Jom Buat Duit

Sunday, 1 January 2012

Imej unik Didie Alias



ASAL namanya Fadzilah Mohd Ali atau Didie Alias ini menceburi bidang lakonan selepas menempa nama sebagai model. Aktres dan pelawak kelahiran Melaka ini meraih populariti sebaik membintangi filem aksi Kanta Serigala dan Boss pada 1991.
Kanvas seni bintang terkenal ini melakar 1,001 kisah suka duka. Tatkala berada di kemuncak, Didie mendirikan rumah tangga dengan Ridzuan Hashim pada 1992 dan nekad mengorbankan kerjayanya demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.

Pun begitu, bahtera yang dibina atas nama cinta hanya mampu bertahan 10 tahun, sekali gus menyaksikan Didie bergelar ibu tunggal kepada lima zuriat iaitu Nurdania, Mohd Danial, Nurdinie, Danie dan Diana.

Kehidupan dilalui ketika itu perit apabila Didie terpaksa menapak dari bawah mencari rezeki membesarkan cahaya matanya namun berkat kesabaran, satu persatu sinar hadir mengubah nasibnya.


Sejak bergandingan dengan Enot menerusi drama Labuna Labuni, Didie kembali menjadi sebutan. Tawaran datang bersilih ganti, bahkan dia aktif bekerja di belakang tabir.
Tanggal 8 Mei 2009 melakar memori indah buat bintang Pesona Cinta, Ghazal Untuk Rabiah dan Pontianak Kampung Batu ini apabila dia disunting sebagai suri hidup bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail.

Perkahwinan itu direstui anaknya, bahkan Norisham menjadi tulang belakang Didie dalam merencana kerjaya yang kian berkembang.

Bersama SELEBRITI, Didie berkongsi kebangkitan kariernya dan perkembangan terkini sisi peribadi serta perancangan 2012.


Anda sentiasa nampak bertenaga atas pentas. Daripada mana datang kekuatan itu?

Walaupun usia 38 tahun, saya kena nampak macam 18 tahun (ketawa). Entahlah... setiap kali di pentas, secara automatik saya jadi energetik. Mungkin kerana saya aktif sejak zaman sekolah. Kalau nak tahu, dulu saya pelari sekolah dan gemar bersukan.

Saya tidak boleh duduk diam dan sikap itu terbawa-bawa hingga ke hari ini. Dan apabila di pentas, saya berikan persembahan terbaik dan pastikan diri lain daripada lain. Saya mahu dikenali sebagai penghibur berkostum dan perlu sentiasa tampil dengan idea baru.


Tak ramai berani tampil sebagai penghibur berkostum Saya tak pasti sama ada mereka tak berani atau malas. Daripada dulu saya jadikan Aznil Nawawi sebagai idola dan mahu berjaya sepertinya. Dia selalu bagi kata-kata semangat dan berpesan, jangan peduli apa orang fikir.

Yang penting, saya tahu apa yang saya buat adalah jujur dan ikhlas. Berikutan keberanian saya, ramai gelar saya Lady Gaga Malaysia. Ia bermula dengan kemunculan saya sebagai pengacara Anugerah Planet Muzik yang lalu.

Penganjur mahu saya tampil dengan imej pelik dan itulah pembuka jalan untuk tampil sebagai penghibur berkostum. Kebetulan saya suka mengikuti perkembangan fesyen terkini, jadi tak sukar untuk saya suai padankan apa yang patut digayakan.

Selain berbincang dengan pereka fesyen peribadi iaitu Jeffriey Ibrahim, saya banyak buat rujukan melalui pemerhatian dan pembacaan.


Tidak rimas dikutuk tidak sedar diri, gedik dan berlagak muda?

Mulut manusia, kita tak boleh tutup. Biarlah mereka bercakap apa saja, mana yang baik saya ambil dan yang buruk saya jadikan iktibar untuk perbaiki diri.

Bukan sehari dua saya dalam bidang ini. Pada usia tujuh tahun, saya berlakon teater kanak-kanak bersama Afdlin Shauki dan Anuar Zain. Justeru, saya sudah lali dengan kritikan dan kutukan.

Apa saja kritikan, saya jadikan ia sebagai semangat untuk melangkah lebih jauh. Yang penting, saya tahu ke mana hala tuju dalam industri dan suami terima saya seadanya.

Pengacara wanita di Malaysia tidak ramai. Kebanyakannya wajah baru, manakala yang seangkatan dengan saya boleh dibilang dengan jari. Jika mahu menyerlah, saya kena cipta kelainan sebagai satu ‘trademark’. Orang bayar untuk melihat sesuatu yang unik daripada Didie Alias dan saya kena sajikan penyampaian menarik.


Selain keluarga dan Aznil Nawawi, siapa memberi dorongan serta bertanggungjawab menyerlahkan kembali pesona Didie Alias?

Saya terhutang budi dengan penerbit dan sutradara, Michael Ang. Lebih dua tahun lalu, dialah yang beri kepercayaan untuk pelbagaikan watak. Dia nampak kemampuan saya dan sudi membuka ruang.

Kebanyakan produksi mahu orang baru dan mengetepikan orang lama. Kalau ada pun tawaran, watak yang diberikan klise. Alhamdulillah, peminat suka dengan kepelbagaian watak yang saya jayakan.

Sehingga kini Michael masih memanggil saya, malah imej gila-gila dan unik dalam program terbitan syarikatnya iaitu Kalau Berani 1 vs 0 yang bersiaran di Astro Warna mendapat maklum balas positif penonton. Menerusinya, saya dapat memenangi hati seisi keluarga yang menonton.


Bagaimana kehidupan anda sebagai isteri dan ibu kepada lima cahaya mata serta perancangan kerjaya untuk 2012?

Alhamdulillah, saya bertambah bahagia. Anak pun semakin besar. Baru-baru ini anak ketiga saya, Nurdinie memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Sebagai ibu, saya sangat bangga dengan pencapaiannya. Anak sulung menyambung pengajian di UNIKL manakala nombor dua baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sisi kerjaya pula, tahun ini selain bergerak secara solo, saya akan mengetengahkan 3G yang turut disertai Enot dan Yasin. Sejak menyertai Maharaja Lawak Mega, 3G mendapat perhatian ramai. Kami serasi bersama, bahkan saya sangat kagum dengan bakat Yasin.

Saya nampak keistimewaan dia yang mungkin orang lain tidak nampak selama ini.
Saya yakin 3G boleh pergi jauh. Jika tiada aral,saya akan membintangi sebuah filem tetapi tidak banyak yang boleh saya kongsi kerana belum ada hitam putih.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters