Seorang wanita, Susanti masih hidup selepas dia hanya bergantung
kepada air hujan untuk hidup ketika terapung di laut selama dua minggu.
Susanti, 32, yang berasal dari Desa Lebo dalam daerah Parigi Moutong,
Sulawesi Tengah, ditemui oleh dua nelayan di laut pagi semalam.
Ketua Polis Wilayah Poso Kota, Urbanus Songgo berkata, kejadian
berlaku apabila bot yang dinaiki Susanti dan suaminya, Toni, 33,
terbalik dilambung ombak ketika memancing ikan di laut.
"Dari keterangan mangsa, dia sudah 14 hari terumbang-ambing di laut.
Dia boleh bertahan hidup kerana minum air hujan. Wanita ini diselamatkan
oleh dua nelayan yang berasal dari Tegalredjo, Poso, pada pukul 11
pagi," kata Urbanus yang dipetik akhbar Kompas.com semalam.
Urbanus berkata, daripada keterangan dua nelayan berkenaan, Sudirman,
30, dan Aco, 36, mereka melihat sebuah bot terbalik dan seorang wanita
yang berada dalam keadaan lemah.
"Kedua-dua nelayan itu membawa mangsa ke klinik berdekatan. Sehingga kini, suami Susanti belum ditemui," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment