Jom Buat Duit

Tuesday 31 January 2012

Jaclyn Victor berpayung di KRU Music



JACLYN VICTOR menurunkan tandatangan pada single pertamanya, Sebelah Jiwaku sebagai tanda simbolik menjadi 'anak' KRU Music.


SEMENJAK menjuarai rancangan realiti Malaysian Idol pada musim pertama, penyanyi Jaclyn Victor ternyata berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan penyanyi popular tanah air dan berada di kelas tersendiri.

Lapan tahun berkecimpung dalam industri hiburan, perjalanan karier seni penyanyi yang popular menerusi lagu Gemilang itu dilihat terus konsisten. Malah, mempunyai vokal yang lantang antara kelebihan yang ada pada dirinya sehingga terus diminati ramai.

Melihat kepada kelebihan serta populariti yang ada pada penyanyi berkenaan, KRU Music telah membuat keputusan dengan mengambilnya untuk bernaung di bawah syarikat tersebut.
Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail berkata, Jaclyn Victor adalah artis pertama yang mengikat bersama mereka untuk tahun 2012 dan pihaknya sudah mengatur beberapa perancangan untuk artis terbaharu mereka itu.

“Sebenarnya kami sudah lama mengikuti perkembangan seni Jaclyn dan mendapati dia adalah seorang penyanyi yang hebat. Jadi, dengan memilihnya untuk bernaung di bawah KRU Music adalah satu langkah yang tepat.

“Sebagai langkah permulaan, sebuah lagu telah diciptakan untuknya oleh Edry Abdul Halim yang berjudul Sebelah Jiwaku. Kemudian sudah ada perancangan untuk menerbitkan album pertamanya bersama kami pada bulan April nanti,” jelasnya dalam satu majlis menandatangani kontrak baru-baru ini.
Menurut KC Ismail, selain Jaclyn, pihaknya juga sudah membuat perbincangan dengan beberapa orang penyanyi popular tanah air untuk turut bernaung di bawah KRU Music dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Jelasnya, pada tahun lepas pihaknya sudah banyak mengambil artis-artis baharu untuk bersama mereka dan tahun ini mereka memang merancang untuk bekerjasama dengan artis yang berpengalaman dan bertapak kukuh dalam industri.

“Mengenai album yang bakal dihasilkan itu nanti, terdapat enam buah lagu yang terkandung dalam album berkenaan dan dua buah lagu daripadanya adalah lagu tema untuk filem muzikal 29 Februari dan filem animasi Ribbit,” ujarnya.
Sementara itu, Edry yang ditemui pada majlis yang sama memberitahu tawaran yang diberikan kepada Jaclyn untuk bernaung di bawah KRU Music bermula semasa dia menyanyikan lagu Sedetik Lebih pada separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu.
Jelasnya, antara salah satu sebab pemilihan penyanyi berkenaan dibuat adalah berdasarkan kepada bakat besar yang ada serta potensi untuk membawakan lagu-lagu yang dihasilkan oleh KRU ke tahap yang lebih jauh.

“Dalam perbincangan semasa menawarkannya sebagai artis residen KRU Music, Jaclyn ada memberitahu, dia ingin mencari suatu kelainan dalam kariernya sebagai seorang penyanyi.
“Sebelum ini dia sememangnya dikenali sebagai penyanyi yang popular menerusi lagu-lagu balada. Jadi, menerusi lagu Sebelah Jiwaku ini, peminat akan dapat melihat perbezaannya memandangkan ia adalah sebuah lagu berentak rancak,” ujarnya.
Mengenai penerbitan album sulung penyanyi berkenaan bersama KRU Music, Edry menjelaskan ia masih lagi dalam proses pemilihan lagu dan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan komposer luar dalam penerbitan album berkenaan.
Sukar ditolak

Bagi Jaclyn Victor, tawaran yang diterima olehnya untuk menjadi artis di bawah naungan KRU Music adalah sesuatu yang sukar untuk ditolak memandangkan ia adalah sebuah syarikat anak tempatan yang berjaya dalam industri hiburan tempatan.
Jelasnya, ketika bersekolah dahulu KRU adalah antara kumpulan muzik tanah air yang sangat digemarinya dan kini dia berasa kagum kerana kumpulan tersebut sudah mampu membina sebuah empayar yang besar.

“Pada mulanya saya sendiri terkejut dan tertanya-tanya kenapa mereka tiba-tiba mahu mengambil saya bernaung dengan syarikat mereka. Apa pun saya tetap gembira dengan tawaran yang diterima dan saya tidak mengambil masa lama untuk memberikan keputusan.
“Lagipun KRU Music boleh memahami kehendak saya sebagai seorang penyanyi memandangkan pemiliknya juga adalah berasal daripada penyanyi. Jadi, saya yakin kerjaya sebagai anak seni mampu berkembang apabila bernaung di bawah mereka,” jelasnya.
Menurutnya, sepanjang lapan tahun bergelar sebagai anak seni, dia tidak menafikan selama ini para peminat lebih mengenali dirinya sebagai pelantun lagu Gemilang yang muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-20.
Ujarnya lagi, selepas popular dengan lagu tersebut, kebanyakan lagu-lagu nyanyiannya seakan-akan kurang menjadi sebutan ramai. Bagaimanapun, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terhadap perkara tersebut.
“Sudah tentu saya berharap dengan keputusan yang saya buat ini akan lebih menyerlahkan saya sebagai penyanyi kerana tidak dinafikan lagu-lagu ciptaan KRU sememangnya sering diterima peminat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters