Jom Buat Duit

Monday 30 January 2012

Letak harga, lupa daratan



LAMA juga menyusun jadual untuk mengadakan sesi fotografi bersama kedua-dua pucuk muda yang tengah panas mendapat sambutan. Akhirnya ia dapat dilaksanakan baru-baru ini dan Butik Old Blossom Box Store, Shah Alam menjadi lokasi 'penyatuan' mereka. Sesi sembang yang penuh santai, ditebak soalan berkisar karier dan gosip-gosip liar yang melingkari diri masing-masing dijawab silih berganti.

Anzalna Nasir yang mula-mula dihidu melalui program pencarian bakat bersama Neelofa menghiasi satu persatu drama bersiri di kaca televisyen, bermula dengan Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir, Ajaibnya Cinta dan terkini, Gemersik Kalbu.
Dalam pada menyusun strategi dalam dunia lakonan, Anzalna tidak terlepas daripada gosip suatu ketika dulu yang mengaitkan dirinya dengan teman lelaki Miera Liyana, Shahz Jaszle. Kemudian, beberapa bulan sebelum ini Anzalna dikatakan nekad mendedahkan hubungan cinta dengan seorang mahasiswa.

Tidak lari daripada kontroversi sampingan, Anzalna baru-baru ini dikatakan sudah besar kepala dan berani menolak tawaran berlakon dalam sebuah filem. Benarkah?
Berbalik pada kisah seorang peserta daripada program realiti nyanyian Mentor pula Aiman Hakim Ridza, kini juga kian mendapat tempat di hati pengarah dan penerbit drama.
Setelah muncul dalam drama Kitab Cinta, dia kini meluaskan empayar lakonan menerusi drama bersiri Vanilla Coklat yang baru memulakan siaran di TV3. Adakah protege Rahim Maarof itu sudah lupa daratan atau lupa akan platform dirinya sebelum ini memandangkan namanya terus pudar daripada bidang seni suara?
Anzalna tolak tawaran filem?
Soal besar kepala dan berani tolak tawaran berlakon filem membuatkan gadis manis itu tersentak! Ditanya mengapa dia sudah berani berbuat sedemikian, Anzalna, 24, membidas dakwaan yang telah tersebar di laman-laman sosial dan internet.
"Saya tak pasti filem mana yang dimaksudkan sebab tidak banyak tawaran filem yang saya terima, mungkin ketika saya menerima tawaran itu saya baru habis shooting filem TyIcKooUns bersama aktor Aaron Aziz dan Bront Palarae.
"Selepas melalui penggambaran filem itu bersama otai-otai yang cukup berbakat, badan saya lebam-lebam dan saya masih terkejut dengan watak yang berjaya saya lakonkan itu, bagi saya watak itu memang berat.
"Jadi, saya masih belum bersedia untuk memikul karakter yang sarat dengan aksi memandangkan saya pun seorang yang penakut, tambahan pula semasa uji bakat mereka, saya tidak sempat hadir atas urusan yang tidak dapat dielakkan," jelas Anzalna.
Berkenaan bayaran yang diletakkan penerbit filem, katanya tiada sebarang masalah kerana dia masih baharu dalam industri dan tidak berbaloi untuknya meletakkan harga tinggi untuk bayaran lakonannya.

Watak perempuan yang terlampau baik, penggoda dan ganas sudah dijayakannya dalam lakonan terdahulu. Anzalna yang baru saja ditawarkan berlakon dalam sebuah drama bersiri seram mengakui teruja untuk mempersembahkan bakatnya.
"Jika diberikan peluang mana mungkin saya akan tolak tawaran berlakon drama yang mencabar kebolehan saya, mungkin genre seram salah satu medium terbaik untuk saya mempertaruhkan bakat," tambahnya yang juga bakal terjun ke bidang pengacaraan tidak lama lagi.
Mengenai kisah cinta Anzalna dengan seorang mahasiswa yang dipanggil Hanif pula, perkenalan enam bulan dan keberaniannya membawa teman lelaki ke beberapa majlis adakala menimbulkan cakap-cakap belakang.

"Saya selesa dengan dia, dari segi layanan dan tanggungjawab dia sebagai seorang teman saya puji. Tiada niat secebis pun untuk menunjuk-nunjuk teman lelaki. Ini lebih baik daripada menjadi buah mulut orang dan rasanya saya tidak hipokrit untuk sembunyikan siapa teman saya," ujar anak kedua daripada lima beradik itu.

ANZALNA dan Aiman dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi pelapis pelakon baharu jika mereka terus konsisten dan tidak terlalu banyak kontroversi.


Aiman sisihkan nyanyian
Lupa daratan setelah keluar daripada program Mentor 5 dan melupai dunia seni suara yang pernah memperkenalkan Aiman kepada umum? Itu isu yang ditimbulkan jejaka yang sedap mata memandang ini.
Membalas kenyataan itu, Aiman, 22, membuktikan dia kini masih setia dengan dunia seni suara tempat dia bermula.
"Bidang nyanyian adalah bidang yang saya ingin teruskan. Saya kini baru saja usai merakam sebuah lagu duet dengan Almy Nadia untuk sebuah drama di Astro dan kini sedang dalam proses mengeluarkan single pertama dan mengumpul material," jelasnya yang mempunyai simpanan lagu yang diciptanya sendiri.

Berlakon tidak pernah diimpikannya, malah setelah membintangi drama Kitab Cinta bersama pelakon hebat, Fazura dan kini menjadi muka utama drama Vanilla Coklat bersama Izara Aishah, Aiman akui dia masih mentah!

"Memang saya minat sangat bidang lakonan, tak pernah terlintas untuk terlibat pun. Saya penggemar filem dan apabila mendapat tawaran berlakon daripada Erma Fatima saya terus terima.

"Sejauh mana saya boleh pergi, saya akan buat dan pastinya bidang lakonan dan nyanyian akan berjalan seiringan," katanya yang ingin memperbaiki lebih banyak aspek ekspresi wajah.
Mempertaruhkan wajah semata-mata untuk menapak dalam industri, kata Aiman kelebihan sebenarnya ramai orang yang belum nampak.

"Daripada Mentor lagi saya rasa tidak puas dan apa yang ditonjolkan di atas pentas adalah bukan diri saya yang sebenar, itu bukan yang saya mahukan.
"Setiap manusia ada kelebihan masing-masing, jika bersandarkan pada wajah semata-mata sampai bila? Saya akan buktikan suatu hari nanti Aiman sebenar akan keluar dari diri saya," ujarnya yang tidak terlintas untuk menutup periuk nasi orang dalam bidang lakonan.

Aiman bakal terlibat dengan telefilem Platform yang bakal memulakan penggambaran pada bulan Februari ini dan terkini sedang menjalani penggambaran bersama telefilem 560 Hari Mencari Cinta.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters