Jom Buat Duit

Saturday 28 January 2012

Kenang Michael Jackson



BUKAN mudah melihat tiga anak kesayangan penyanyi tersohor dunia, Michael Jackson di tempat awam kerana kehidupan peribadi mereka yang terasing.
Bagaimanapun, tiga permata kepada penghibur terkenal itu hadir dengan senyuman meleret, petang kelmarin di Hollywood Boulevard bagi meraikan majlis peringatan buat ayah mereka yang meninggal dunia tiga tahun lalu.


Prince yang kini berusia 14 tahun hadir bersama dua adiknya, Paris, 13, dan Blanket, sembilan tahun pada majlis itu bagi melekapkan sarung tangan ayahnya dan tapak kaki daripada kasut kesayangan Raja Pop itu di Hollywood Landmark, di luar Grauman’s Chinese Theatre dalam suasana yang cukup meriah dan penuh warna.

Paris sempat menulis ‘Michael (heart) Jackson’ sebelum menulis tarikh pada lekapan tapak tangan dan tapak kasut ayahnya itu bagi menyifatkan kasih sayang dan rasa rindunya kepada Michael.
Ibu Michael yang turut hadir, Katherine Jackson tidak lekang memimpin tangan tiga cucunya dalam majlis itu.

Malah Katherine yang sempat mengucapkan terima kasih kepada tetamu dan peminat yang hadir pada majlis itu turut menyifatkan majlis peringatan seperti ini adalah sesuatu yang cukup indah untuk terus menterjemahkan rasa sayang dan rindu kepada Michael yang diangkat sebagai penghibur terkenal dunia sebelum ini.

“Jika Michael masih ada, dia pasti tersenyum dan berbangga dengan apa yang kita lakukan hari ini. Walaupun dia sudah tiada lagi bersama kita, namun saya percaya Michael tahu akan peringatan yang kita lakukan hari ini buatnya,” jelasnya.

Tambah Katherine, Michael yang terkenal dengan sifat penyayang pasti gembira dengan kehadiran teman dan peminatnya.

“Saya sendiri terkejut dengan kehadiran ramai teman rapat Michael pada hari ini. Selain anak-anak kesayangannya dan adik-beradik Michael yang sempat meluangkan masa, saya juga berterima kasih kepada peminat yang sanggup menunggu di majlis ini sejak awal pagi lagi.

“Inilah cara terbaik untuk kita sama-sama mengingati kembali Michael yang sebelum ini pernah menghiburkan kita semua,” katanya.

Prince, Paris dan Blanket sebelum ini pernah hadir di sebuah konsert sempena memperingati Michael di Cardiff, Wales, Oktober lalu.

Selain anak-anak dan ibunya, majlis itu turut dihadiri tiga abang Michael termasuk Tito, Marlon dan Jackie. Malah ramai selebriti terkenal turut memberikan penghormatan termasuk bintang muda terkenal, Justin Bieber yang menjadikan Michael sebagai idolanya.

Penyanyi, komposer dan penerbit terkenal, Smokey Robinson turut dilihat bersama bintang popular lain termasuk Chris Tucker dan penyanyi legenda, Quincy Jones.

Hollywood Landmark di luar Grauman’s Chinese Theatre adalah satu memorial perintan terkenal yang diletakkan bagi menghargai bintang terkenal Hollywood yang kini menjadi tarikan utama pelancong di Hollywood.

Michael disahkan meninggal dunia pada 25 Jun 2009 pada usia 50 tahun selepas dikatakan pengsan dan rebah di kediamannya akibat pengambilan ubat berlebihan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters