga akan tampil dalam filem Jiwa Taiko, Azazil dan sebuah filem Inggeris tempatan Spilt - Gravy On Rice. Selain itu, saya baru selesai penggambaran telemovie mengisahkan pemerdagangan orang berjudul Satu Malam Perawan,” katanya yang sibuk menjalani penggambaran Hantu Gangster sejak pertengahan bulan lalu.

Malah, D sempat berkongsi pengalaman baru bergelar pengacara untuk saluran ESPN. Biarpun masih ‘hijau’ dalam bidang itu, D akui ia pengalaman menarik.

Apatah lagi dia seronok bergandingan dengan dua pengacara berpengalaman, Sazzy Falak dan Hanna Tan yang jauh lebih dewasa dalam bidang itu.

Malah, jika ditakdirkan sudah tidak diperlukan sebagai pelakon, D tidak gentar untuk bergelar pengacara sepenuhnya satu hari kelak.

Namun, semua itu hanya perancangan jangka masa panjang. Seboleh-bolehnya D mahu menyulam bakat ke semua cabang seni, baik lakonan, pengacaraan mahupun nyanyian.

“Saya masih mengusahakan single pertama dan terus terang, saya tidak tahu bila sebenarnya akan siap. Kalau diikutkan, saya tampil dengan empat single yang diterbitkan beberapa penerbit ternama tapi semua itu biar masa menentukan.

“Secara keseluruhan, single itu baru siap 10 peratus. Sebenarnya saya tidak mahu terkejar-kejar buat semua perkara sekali gus. Selesaikan satu demi satu.
Kalau dilihat pada aktiviti seni saya pun, saya akan ambil satu tawaran untuk satu masa. Selepas habis satu filem atau drama, saya berehat seketika.

“Lagipun, saya tidak mahu momentum itu hilang bila saya melakukan banyak perkara dalam satu masa,” katanya yang meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi.

Telahnya mudah, dia tidak mahu terkejar-kejar atau menyibukkan diri sehingga berjauhan dengan keluarga. Keluarga menjadi tonggak utama yang menjadikan dirinya sebagai Diana Danielle.

Hampir setiap waktu D menyentuh pasal keluarganya, terutama sekali faktor masa yang dilihat tidak anjal bila terpaksa diserahkan kepada tuntutan kerja sehingga nilai kekeluargaan diletak ke tepi.

“Saya sangat rapat dengan keluarga dan meletakkan mereka di depan. Kalau diikutkan, saya bukan seorang yang gila bekerja dan suka mengambil masa sendiri supaya tidak berenggang dengan ahli keluarga saya yang lain.

“Melihat pada keluarga besar Farid yang sangat rapat antara satu sama lain membuatkan saya sangat gembira kerana jika ditakdirkan kami berkahwin, saya yakin suasana kekeluargaan akan lebih ceria,” katanya yang mendapat sebuah telefon bimbit daripada Farid sempena sambutan hari jadinya lalu.

Perbualan D bersama SELEBRITI bukan setakat bercerita mengenai kerjaya seni mahupun mengorek lebih dalam kisah cintanya dengan Farid atau bertanya soalan cepu emas bila mereka akan berkahwin.

Satu ketika dulu, gadis bertuah kelahiran Amerika Syarikat ini pernah menyuarakan pendiriannya mengenai isu kebajikan artis. Walaupun isu itu lapuk, isinya sangat besar untuk terus diperkatakan. Apatah lagi dengan perkembangan industri hiburan dan genre yang sudah pelbagai, kebajikan artis juga harus sama seiring.

Semuanya bermula selepas D menyaksikan dan merasai selok-belok industri filem tempatan. Malang tidak berbau yang mungkin berlaku ketika proses penggambaran membuatkan D mahu bersuara.

D hampir menjadi mangsa ketika penggambaran filem Azazil di mana kejadian letupan yang hampir meragut nyawa seorang kru berlaku di depan matanya.

Daripada situ, D tekad melakukan sesuatu yakni pihak penerbit filem tempatan perlu menyediakan polisi insurans kepada tenaga kreatif yang terpaksa berdepan situasi seperti itu.

Bukan cuba menunjuk pandai atau berlagak bagus bak bintang Hollywood, tapi satu tuntutan yang patut dipandang serius.

“Saya pernah diminta melakonkan babak di atas bangunan tinggi dan berdiri di atas tembok. Katakan saya takut pada ketinggian atau tergelincir, apa yang akan berlaku?

“Sekurang-kurangnya jika berlaku apa-apa kepada saya atau sesiapa saja yang terbabit dalam proses penggambaran, masa depan kita atau keluarga akan lebih terjamin.

“Saya juga pernah ditanya pengarah luar negara mengenai cara ‘orang kita’ bekerja bila membabitkan aksi melompat atau terjun dari tempat tinggi.

“Bila saya kata hanya menggunakan longgokan kotak sebagai alas, mereka terkejut! Kata mereka, itu satu tindakan bunuh diri dan sangat berbahaya, terutama bila terjun dari tempat tinggi,” kata Diana serius.

Industri perfileman negara kita berevolusi dan semakin hari semakin banyak teknologi dan karya kreatif terhasil. Oleh itu, D sangat berharap, dengan kemajuan di dalam bidang itu, pengarah dan penerbit lebih peka untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat untuk semua.

Bercakap soal masa depan, D mengatur langkah sendiri untuk memiliki segulung ijazah menjelang usia 25 tahun. Ditanya apakah dia mahu meneruskan pengajian dalam bidang perfileman atau lakonan, dengan pantas dia menjawab tidak. Bidang psikologi menjadi pilihan utama, di mana dan bila, D masih belum pasti.

Yang pasti, D sibuk mengumpul dana sendiri untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Katanya, dia tidak mahu bergantung pada kantung poket mamanya atau pinjaman pendidikan sedia ada.

“Bagi saya, ilmu lakonan tidak perlukan segulung ijazah. Cukup dengan menghadiri kursus jangka masa pendek yang sentiasa ada. Lebih penting, mengutip pengalaman dalam bidang lakonan sebagai menguatkan lagi ilmu itu.

“Saya memilih bidang psikologi kerana ia bukan saja boleh dijadikan kerjaya, malah membantu saya untuk memahami nilai kemanusiaan. Pada masa sama, saya juga boleh meneruskan kerjaya lakonan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters