Jom Buat Duit

Saturday 28 January 2012

Komposer, finalis sambut baik


ATILIA dan Monoloque bertanding untuk lagu Kekanda Adinda ciptaan Monoloque.


TAHUN ini Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam esok pukul 9 malam dinilai oleh 30 orang juri profesional secara keseluruhannya.
Sebanyak 20 peratus markah dinilai oleh 10 orang juri pada hari pertandingan, manakala 80 peratus dinilai oleh 20 orang juri sebelum hari pertandingan (hari ini) menerusi cakera padat.
Perkara itu diakui sendiri oleh penerbit AJL26,

Nurhul Huda Khalid ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Katanya, 20 peratus itu hanya menilai vokal dan persembahan terbaik sahaja.
“80 peratus markah kesemua lagu yang layak ke final dinilai terlebih dahulu, manakala selebihnya ketika hari pertandingan,” ujarnya.

Sistem pemarkahan tersebut nampaknya disambut baik oleh komposer dan penyanyi terkenal Datuk M.Nasir yang menjelaskan pemarkahan seumpama itu (80 peratus melalui penjurian CD dan 20 peratus vokal dan persembahan) adalah logik.

“Macam mana sekalipun sistem pemarkahan program, itu terpulang kepada stesen televisyen, tetapi bagi saya 80 peratus markah sesebuah lagu dinilai terlebih dulu daripada cakera padat adalah logik,” katanya.

Penulis lirik terkenal, AD Samad juga menyokong sistem pemarkahan itu, malah mencadangkan adalah lebih baik jika 100 peratus markah diambil kira sebelum pertandingan.
“Bagi saya lebih elok 100 peratus sebelum malam anugerah itu kerana ketika persembahan secara langsung pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Mungkin penyanyi tidak sihat, pemuzik iringan tidak bermain sebaik pemuzik dalam album dan susunan lagu dalam album disusun dengan teliti. Jika waktu persembahan susunan muziknya boleh diubah-ubah mengikut konsep persembahan, jadi keaslian lagu itu hilang,” tuturnya.
Penyanyi yang layak ke peringkat akhir AJL26 menerusi lagu Kekanda Adinda bersama Monoloque, Atilia, juga tiada sebarang masalah dengan sistem pemarkahan.
Meskipun menyedari hanya 20 peratus markah yang diambil kira pada malam anugerah, Atilia berazam untuk memberi persembahan yang terbaik kerana layak ke AJL26 merupakan puncak kepada kerjaya Atilia dan juga Loq.

“Memang markah yang dinilai pada malam anugerah tidak banyak tetapi jumlah penonton yang menonton AJL adalah besar. Tambahan pula, ini puncak kerjaya saya dalam arena arus perdana kerana saya dan Loq bukannya penyanyi arus perdana.

“Tentang 80 peratus markah dinilai menerusi cekera padat sebelum malam anugerah, saya rasa itu memang cukup adil. Sebabnya, lagu itu harus dinilai bulat-bulat seperti mana yang kita selalu dengar di radio dan album. Pada malam anugerah susunan lagu diubah hanya untuk menambahkan kemeriahan,” katanya lagi.

Pemenang AJL24, Aizat yang turut bertanding dalam AJL26 menerusi lagu Sungai Lui memberitahu meskipun hanya 20 peratus markah diambil kira pada malam anugerah setiap penyanyi pasti akan memberikan persembahan yang terbaik.

“Tidak kiralah berapa jumlah markah yang dikira pada malam itu, sebagai penyanyi dan pemuzik, AJL adalah pentas penting dan besar bagi kami.
“AJL seperti sambutan perayaan buat penggiat seni di Malaysia, malah menerusi persembahan di AJL banyak membuka ruang rezeki kepada penyanyi kerana ia juga pentas promosi yang terbaik,” kata Aizat.

AJL26 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu akan diacarakan oleh Faizal Ismail dan Cheryl Samad turut menampilkan kemunculan istimewa Awie, Jamal Abdillah dan Datuk Sheila Majid yang akan membuat persembahan pembuka tirai manakala Black, Azlan The Typewriter serta Hazama akan muncul dalam segmen interlude.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters