Jom Buat Duit

Saturday, 28 January 2012

Noorkhiriah tenang bertudung



PERKEMBANGAN industri hiburan tanah air kini semakin terserlah. Bukan saja membabit�kan penghasilan filem, namun program televisyen juga tidak ketinggalan. Apapun, perubahan ketara juga berlaku di kalangan artis wanita tempatan yang boleh dikatakan sudah ramai mengambil langkah mengubah imej.

Mengambil contoh seperti Raja Farah, Diana Amir, Farah (AF2) dan Siti Nordiana, turut melakukan penghijrahan ke arah lebih baik pastinya pelakon yang pernah meraih anugerah Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tiga kali, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 36.

Tampil selesa bertudung Noorkhiriah berkata, jiwanya amat tenang. Malah, dalam aspek karier lakonan pun tak banyak yang berubah. Ujarnya, tawaran untuk membintangi drama, telefilem mahu pun sitkom masih tidak berkurangan dan syukur di atas segala rezeki ditentukan Tuhan.

“Sekarang saya bercuti dan uruskan anak-anak kerana sudah selesai penggambaran program Edisi Khas musim kedua untuk TV3 serta telefilem Amarah Hawa (TV9). Malah, saya juga sebenarnya sudah menyiapkan beberapa drama yang kebanyakannya untuk siaran TV9. Jadi, soal tawaran memang tak putus.
“Apapun, saya tetap kena akur bahawa tawaran watak diterima cukup terhad sejak bertudung. Watak baik dan komedi masih banyak diterima, cuma antagonis sudah tiada lagi. Terasa rindu jugalah untuk melakonkan watak jahat kerana tak semestinya bertudung saya hanya sesuai dengan watak baik saja.

“Olahan watak bagi saya boleh dipelbagaikan. Bagaimanapun, saya cukup terjua menjayakan telefilem Amarah Hawa arahan Azma Aizal Yusof yang turut dibintangi Rusdi Ramli dan Sharifah Amani. Ia nyata watak mencabar kerana saya memikul peranan sebagai penceramah wanita yang disegani ramai.

“Bahkan, saya sering membicarakan perihal rumah tangga. Namun, di sebalik ceramah diungkap itu saya sebenarnya adalah mangsa keganasan rumah tangga.
Jujur dikatakan, plot cerita sangat menarik dan banyak pengajarannya. Malah, telefilem ini dijangka menemui penonton Februari ini,” katanya.

Menyentuh soal filem pula, Noorkhiriah berkata, tawaran ada diterimanya tetapi sebaik memaklumkan dia kini sudah berhijrah menutup aurat, maka watak itu sudah tidak sesuai untuknya. Menurutnya, dia langsung tidak berasa ralat kerana yang penting baginya berlaku jujur pada diri dan bercakap benar.

“Rezeki ada di mana-mana asalkan terus berusaha. Justeru, tak dapat berlakon filem pun tidak mengapa. Ini kerana, saya juga tidak me�nyimpan harapan besar untuk beraksi di layar perak. Bagi saya, rezeki berlakon drama, telefilem dan sitkom sudah memadai. Jadi, tidak perlulah bersikap tamak.

“Apapun, saya sudah amat bersyukur kerana ketika belum bertudung dulu pernah juga membintangi beberapa filem. Cukuplah dan sekarang berlakon untuk siaran televisyen pun OK. Malah, saya juga nekad takkan membuka tudung ini semata-mata untuk melakonkan sesuatu watak itu,” katanya.

Sudah bertudung sejak beberapa bulan lalu, masih ramai yang tidak mengetahui penghijrahan Noorkhiriah itu. Kata pelakon air mata ini, masih ramai yang terkejut de�ngan penampilan barunya dan tak kurang juga memberikan maklum balas positif. Ujar�nya, dia juga tak peduli pada pandangan orang.

Katanya, apa yang penting dia tahu tindakan penghijrahan itu sangat tepat. Usia makin meningkat dan sekarang pun sudah bergelar isteri dan ibu kepada dua anak.
Jadi, sampai bila harus berada di takuk lama tanpa sebarang perubahan. Ini untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga juga.
Ditanya mengenai impian�nya, Noorkhiriah tanpa berselindung mengakui dia mengidamkan peluang menonjolkan bakat sebagai penyampai radio pula. Katanya, mendengar rakan artis seperti Sharifah Shahirah dan Kenchana Dewi yang sudah beraksi di radio, tak dinafikan ada juga keinginan untuk mencubanya.

“Namun, sampai sekarang tidak berpeluang. Lagipun, anak-anak masih kecil dan jika mahu kerja di konti radio pun haruslah sesuai dengan masa iaitu sesi pagi atau petang. Ini kerana, malam sudah tentu masa diluangkan buat �anak-anak dan keluarga. �Apapun, ini angan-angan saya saja.

“Macam saya katakan, semuanya bergantung pada rezeki. Tetapi, tidak salah untuk berangan. Manalah tahu ada peluang juga suatu hari nanti,” katanya yang kekal dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular pada ABPBH2011 di samping Didie Alias, Enot, Sharifah Shahirah dan Kenchana.

Malah, kata Noorkhiriah lagi, dia juga tidak terlalu memikirkan untuk mengekalkan kemenangan pernah diraihnya sebanyak tiga kali berturut-turut itu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)