SYDNEY - Misi mencari kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)
di dalam Lautan Hindi mungkin selesai dilakukan dalam tempoh lima hingga
tujuh hari lagi, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) semalam.
Pencarian pesawat MH370 itu menggunakan kenderaan dalam air autonomi
yang lebih dikenali sebagai Bluefin-21 berharga AS$4 juta (RM12.95 juta)
dilakukan di dalam lingkungan 10km di Lautan Hindi.
Pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac lalu semasa ia dalam
penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur.
Seramai 227 penumpang dan 12 kru menaiki pesawat itu yang didapati
berpatah balik dan dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.
Operasi melibatkan pelbagai negara kemudian dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu.
Misi pencarian tersebut mula dilakukan di Laut China Selatan dan
kemudian di selatan Lautan Hindi apabila pesawat itu didapati menukar
laluannya.
Selepas hampir dua bulan tanpa sebarang tanda-tanda serpihan ditemui,
misi mencari pesawat itu dilakukan di kawasan radius 10km di selatan
Lautan Hindi.
Beberapa pegawai berkata, kawasan lingkungan 10km itu terletak di
sekitar salah satu isyarat dipercayai daripada kotak hitam yang sebelum
ini berjaya dikesan pasukan pencari MH370.
Namun, isyarat itu tidak lagi dapat dikesan dan ia dipercayai disebabkan bateri kotak hitam sudah kehabisan kuasa.
Pihak JACC dalam satu kenyataan yang dihantar kepada agensi berita Reuters
menerusi e-mel menyatakan, berdasarkan keadaan cuaca yang baik dan
kelancaran operasi Bluefin-21 itu, misi pencarian di dalam lautan akan
dapat diselesaikan dalam tempoh lima hingga tujuh hari.
Beberapa pegawai tidak memberikan petunjuk sama ada mereka yakin
bahawa pencarian di kawasan tersebut boleh memberikan maklumat baharu
tentang pesawat MH370.
Kenderaan dalam air autonomi itu sebelum ini telah melakukan enam misi pencarian selepas ia diturunkan dari kapal Ocean Shield milik Australia.
Ia boleh menyelam pada kedalaman 4.5km.
Namun, kumpulan pencarian melakukan pengubahsuaian ke atas Bluefin-21 itu supaya ia boleh menyelam pada kedalaman 4.695km.
Bluefin-21 itu milik sebuah syarikat yang melakukan kerja-kerja
menyelamat dalam lautan iaitu Phoenix International Holdings Inc. dari
Amerika Syarikat. - Agensi
No comments:
Post a Comment