Jom Buat Duit

Friday 27 January 2012

Persembahan sama rata





ANUGERAH Juara Lagu (AJL) merupakan sebuah pertandingan yang mempertaruhkan lagu-lagu terbaik sepanjang tahun hasil ciptaan komposer tempatan yang terus bertahan sepanjang 26 tahun.
Biarpun matlamat penganjurannya adalah untuk memilih lagu terbaik oleh penulis lagu dan lirik, tetapi peranan yang dimainkan oleh penyanyi ketika mempersembahkan lagu-lagu yang dihasilkan turut menjadi kriteria penting dalam penilaian sesebuah lagu.

Salah seorang finalis AJL 26, Jaclyn Victor berkata, penyertaan dalam sesebuah acara pertandingan seperti AJL ini dilihat sebagai pencapaian yang tertinggi sebagai seorang penyanyi.
Pernah beberapa kali tampil dalam acara yang sama sebelum ini, penyertaannya pada kali ini begitu istimewa kerana bakal mempersembahkan dua buah lagu itu Sedetik Lebih secara solo dan Beribu Sesalan bersama Ning Baizura dan Shila Amzah dalam sebuah trio yang dikenali sebagai 3 Suara.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan mengakui bakal menghadapi cabaran yang lebih getir pada saingan kali ini memandangkan kesemua lagu-lagu yang berentap di final nanti sememangnya cukup hebat.
"Pada acara kemuncak AJL 26 nanti pastinya tiada istilah lagu pilihan atau dijangka menang kerana ia akan menyaksikan satu persaingan yang cukup sengit dan agak sukar untuk menentukan pemenangnya.
"Lagipun saya turut berdepan tugas berat apabila akan membuat dua buah persembahan iaitu untuk lagu Sedetik Lebih dan Beribu Sesalan, jadi untuk acara kali ini boleh dianggap sesuatu yang cukup istimewa buat diri saya," ujarnya semasa ditemui sewaktu menjayakan acara jelajah AJL 26 di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Tambah Jaclyn, tentang persiapan yang dilakukan pula tiada sebarang gimik atau kejutan yang bakal dilakukan, sebaliknya dia mahu lebih menumpukan kepada kekuatan vokal serta susunan muzik.
Ujarnya lagi, biarpun berasa sangat teruja apabila dia jarang ketinggalan untuk bersaing di pentas final AJL setiap tahun, tetapi dia mahu mengelak untuk berada dalam keadaan tertekan.

"Sebenarnya kalau berada dalam situasi yang agak tertekan, saya boleh terlupa lirik. Jadi, itu adalah perkara yang seboleh-bolehnya mahu saya elakkan nanti dan hanya fokus kepada persembahan.
"Perasaan berdebar memang pasti akan dirasai apabila menyertai sesuatu pertandingan, meskipun bergelar sebagai penyanyi berpengalaman. Apa yang penting, perasaan sebegitu harus diatasi agar tiada sebarang kesilapan yang berlaku," ujarnya.

Pada masa yang sama, penyanyi bersuara lantang itu turut menegaskan dia sememangnya tetap memandang serius serta memberikan yang terbaik kepada kedua-dua lagu yang dipersembahkan nanti.
Jelasnya, walaupun lagu Sedetik Lebih bukanlah lagu asal nyanyiannya, namun pemilihan yang dibuat oleh komposer Edry Abdul Halim bagi menggantikan Anuar Zain untuk menyanyikan lagu tersebut adalah satu penghormatan buat dirinya.
"Sudah tentu tidak adil kalau saya lebih memberikan tumpuan kepada sebuah lagu sahaja. Kedua-dua lagu mempunyai kekuatan yang tersendiri dan saya akan memberikan persembahan yang sama rata.

KATA Jac, dia mengelak untuk berada dalam keadaan tertekan kerana boleh hilang fokus terutama terlupa lirik lagu.
 
"Tentang lagu mana yang akan muncul juara semuanya terserah kepada juri yang membuat penilaian. Saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan yang tinggi, asalkan saya laksanakan tanggungjawab yang diberikan," ujarnya. Prinsip

Mengenai gabungan bersama Ning Baizura dan Shila Amzah dengan membentuk sebuah trio yang dikenali sebagai 3 Suara, Jaclyn memberitahu dia sangat gembira apabila ia diterima peminat.
Jaclyn menganggap ia adalah satu gandingan yang paling mantap dan ia mudah untuk diterima peminat muzik tempatan memandangkan ia adalah satu gabungan tiga penyanyi popular tanah air yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

"Menggandingkan tiga orang penyanyi yang masing-masing sudah mempunyai peminat tersendiri. Maka, menerusi 3 Suara bermakna ia turut mengumpulkan kesemua peminat kami dan sebab itu saya melihat gabungan ini berjaya.

"Untuk album 3 Suara yang telah dihasilkan pada tahun lepas, peranan kami bertiga adalah sama dan tidak ada di antara kami yang lebih menyerlah dalam setiap lagu yang kami nyanyikan dan peminat memang suka dengan konsep sebegini," ujarnya.
Menganggap kewujudan 3 Suara sebagai sesuatu yang cukup istimewa dan unik, Jaclyn menegaskan yang dia tidak akan menyanyikan mana-mana lagu dalam album berkenaan secara solo ketika membuat persembahan dalam sesebuah acara.

Menurutnya, tidak dinafikan memang ada segelintir peminat yang mahu dia berbuat demikian, tetapi sudah menjadi prinsipnya supaya tidak berbuat demikian demi menghormati gandingan tersebut.
"Walaupun saya masih mampu membawakan lagu-lagu dalam album 3 Suara secara solo, adalah lebih baik sekiranya kalau kami bertiga yang nyanyikan bersama. Sudah tentu rasa janggal pula kalau saya nyanyi sendiri," jelasnya.
Ujarnya lagi, dia juga turut menyatakan persetujuan untuk terus mengekalkan gandingan tersebut dan bersedia sekiranya mendapat tawaran untuk menghasilkan album kedua bersama 3 Suara.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters