Jom Buat Duit

Friday, 18 April 2014

Adam Nafi Rumah Tangga Goyah

BEBERAPA bulan selepas mendirikan rumah tangga, hubungan antara penyanyi dan pelakon, Adam bersama isterinya, Fiza Halim dikatakan mulai renggang.
Fiza yang dahulunya merupakan bekas anggota kumpulan Elite dikatakan sering mengemas kini status di aplikasi permesejan Whatsapp miliknya dengan kata-kata dan ungkapan yang berbaur sedih.
Lantaran itu, timbul gosip mengatakan keadaan rumah tangga Adam atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman, 31, dikatakan sedang bergolak.

Pernah beberapa kali Kosmo! cuba menghubungi penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tahu itu untuk mendapatkan komen, namun usaha tersebut gagal.

Baru-baru ini, Adam yang sepatutnya datang ke studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bagi menjayakan sesi fotografi sempena promosi filem Apokalips X bersama Kosmo!, tidak hadir.
Temu janji tersebut terpaksa dibatal- kan atas alasan Adam perlu pulang ke kampungnya di Sabah. Walaupun sesi tersebut telah ditunda ke tarikh yang lain, anak jati negeri Sabah itu turut membatalkannya untuk kali yang kedua.

Kosmo! bagaimanapun berkesempatan bertemu dengan Adam pada majlis tayangan perdana filem, Bahaya Cinta di TGV 1 Utama, Damansara, Selangor baru-baru ini. Ikuti temu bual selanjutnya antara Adam dan
Kosmo!.

Kosmo!: Benarkah anda sedang mengalami masalah rumah tangga?
ADAM: Saya sedar ramai orang sedang bercakap tentang perkara ini dan ada juga ura-ura yang mengatakan hubungan kami sedang dilanda masalah.
Namun, saya dan Fiza baik-baik sahaja. Rasanya, saya tidak perlu memberikan komen mengenai perkara ini dengan lebih lanjut.

Adakah disebabkan ura-ura tersebut, anda cuba untuk lari daripada media dan meninggalkan majlis yang anda hadiri dengan lebih awal?
Saya akui pulang awal sewaktu menghadiri majlis sidang akhbar Selawat Perdana baru-baru ini. Namun, saya pulang awal kerana perlu menghadiri sesi fotografi untuk filem Apokalips X.
Saya tidak pernah berniat untuk lari daripada wartawan. Jika mahu menyembunyikan diri, saya tidak akan datang pada majlis tayangan perdana malam ini.

Bercakap tentang Apokalips X, anda juga dikatakan pulang awal sewaktu majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan beberapa minggu lalu. Boleh berikan sedikit komen?
Tuduhan itu tidak benar sama sekali. Saya hadir pada majlis tayangan tersebut. Bagaimanapun, tiada wartawan yang datang berjumpa saya untuk diwawancara.

Apakah komen anda terhadap pembatalan sesi fotografi bersama Kosmo!?
Saya akui, itu merupakan kesalahan saya sendiri. Saya memang ada hal yang perlu diselesaikan dan perlu pulang ke Sabah. Namun, saya telah memaklumkan perkara tersebut beberapa hari sebelum sesi fotografi tersebut dijalankan.

Apakah pula komen anda terhadap cakap-cakap negatif mengenai kerjaya anda sebagai penyanyi yang berjalan seiring dengan keupayaan mengubat orang sakit dengan menggunakan kaedah Islam?
Buat masa ini, saya hanya membantu guru saya mengubati orang. Jika guru saya berada di luar kawasan, baru saya mengambil alih tugasnya. Lagipun, saya memakai serban dan jubah mengikut tempat yang dituju. Padahal, saya masih Adam yang sama.

Adakah isu-isu ini menggugat kebahagian rumah tangga anda?
Tidak sama sekali. Walaupun dihambat dengan pelbagai cerita, saya dan Fiza tidak pernah bergaduh. Mungkin ini adalah ujian yang Allah ingin berikan kepada saya.

Sampai bilakah anda akan meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi?
Insya-Allah, saya memang mengharapkan perubahan yang lebih baik dalam hidup saya. Di samping itu, saya akan cuba untuk memperlahankan karier saya sebagai penyanyi. Sebab itu, saya mula menyanyi lagu-lagu berentak perlahan dan mengurangkan lagu-lagu yang memerlukan saya menari. Bagaimanapun, saya tetap akan menari jika mendapat permintaan.

Boleh ceritakan sedikit tentang filem Bahaya Cinta?
Ini merupakan filem kerjasama pertama antara Malaysia dengan Vietnam. Filem arahan Yusof Kelana ini mengisahkan Iskandar, lakonan saya, terbang ke Hanoi, Vietnam untuk mencari kekasih lama ibunya yang merupakan pelarian negara itu suatu ketika dahulu. Filem ini akan menemui penonton pada 1 Mei depan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya akan muncul dengan single terbaharu berjudul Marmie Maafkanku. Lagu tersebut merupakan karya komposer dari seberang, Bajai. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters